JAKARTA: Indonesia menzahirkan kesediaannya untuk menghantar pasukan pengaman ke Gaza jika diperlukan, seperti yang dinyatakan oleh Presiden Prabowo Subianto dalam pertemuannya dengan Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, di Rio de Janeiro.
Encik Prabowo, yang berada di Brazil sempena Sidang Puncak G20, menegaskan bahawa Indonesia komited menyokong usaha PBB demi keamanan sejagat.
“Kami mengulangi komitmen Indonesia untuk menyokong semua daya usaha PBB.
“Jika terdapat kemungkinan gencatan senjata di Gaza dan mandat antarabangsa diperlukan, kami sedia menyediakan pasukan pengaman,” kata Encik Prabowo dalam pertemuan tersebut.
Bagaimanapun, Encik Guterres tidak memberikan komen lanjut berhubung rancangan Indonesia itu.
Namun, beliau menyifatkan Indonesia sebagai “rakan strategik yang sangat bernilai” bagi PBB dan memuji komitmen negara itu terhadap isu sejagat.
Malaysia, melalui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama dengan Indonesia dalam misi keamanan itu.
Bagaimanapun, wakil Palestin ke PBB, Encik Riyad Mansour, berkata tumpuan utama ketika ini adalah menghentikan konflik sebelum mempertimbangkan penyelesaian lain seperti penghantaran pasukan pengaman.
“Selepas peperangan berakhir, kami akan menilai pelbagai pilihan dengan minda terbuka,” kata Encik Riyad dalam satu sidang media di Jakarta sebelum ini.
Indonesia merupakan antara penyumbang utama kepada pasukan pengaman PBB, dengan lebih 2,738 anggota keselamatan negara itu sedang bertugas dalam misi keamanan di seluruh dunia.
Rancangan untuk menghantar pasukan ke Gaza mencerminkan komitmen negara ini untuk terus memainkan peranan aktif dalam usaha keamanan di peringkat sejagat.
Dalam Sidang Puncak G20 itu, Encik Prabowo turut menyertai perbincangan mengenai usaha memerangi kelaparan dan kemiskinan global.
Presiden Brazil, Encik Luiz Inácio Lula da Silva, dalam ucapannya, menekankan bahawa “kelaparan adalah ekspresi biologi daripada penyakit sosial”.
Encik Prabowo menyokong visi tersebut, menyatakan bahawa pemerintah mesti memastikan setiap rakyatnya mendapat makanan berkhasiat.
“Pertumbuhan ekonomi penting, tetapi tiada maknanya jika hanya dinikmati segelintir golongan. Kekayaan mesti diagihkan secara adil,” tegas beliau. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg