Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia siasat kartel harga feri Batam-S’pura yang tinggi

May 30, 2024 | 2:17 PM
Pihak berkuasa Indonesia dilapor akan menjalankan siasatan berikutan kenaikan harga feri ulang-alik Batam-Singapura yang meningkat sekali ganda sejak selepas pandemik Covid-19.
Pihak berkuasa Indonesia dilapor akan menjalankan siasatan berikutan kenaikan harga feri ulang-alik Batam-Singapura yang meningkat sekali ganda sejak selepas pandemik Covid-19. - Foto AFP

JAKARTA: Suruhanjaya Pengawasan Persaingan Perniagaan (KPPU) Indonesia telah mula menyiasat pengusaha feri Batam-Singapura, berhubung dakwaan amalan kartel yang menyebabkan harga tiket melambung selepas 2022.

KPPU berkata pengendali telah mengenakan tambang antara 800,000 rupiah dengan 900,000 rupiah ($66 hingga $74) untuk satu perjalanan pada separuh pertama 2022, lebih dua kali ganda daripada tambang biasa iaitu antara 270,000 rupiah dengan 450,000 rupiah.

Ketua Pejabat KPPU Wilayah, Encik Ridho Pamungkas, berkata kenaikan itu nampaknya seragam bagi seluruh operator, kemungkinan adanya pakatan harga, lapor The Jakarta Post.

“Kami sudah memanggil pengendali dan ejen perniagaan. Tetapi kami tidak memanggil syarikat induk feri di Singapura.

Terdapat empat syarikat yang sedang disiasat,” kata Encik Ridho pada 28 Mei, seperti dipetik Bisnis.com.

Untuk ke Singapura, ia mengambil masa perjalanan sejam dari Batam melalui pengangkutan feri dan pulau Batam juga telah dibangunkan menjadi zon perdagangan bebas untuk menarik pelaburan asing dalam kemudahan pembuatan domestik.

Beberapa pengendali memberitahu KPPU bahawa kenaikan harga adalah sebagai tindak balas kepada kenaikan kos bahan api serta bilangan penumpang feri yang masih belum kembali normal seperti sebelum Covid-19, kata Encik Ridho.

Beliau menyatakan bahawa bilangan penumpang telah bertambah baik dari semasa ke semasa, dengan angka 2023 pada 60 peratus daripada garis dasar 2019.

“Sekarang (harga tiket feri) masih belum turun, walaupun kadar penumpang perlahan-lahan kembali normal. Ini yang menimbulkan kebimbangan,” kata Encik Ridho.

Ibu pejabat KPPU di Jakarta telah mengadakan perbincangan berkumpulan melibatkan wakil Kementerian Pengangkutan, Pihak Berkuasa Pembangunan Batam (BP Batam) dan pentadbiran wilayah Kepulauan Riau, untuk menangani isu itu.

Pesuruhjaya KPPU, Encik M. Reza dalam satu kenyataan pada 29 Mei berkata agensi itu sedang berusaha mengenal pasti punca tambang tinggi dan sama ada pengusaha bersubahat untuk menetapkan harga yang lebih tinggi.

Sebelum pandemik Covid-19, perkhidmatan feri antara Batam dengan Singapura menyediakan perkhidmatan kepada 3.9 juta penumpang setahun dan 48 peratus daripadanya adalah pelancong asing, berdasarkan data BP Batam.

BP Batam menyatakan dalam perbincangan bahawa pengusaha feri berdepan dengan harga bahan api diesel dan kos operasi yang lebih tinggi serta bilangan penumpang yang berkurang berbanding sebelum wabak itu.

Setiausaha Agung Persatuan Pengangkutan Indonesia (MTI), Encik Haris Muhammadun, berkata dalam perbincangan itu bahawa KPPU boleh meneliti kaedah pemilihan harga, yang ujar beliau sepatutnya mengambil kira keupayaan dan kesanggupan penumpang untuk membayar.

Beliau juga mencadangkan Kementerian Pengangkutan menetapkan harga dasar dan siling bagi tambang, sama seperti amalan dalam industri penerbangan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg