Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Larangan iPhone 16: Langkah berani Indonesia uji daya tarikan pelaburan

Dec 9, 2024 | 5:30 AM
Pegawai kastam Indonesia memusnahkan iPhone 16 Pro Max yang diseludup bersama puluhan telefon dan tablet Apple lain di pejabat kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno–Hatta pada 29 November.
Pegawai kastam Indonesia memusnahkan iPhone 16 Pro Max yang diseludup bersama puluhan telefon dan tablet Apple lain di pejabat kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno–Hatta pada 29 November. - Foto AFP

JAKARTA: Keputusan pemerintah Indonesia pada awal November untuk melarang penjualan iPhone siri 16 keluaran Apple telah mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan pengguna teknologi di negara ini.

Langkah itu yang bertujuan melindungi kepentingan tempatan, membawa pelbagai implikasi terhadap pasaran teknologi yang sedang pesat berkembang di Indonesia.

Namun, ia juga menimbulkan persoalan tentang pilihan pengguna, inovasi dan kesan ekonomi.

Larangan terhadap iPhone 16 itu berpunca daripada kegagalan Apple mematuhi syarat Keperluan Kandungan Tempatan (LCR) yang ditetapkan pemerintah.

Syarat itu mewajibkan sekurang-kurangnya 35 peratus nilai produk dihasilkan secara tempatan.

Dasar itu bertujuan memajukan industri teknologi domestik dengan menarik pelaburan asing, membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan keupayaan teknologi tempatan.

Namun, Apple dilaporkan gagal memenuhi peratusan itu untuk iPhone 16, yang mendorong pemerintah Indonesia untuk menyekat penjualannya.

Menteri Pelaburan, Encik Rosan Roeslani, mengumumkan bahawa Apple telah meningkatkan tawaran pelaburannya kepada AS$1 bilion ($1.35 bilion) untuk mematuhi syarat tersebut.

“Kami mahu melihat keadilan. Anda mendapat manfaat di sini, jadi anda harus melabur di sini dan mencipta pekerjaan,” katanya.

Tawaran itu merupakan peningkatan 10 kali ganda daripada tawaran awal AS$100 juta.

Langkah berkenaan menonjolkan pendekatan tegas Indonesia dalam menuntut pelaburan dan melindungi industri tempatan.

Menteri Industri, Encik Agus Gumiwang Kartasasmita, menyatakan keutamaan beliau ialah memastikan Apple membuka kilang tempatan seperti yang dilakukan oleh syarikat lain seperti Samsung dan Xiaomi.

Pelaburan tempatan oleh Apple dijangka memberikan kesan berganda, termasuk meningkatkan pelaburan di sektor berkaitan dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan.

“Yang paling penting, rantaian nilai sejagat akan bergerak ke arah kita,” kata Encik Roeslani.

Namun, beberapa penganalisis mengkritik langkah tersebut.

Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang Indonesia, Encik Bhima Yudhistira, menyifatkannya sebagai “perlindungan palsu” yang lebih banyak merugikan pengguna dan keyakinan pelabur.

“Ini mewujudkan sentimen negatif kepada pelabur yang ingin memasuki pasaran Indonesia,” katanya.

Indonesia mempunyai lebih daripada 350 juta telefon bimbit aktif, melebihi jumlah penduduknya yang sekitar 270 juta orang.

Pasaran itu menjadi tarikan besar kepada syarikat teknologi sejagat.

Namun, dengan pelaksanaan syarat ketat seperti LCR, Indonesia cuba memastikan pelaburan asing membawa manfaat langsung kepada ekonominya.

Contohnya, syarikat seperti ByteDance telah dipaksa memisahkan ciri jualan/belian TikTok daripada wadah sosialnya untuk melindungi sektor runcit tempatan.

Selain itu, larangan eksport bahan mentah seperti nikel turut mendorong syarikat memproses mineral secara tempatan, membangunkan kilang bateri dan meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi.

Apple, bagaimanapun, menghadapi cabaran besar.

Larangan iPhone 16 mungkin menggalakkan pengguna mencari alternatif lain atau bergantung kepada pasaran ‘gelap’ untuk mendapatkan produk tersebut.

Pengeluar telefon pintar utama seperti Oppo dan Samsung masih mendominasi pasaran Indonesia, memberi tekanan tambahan kepada Apple untuk meningkatkan daya saingnya.

Langkah itu juga menimbulkan persoalan lebih luas tentang keseimbangan antara melindungi kepentingan nasional dengan memberikan akses kepada teknologi sejagat.

Peningkatan syarat komponen tempatan kepada 40 peratus untuk telefon pintar yang dijual di Indonesia menunjukkan komitmen pemerintah terhadap agenda tersebut.

Namun, pendekatan keras seperti itu boleh memberi kesan jangka panjang kepada hubungan dengan pelabur asing.

Syarikat teknologi seperti Google turut menghadapi sekatan yang sama untuk produk Pixel mereka, sekali gus menunjukkan bahawa Indonesia tidak teragak-agak mengambil langkah serupa terhadap syarikat besar lain.

Larangan terhadap siri iPhone 16 mencerminkan usaha Indonesia mengimbangi keperluan melindungi industri tempatan dengan tuntutan pengguna terhadap teknologi terkini.

Walaupun langkah itu berpotensi meningkatkan pelaburan dan pembangunan domestik, ia juga membawa risiko kepada akses pengguna dan keyakinan pelabur.

Masa depan hubungan antara Apple dengan Indonesia kini bergantung kepada kemampuan kedua-dua pihak mencari jalan tengah.

“Jika Apple benar-benar melabur lebih besar di Indonesia, ia boleh mencipta rantaian nilai baru dan memberikan manfaat kepada ekonomi tempatan,” kata seorang pakar industri.

Namun, bagi pengguna, larangan itu satu peringatan bahawa teknologi sejagat tidak selalu mudah diakses, terutama apabila dasar nasional menjadi keutamaan.

Persoalannya kini ialah sama ada pelaburan AS$1 bilion oleh Apple mencukupi untuk mengubah landskap.

Buat masa ini, pengguna Indonesia mungkin perlu menunggu lebih lama atau mencari alternatif lain sementara isu ini diselesaikan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg