Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia sasar mula bina tembok laut gergasi di Jawa awal 2027
Indonesia sasar mula bina tembok laut gergasi di Jawa awal 2027
Tempoh pelaksanaan projek dipendekkan lima tahun menjadi 15 tahun
Indonesia sasar mula bina tembok laut gergasi di Jawa awal 2027
Indonesia dijangka memulakan pembinaan projek kontroversi tembok laut gergasi di Pulau Jawa pada awal 2027 bagi melindungi masyarakat di pulau paling padat penduduk itu daripada banjir pesisir yang semakin kerap serta kenaikan paras laut.
Tembok laut gergasi itu berukuran sepanjang 575 kilometer – anggaran perjalanan enam setengah jam jika memandu dari Singapura ke Perak melalui Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.
Tempoh pelaksanaan projek itu juga dipendekkan lima tahun daripada pelan asal 20 tahun menjadi 15 tahun.
Keutamaan diberikan kepada kawasan pesisir yang sering dilanda banjir air laut pasang di Banten, Jakarta, Jawa Barat, Jawa Tengah dan Jawa Timur, iaitu lima daripada enam wilayah di Jawa yang paling terjejas di pantai utara.
“Pemendekan tempoh pelaksanaan projek itu tetap mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan masyarakat tempatan.
“Majlis pecah tanah dijadualkan pada awal 2027 dan tembok laut yang akan dibina berada kira-kira enam kilometer dari pesisir pada kedalaman 13 meter,” kata Ketua Badan Pengurusan Pantai Utara Jawa (BOPPJ), Encik Didit Herdiawan.
Beliau berkata demikian ketika mesyuarat bersama Kementerian Alam Sekitar pada 15 Jun bagi menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) penubuhan Pasukan Petugas Pengurusan Alam Sekitar Pantai Utara Jawa.
Kawasan pesisir yang dikenali sebagai Pantura, singkatan bagi pantai utara, menempatkan tiga pelabuhan utama dan bandar besar Indonesia iaitu Jakarta, Semarang dan Surabaya.
Pantura menghadap Laut Jawa yang cetek di antara Pulau Jawa dengan Kalimantan, salah satu kawasan maritim paling sibuk di Indonesia yang menjadi laluan utama kapal penumpang, kapal kargo dan kapal tangki minyak antara bahagian barat dengan timur kepulauan itu.
Encik Didit, yang juga Timbalan Menteri Kelautan dan Perikanan, berkata penilaian kesan alam sekitar projek itu sudah dijalankan sejak Mac lalu dan tembok laut gergasi tersebut dijangka meliputi kira-kira 2,000 kilometer sepanjang pesisir utara Jawa.
Projek itu dijangka menjadi antara langkah utama bagi melindungi sekitar 60 peratus kawasan perindustrian dan lebih 30 juta penduduk di kawasan terjejas.
Projek tersebut tidak bergantung sepenuhnya kepada struktur fizikal seperti tembok konkrit atau benteng laut luar pesisir.
Di beberapa kawasan, hutan bakau akan dipulihkan dan dipelihara sebagai benteng semula jadi untuk melindungi ekosistem tempatan.
Hakisan pantai, banjir pesisir, penurunan tanah, kemerosotan ekosistem pesisir dan pengurangan hutan bakau serta perubahan bentuk garis pantai akibat penambakan laut untuk pembangunan industri yang seterusnya menyebabkan pencemaran alam sekitar antara masalah utama yang dihadapi masyarakat pesisir.
“Banjir pesisir di sini sangat teruk. Kami tahu ia sudah lama berlaku sebagai fenomena semula jadi, tetapi sejak kawasan pesisir ini menjadi zon industri dan projek penambakan besar-besaran dijalankan, air laut naik lebih cepat ketika air pasang,” kata penduduk kawasan pesisir Gresik, Jawa Timur, Encik Alimun Slamet, 66 tahun, kepada Berita Harian, ketika lawatan pada 29 Mei.
Gresik adalah antara tiga daerah di Jawa Timur bersama Tuban dan Lamongan yang menjadi keutamaan pembinaan tembok laut gergasi itu.
Di Jawa Tengah pula, projek tersebut akan meliputi kira-kira 651.47 kilometer pesisir di Demak, Semarang dan Kendal.
Majlis pecah tanah pada 2027 bagi salah satu projek strategik nasional Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, dijangka berlangsung di kawasan pesisir perindustrian antara Jakarta dengan Bekasi di Jawa Barat.
Ia juga akan melibatkan kawasan antara Demak dengan Semarang, di mana paras laut meningkat sekitar 2.1 milimeter setiap tahun manakala tanah mendap antara 10 dengan 50 milimeter setahun.
Encik Prabowo sebelum ini berkata pentadbirannya akan memastikan projek yang tertangguh sejak peringkat perancangan pada 1995 itu dapat dimulakan.
Menurut sumber di kementerian penyelaras prasarana dan pembangunan wilayah, pemerintah Indonesia berharap memperoleh sokongan kewangan daripada Bank Dunia, manakala Belanda turut menyatakan hasrat memberi pembiayaan bagi beberapa kelompok projek tersebut.
Pemerintah juga berharap mendapat dana daripada agensi pengurusan pelaburan negara Indonesia, BPI Danantara, khususnya menerusi Dana Pengurusan Pembangunan Danantara (DDMF), unit pelaburan khusus di bawah BPI Danantara.
Menteri Penyelaras Prasarana dan Pembangunan Wilayah, Encik Agus Harimurti Yudhoyono, berkata DDMF boleh menjadi saluran kewangan utama bagi projek itu kerana ia memberi tumpuan kepada pembangunan nasional dan prasarana penting selaras dengan keutamaan pembangunan Encik Prabowo.
Kos projek itu dianggarkan antara AS$80 bilion ($103.2 bilion) dengan AS$100 bilion dan dijangka mengambil masa sehingga 10 tahun untuk disiapkan.
“Projek ini sangat mendesak. Ada kawasan yang amat memerlukan perlindungan tembok laut gergasi kerana mengalami penurunan tanah dan kenaikan paras laut yang menyebabkan banjir pesisir,” kata Encik Agus, selepas mesyuarat bersama Danantara pada 15 Jun.
Bagaimanapun, kumpulan penyokong alam sekitar, Walhi, berkata tembok laut gergasi itu tidak menyelesaikan punca sebenar banjir pesisir.
Menurut kumpulan itu, banjir pesisir bukan sekadar disebabkan kemasukan air laut, sebaliknya berpunca daripada kegagalan perancangan ruang dan dasar mitigasi krisis iklim yang berkesan, manakala tindak balas pemerintah pula terlalu bergantung kepada penyelesaian prasarana fizikal seperti tembok laut, penambakan dan projek pembinaan berskala besar.
Pengurus Kempen Keadilan Bandar Walhi, Encik Wahyu Eka Setyawan, berkata sejak sedekad lalu beberapa kawasan di pantai utara terutama di Jakarta dan Semarang terus mengalami banjir pesisir berulang sehingga ada kampung pesisir semakin tenggelam kerana banjir dan kemasukan air laut tidak lagi bersifat bermusim tetapi menjadi keadaan kekal.
“Krisis banjir pesisir mencerminkan kegagalan dasar ruang yang tidak berasaskan daya tampung alam sekitar dan had ekologi.
“Perancangan bandar di Jakarta, Semarang dan Surabaya juga gagal menangani banjir pesisir sebagai masalah struktur akibat penurunan tanah dan pembangunan berskala besar,” katanya.
