BOGOR: Indonesia menyambut panda gergasi pertama yang dilahirkan di negara ini, menandakan satu peristiwa penting selepas bertahun-tahun berusaha untuk membiakkan spesies ini.
Anak panda itu dilahirkan pada 27 November di taman hidupan liar Taman Safari Indonesia di Bogor, Jawa Barat, kepada pasangan panda gergasi Cai Tao dan Hu Chun.
Kedua-dua panda itu tiba di taman itu pada 2017 di bawah program penyelidikan bersama selama 10 tahun dan sebagai simbol persahabatan antara Indonesia dengan China.
Pengurus perhubungan korporat Taman Safari Indonesia, Cik Trully Erlynda, berkata kelahiran itu merupakan kemuncak kerjasama antarabangsa selama sedekad.
“Kami mengalu-alukan kelahiran anak panda itu dengan penuh rasa syukur dan kegembiraan. Ia merupakan satu peristiwa penting akhir tahun yang membanggakan bagi Indonesia dan satu tanda kemajuan pemuliharaan kerjasama antarabangsa,” tambahnya pada 8 Disember.
Pembiakan panda gergasi dianggap sebagai salah satu cabaran terbesar dalam pemuliharaan hidupan liar. Panda betina hanya subur sekali setahun, dan tempoh penerimaan mereka hanya berlangsung selama dua hingga tiga hari. Telur kekal berdaya hidup hanya selama beberapa jam, menjadikan kadar kejayaan pembiakan semula jadi sangat rendah.
Taman Safari telah menjalankan permanian beradas untuk membiakkan panda gergasi sejak 2022, tetapi percubaan sebelumnya tidak berhasil.
Pada 2024, program ini mencapai satu peristiwa penting apabila persenyawaan disahkan 40 hari selepas prosedur, walaupun embrio gagal berkembang sepenuhnya.
Cik Trully berkata usaha permanian berhadas terkini melibatkan “pemantauan hormon yang sangat tepat, pemerhatian tingkah laku yang ketat dan pelaksanaan piawaian kebajikan haiwan antarabangsa”.
Selepas persenyawaan disahkan, beliau menambah, pakar China memantau Hu Chun sepanjang kehamilan dan kelahirannya.
Menurutnya, pakar nurseri dari Pusat Panda China dan Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan China untuk Panda Gergasi (CCRCGP) tiba pada 30 November untuk membantu penjagaan awal anak panda.
Pada 4 Disember, Presiden Indonesia Encik Prabowo Subianto secara rasmi menamakan anak panda itu Satrio Wiratama, yang bermaksud “pahlawan yang mulia, berani dan berbudi pekerti”, dan memberinya nama panggilan Rio. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg