Indonesia semak bajet makanan percuma apabila harga minyak cecah AS$100
Indonesia semak bajet makanan percuma apabila harga minyak cecah AS$100
JAKARTA: Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa, akan memantau kecekapan bajet program Makanan Berkhasiat Percuma (MBG) selepas harga minyak global melepasi AS$100 ($127.40) setong.
Pemerintah akan memantau kesan kenaikan harga minyak global pada bulan depan sebelum sebarang keputusan di ambil.
Meskipun demikian, beliau menyatakan bahawa langkah tersebut tidak semestinya bermaksud pemotongan bajet.
“Bajet MBG tidak akan dipotong, kecuali bagi mereka yang tidak produktif,” kata Encik Purbaya semasa lawatan ke pusat membeli belah popular, Pasar Tanah Abang, di Jakarta, pada 9 Mac.
Menurut beliau, bajet yang tidak perlu akan dinilai semula. Contohnya, perolehan motosikal dan komputer baru
Namun, Encik Purbaya menekankan bahawa bajet yang akan dinilai semula melibatkan perolehan barangan yang tidak berkaitan dengan makanan.
Oleh itu, perbelanjaan untuk program makanan berkhasiat percuma dipastikan berkesan dan cekap.
Selepas sebulan, pemerintah akan menilai semula harga minyak dan kesannya. “Supaya kita boleh melakar dasar yang sesuai. Percayalah, saya agak bijak,” katanya.
Pilihan untuk mengurangkan perbelanjaan MBG sebelum ini disebut oleh Encik Purbaya semasa majlis berbuka puasa bersama wartawan di pejabatnya pada 6 Mac 2026.
Menurutnya, langkah tersebut diambil untuk membendung defisit belanjawan negara akibat lonjakan harga minyak dunia.
Pada masa itu, Encik Purbaya menjelaskan bahawa berdasarkan pengiraan Kementerian Kewangan, jika harga minyak melepasi AS$92 setong, defisit belanjawan negara adalah sekitar 3.6 hingga 3.7 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Beliau menyatakan bahawa Indonesia sebelum ini mengalami lonjakan harga minyak dunia kepada AS$150 hingga AS$200 setong.
Keadaan tersebut tidak menyebabkan ekonomi runtuh, tetapi memperlahankannya.
Harga minyak global melepasi US$100 setong pada 9 Mac 2026 akibat perang di Iran yang nampaknya tindak menunjukkan tanda-tanda akan reda.
Serentak dengan itu, pada permulaan dagangan, Indeks Harga Saham Komposit jatuh sebanyak 2.79 peratus kepada 7,374
Penurunan ini selaras dengan rupiah, yang menjunam ke 17,000 rupiah setiap dolar Amerika Syarikat pada pembukaan dagangan pada 9 Mac.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Program MBG Presiden Prabowo Subianto menyerap 36.6 trilion rupiah ($2.75 bilion) daripada belanjawan negara 2026 apabila bilangan penerima meningkat lebih 60 juta, kata Kementerian Kewangan
Timbalan Menteri Kewangan, Encik Suahasil Nazara, berkata pada 23 Februari bahawa bilangan penerima manfaat terus meningkat dengan ketara – daripada 53.8 juta penerima kepada 60.24 juta sekarang ini. – Agensi berita.

