Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia sedia kirim kapal hospital rawat mangsa perang

Nov 6, 2023 | 11:38 AM
BANTUAN KEMANUSIAAN: Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo (dua dari kanan), menyaksikan keberangkatan lebih 50 tan kiriman  bantuan dari sebuah pangkalan udara Jakarta dengan diperhatikan Menteri Pertahanan, Encik Prabowo Subianto (empat dari kanan). Encik Prabowo  turut menyatakan Indonesia akan mengirim kapal hospital untuk rawatan pelarian Palestine di Gaza.
BANTUAN KEMANUSIAAN: Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo (dua dari kanan), menyaksikan keberangkatan lebih 50 tan kiriman bantuan dari sebuah pangkalan udara Jakarta dengan diperhatikan Menteri Pertahanan, Encik Prabowo Subianto (empat dari kanan). Encik Prabowo turut menyatakan Indonesia akan mengirim kapal hospital untuk rawatan pelarian Palestine di Gaza. - Foto ihsan PRABOWO SUBIANTO

JAKARTA: Pemerintah Indonesia bersedia menghantar kapal hospitalnya ke perairan dekat Gaza, Palestin, untuk memberi rawatan perubatan kepada mangsa serangan Israel, kata Menteri Pertahanan, Encik Prabowo Subianto.

Encik Prabowo mendedahkan bahawa pemerintah Indonesia merancang untuk menyelaraskan dengan negara-negara di sekitar Jaluran Gaza, termasuk Mesir, bagi mendapatkan kelulusan penghantaran kapal hospital itu.

“Kita akan selaraskan dengan pihak berkuasa Mesir. Angkatan Pertahanan Indonesia sedia menghantar kapal hospital yang akan bersiap sedia di sana, untuk memberikan lebih banyak bantuan,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta, pada Sabtu.

Menteri itu juga memaklumkan kepada Duta Besar Palestin ke Indonesia, Encik Zuhair Al Shun, bahawa Indonesia sentiasa bersedia membantu mangsa perang di Palestin.

Terdahulu, Encik Prabowo mengiringi Presiden Joko Widodo (Jokowi) semasa penghantaran bantuan kemanusiaan Indonesia untuk rakyat Palestin di Gaza, di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma pada Sabtu.

Pada kesempatan itu, Presiden Jokowi memberitahu media bahawa pemerintahnya telah merancang untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin dalam dua kelompok.

“Ini adalah kumpulan pertama bantuan yang terdiri daripada makanan, peralatan perubatan, selimut, khemah dan logistik lain, yang diperlukan oleh penduduk di Gaza.

“Bantuan itu seberat 51.5 tan dan dibawa oleh tiga pesawat,” katanya, lapor agensi berita Antara.

Beliau kemudian menyatakan bahawa bantuan itu menjadi bukti perpaduan dan kepedulian rakyat Indonesia terhadap rakyat di Gaza, yang kini menderita akibat tragedi kemanusiaan ekoran perang Hamas-Israel.

“Tragedi kemanusiaan di Gaza tidak boleh diterima dan mesti ditamatkan secepat mungkin,” tegas Presiden Jokowi.

Dua pesawat C-130 Hercules Tentera Udara Indonesia dan sebuah pesawat Boeing 737 yang disewa oleh Polis Indonesia telah dikerahkan untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan.

Seramai 42 kru penerbangan dan dua pegawai Kementerian Pertahanan ditugaskan untuk melaksana tugas penghantaran.

Ketiga-tiga pesawat itu berlepas dari Jakarta dan akan sampai ke El Ashir, Mesir, melalui beberapa negara.

Di Mesir, bantuan itu akan diserahkan kepada persatuan Bulan Sabit Merah negara itu, sebelum dihantar ke Gaza oleh Agensi Bantuan dan Kerja Raya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Timur (UNRWA).

Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, lagi 47 trak bantuan yang membawa makanan, air, bekalan perubatan dan khemah sudah menyeberangi Lintasan Rafah. Minyak, bagaimanapun, masih tidak dibenarkan dibawa masuk.

Jepun pula akan memberi tambahan AS$65 juta ($87.9 juta) dalam bentuk bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin. Ini diumum Menteri Luar Yoko Kamikawa semasa melakukan lawatan ke Israel dan Jordan.

Bulan lalu, Jepun mengumumkan bantuan AS$10 juta (S$13.5 juta) bagi wilayah itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg