BATAM: Pemerintah Indonesia menyambut baik komitmen Apple Inc. untuk melabur AS$1 bilion ($1.37 bilion) bagi membangunkan kilang pembuatan di Pulau Batam.
Namun, larangan penjualan iPhone 16 di Indonesia kekal kerana model itu masih gagal memenuhi syarat kandungan tempatan.
Menteri Perindustrian, Encik Agus Gumiwang Kartasasmita, pada 8 Januari, mengesahkan pelaburan tersebut akan digunakan untuk membina kilang menghasilkan peranti AirTag.
Encik Agus menegaskan kilang aksesori itu tidak memenuhi syarat untuk menarik balik larangan penjualan iPhone 16, kerana ia bukan sebahagian daripada komponen telefon pintar tersebut.
“Tiada asas untuk kami mengeluarkan sijil kandungan tempatan bagi membolehkan iPhone 16 dijual, kerana pelaburan ini tidak berkaitan dengan komponen telefon pintar,” kata Encik Agus kepada media di pejabatnya.
Apple merancang untuk bekerjasama dengan syarikat pembuat komponen elektronik China, Luxshare Precision Industry Co. Ltd. (Luxshare-ICT), bagi mendirikan kemudahan tersebut di Batam.
Namun, masih belum jelas sama ada perjanjian pelaburan telah ditandatangani.
Sejak 2024, pemerintah melarang penjualan iPhone 16 kerana Apple gagal mematuhi peraturan kandungan tempatan sebanyak 35 peratus bagi telefon pintar, tablet, dan komputer riba yang diimport.
Peraturan itu dijangka dinaikkan kepada 40 peratus dalam masa terdekat.
Syarikat boleh memenuhi syarat ini dengan mengeluarkan peranti di dalam negara, membangunkan perisian tempatan atau melabur dalam inovasi tempatan.
“Kami menggesa Apple agar membangunkan pusat penyelidikan dan pengembangan (R&D) di Indonesia agar mematuhi peraturan kandungan tempatan,” tegas Encik Agus.
Encik Agus menambah: “Kami akan memastikan Apple membina kemudahan R&D, bukan sekadar pusat pendidikan seperti yang dilakukan selama ini.”
Meskipun Apple telah melabur 1.7 trilion rupiah ($143 juta) sejak 2018 untuk membangunkan akademi pembangun aplikasi, angka itu dianggap terlalu kecil untuk memenuhi keperluan inovasi yang ditetapkan.
Pada 8 Januari, Encik Agus mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Apple untuk Hal Ehwal Sejagat, Encik Nick Ammann, dan beberapa eksekutif lain di pejabatnya.
Dalam pertemuan itu, Apple secara rasmi mengemukakan cadangan pelaburannya.
Namun, Encik Agus menyatakan bahawa tiada persetujuan dicapai dan menambah bahawa jumlah pelaburan yang dicadangkan adalah “tidak mencukupi”.
Selepas pertemuan tersebut, Encik Ammann hanya berkata kepada wartawan bahawa “ia adalah perbincangan yang hebat” tanpa memberikan butiran lanjut.
Pada 8 Januari, Encik Ammann turut melawat pejabat Menteri Koordinasi Bidang Ekonomi, Encik Airlangga Hartarto.
Namun, Encik Airlangga enggan memberikan sebarang maklumat mengenai hasil mesyuarat tersebut, dengan berkata:
“Sila tanya kepada Kementerian Perindustrian sama ada pelaburan Apple diluluskan atau tidak.”
Pada masa yang sama, Menteri Pelaburan, Encik Rosan Roeslani, menyifatkan pembinaan kilang AirTag di Batam sebagai langkah awal Apple untuk meluaskan pelaburan di Indonesia.
“Kilang ini dijangka mula beroperasi awal 2026 dan akan membekalkan 65 peratus keperluan global AirTag,” kata Encik Rosan.
Menurut Felow kanan di Pusat Kajian Dasar Indonesia (CIPS), Dr Krisna Gupta, pelaburan itu membuktikan potensi Indonesia sebagai pasaran utama dengan 280 juta penduduk.
Namun, memenuhi keperluan kandungan tempatan tanpa mengganggu rantaian bekalan sejagat Apple adalah satu cabaran besar.
“Berapa banyak daripada pengeluaran Apple yang boleh menyumbang kepada 35 hingga 40 peratus kandungan tempatan tanpa meningkatkan kos dari luar? Terutamanya apabila Apple sudah memaksa pembekalnya membuka kilang di India dan Vietnam,” jelas Dr Krisna.
Ketua Penyelidikan Industri dan Wilayah di Bank Mandiri, Encik Dendi Ramdani, berkata:
“Pelaburan AS$1 bilion ini adalah langkah awal yang wajar.
“Jika Indonesia dapat menjaga pelaburan ini, ia boleh membuka jalan untuk pembentukan pangkalan pengeluaran yang lebih kukuh di rantau ini.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg