JAKARTA: Keanggotaan rasmi Indonesia dalam kumpulan ekonomi Brics (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) dianggap sebagai satu langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan negara itu di pentas sejagat.
Namun, ia juga boleh merumitkan pendirian dasar luar berkecuali Indonesia jika bakal presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menganggapnya sebagai satu cabaran kepada kepentingan Amerika.
Dengan dinamik geopolitik yang semakin kompleks, keanggotaan Indonesia dilihat sebagai satu langkah yang boleh membawa peluang besar, tetapi pada masa yang sama, risiko diplomatik yang tidak boleh diabaikan.
Brics adalah gabungan ekonomi baru muncul yang sering dianggap sebagai alternatif kepada institusi yang diketuai Barat.
Ia kini turut dianggotai Mesir, Habsyah, Iran dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Keputusan rasmi mengenai keanggotaan Indonesia diumumkan oleh kementerian luar negara itu pada 8 Januari, sehari selepas pengumuman rasmi oleh Brazil, yang kini pengerusi Brics.
Dalam kenyataannya, kementerian itu mengatakan keanggotaan Indonesia mencerminkan peranan aktif negara itu dalam isu sejagat dan komitmen kepada usaha mewujudkan aturan dunia yang lebih bersifat terangkum dan adil.
Presiden Prabowo Subianto pula menyatakan keanggotaan negaranya adalah langkah penting untuk memperluaskan kerjasama antarabangsa tanpa terikat kepada mana-mana blok kuasa besar.
Langkah menyertai Brics adalah satu perubahan ketara daripada pendekatan mantan Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, yang lebih berhati-hati dalam langkah Indonesia bekerjasama rapat dengan kumpulan tertentu.
Encik Jokowi lebih cenderung menyertai Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), yang terdiri daripada Amerika Syarikat, Jepun dan negara-negara Barat lain.
Sebaliknya, Encik Prabowo, yang baru mengambil alih tampuk kepimpinan pada Oktober 2024, dengan jelas menjadikan keanggotaan Brics sebagai keutamaan dalam dasar luar negaranya.
Menurut penganalisis politik dari Global Counsel, Encik Dedi Dinarto berkata, keputusan itu adalah satu bentuk perlindungan strategik untuk menghadapi perubahan dalam sistem ekonomi sejagat.
“Prabowo kelihatan mahu membuka ruang kepada semua pihak, sekali gus memastikan fleksibiliti dalam menghadapi dinamik sejagat,” katanya.
Langkah itu juga mencerminkan pendekatan lebih aktif yang diambil oleh Encik Prabowo dalam membentuk dasar luar Indonesia.
Namun, ia tidak datang tanpa risiko.
Amerika, di bawah kepimpinan Encik Trump kelak, mungkin melihat keanggotaan Indonesia dalam Brics sebagai cabaran terhadap kepentingan Washington.
Encik Trump sebelum ini mengancam akan mengenakan tarif hingga 100 peratus kepada anggota Brics, selepas kumpulan itu membincangkan penggunaan mata wang alternatif bagi menggantikan dolar Amerika.
Penganalisis politik, Encik Yohanes Sulaiman, memberi amaran bahawa keputusan itu boleh memberi kesan ke atas hubungan baik Jakarta dengan Washington.
“Dengan Trump akan berkuasa dalam beberapa hari, adakah ini waktu yang tepat untuk Indonesia menyertai Brics?” soalnya.
Dari sudut ekonomi, keanggotaan Brics menawarkan pelbagai peluang kepada Indonesia.
Gabungan itu membuka akses kepada pasaran baru di Afrika dan Amerika Selatan serta memperkukuh hubungan dengan negara anggota lain, seperti China, India, dan Russia.
Penyelidik dari Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Encik Dandy Rafitrandi, menyatakan bahawa ini adalah peluang untuk memperluaskan kerjasama Selatan-Selatan.
“Keanggotaan Brics boleh memberikan akses kepada pelaburan dan peluang perdagangan baru,” katanya.
Namun, hubungan ekonomi lebih erat dengan China juga boleh membawa cabaran tersendiri.
Encik Yohanes berkata: “Prabowo mungkin mahukan lebih banyak pembiayaan dan kerjasama dengan China, tetapi ini boleh meletakkan Indonesia dalam kedudukan tidak selesa, terutama dengan Trump mengambil sikap lebih konfrontasi terhadap China.”
Walaupun Brics sering diletakkan sebagai wadah ekonomi, ramai pengamat melihat kumpulan itu sebagai alat geopolitik bagi meluaskan pengaruh Beijing dan Moscow.
Dr Yose Rizal Damuri daripada CSIS mengatakan bahawa kumpulan itu menghadapi cabaran dalaman, termasuk ketegangan antara India dengan China.
“Ada banyak cara lain untuk memperkuat kerjasama Selatan-Selatan, seperti melalui G20 (Kumpulan 20) atau Mikta (Mexico, Indonesia, Korea Selatan, Turkey dan Australia),” katanya.
Namun, penganalisis seperti, Profesor Dr Dewi Fortuna Anwar, daripada Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional (Brin), yakin bahawa keanggotaan Brics tidak semestinya mencetuskan peralihan besar dalam dasar luar Indonesia.
“Saya tidak melihat peralihan politik yang besar. Ini lebih kepada memperluaskan ruang strategik Indonesia di pentas sejagat,” katanya.
Ia juga menimbulkan persoalan sama ada Indonesia masih boleh mengekalkan prinsip dasar luar bebas dan aktif.
Encik Radityo Dharmaputra daripada Universiti Airlangga menyatakan bahawa langkah itu mungkin mencerminkan visi peribadi Encik Prabowo untuk menempatkan Indonesia sebagai pemimpin Selatan Global.
Selatan Global adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan negara yang kebanyakannya terletak di Afrika, Amerika Latin, Asia dan Oceania.
“Mungkin ini lebih kepada visi Prabowo sendiri untuk berada di pentas sejagat bersama pemimpin lain,” katanya.
Keupayaan Indonesia mengimbangi hubungan dengan kuasa besar dan memanfaatkan keanggotaannya dalam Brics untuk kepentingan nasional akan menjadi ujian utama kepimpinan Encik Prabowo dalam memperkukuh kedudukan Indonesia atau membawa komplikasi diplomatik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg