JAKARTA: Konflik di Jaluran Gaza semakin memburuk apabila ribuan penduduk Gaza yang melarikan diri dari kawasan utara menghadapi situasi amat getir.
Setelah menerima arahan berpindah dari tentera Israel, pelarian dilaporkan ditembak ketika dalam perjalanan mencari perlindungan.
Kejadian itu dilaporkan Jawatankuasa Penyelamat Kecemasan Perubatan (MER-C), sebuah pertubuhan kemanusiaan Indonesia, yang berada di Gaza untuk memberi bantuan perubatan kepada penduduk yang terjejas.
MER-C pada 10 Oktober mendakwa bahawa relawan mereka di Gaza menyaksikan penduduk yang cuba berpindah diserang oleh tentera Israel, lapor Arab News.
Arahan berpindah dikeluarkan pada pagi 6 Oktober oleh tentera Israel yang mengarahkan penduduk di kawasan utara Gaza agar berpindah ke zon “selamat” di bahagian selatan Al-Mawasi.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MER-C di Jakarta, Encik Sarbini Abdul Murad, memberitahu pihak media dalam kenyataan dengan berkata:
“Kami mempunyai sukarelawan Indonesia di sana, dan ketika mereka melaporkan kepada kami, mereka dapat mendengar bunyi tembakan yang dilepaskan secara rawak ketika penduduk mula berpindah ke arah selatan.”
Encik Sarbini turut mengkritik tindakan Israel yang didakwanya sama seperti permulaan perang di Gaza yang lalu, apabila penduduk diarah berpindah tetapi diserang sepanjang perjalanan, lapor Tempo.co.
Hospital Indonesia yang terletak di utara Gaza beroperasi dalam keadaan sangat terhad.
Walaupun dengan keadaan yang sangat mencabar, kira-kira 40 petugas perubatan mengambil keputusan untuk kekal di hospital demi membantu puluhan pesakit yang cedera parah.
Sukarelawan MER-C turut melaporkan bahawa ramai penduduk masih enggan berpindah walaupun diarah, menyebabkan petugas kesihatan berasa bertanggungjawab untuk terus memberi rawatan.
“Ramai pesakit berada dalam keadaan genting. Walaupun petugas kesihatan diarah berpindah, mereka memilih untuk kekal kerana mereka sangat diperlukan di sana,” jelas Encik Sarbini.
Seorang sukarelawan MER-C, Encik Fikri Rofiul Haq, dalam mesej audionya yang dikongsi di media sosial turut mendedahkan bahawa Israel telah melanggar janji mereka untuk menyediakan laluan kemanusiaan.
“Israel mengeluarkan arahan pemindahan dan menyatakan ada laluan selamat, tetapi mereka mengebom dan menembak pelarian yang sedang berpindah,” katanya.
Situasi ini terus meruncing apabila kira-kira 400,000 orang dilaporkan terperangkap di kawasan utara Gaza.
Ketua Ggensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarianu Palestin (UNRWA), Encik Philippe Lazzarini, dalam kenyataannya mengesahkan ramai penduduk enggan berpindah kerana sedar tiada tempat yang benar-benar selamat di Gaza. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg