Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia tahan 7 individu dipercayai rancang serang Pope

Sep 6, 2024 | 7:35 PM
Senjata, dron, risalah ISIS dirampas dari rumah salah seorang militan yang merancang menyerang Pope Francis semasa lawatannya ke Jakarta dari 3 hingga 6 September.
Senjata, dron, risalah ISIS dirampas dari rumah salah seorang militan yang merancang menyerang Pope Francis semasa lawatannya ke Jakarta dari 3 hingga 6 September. - Foto POLIS INDONESIA

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia telah menahan tujuh individu yang dipercayai terlibat dalam rancangan untuk menyerang Pope (Paus) Francis semasa lawatannya ke Indonesia.

Penangkapan itu dilakukan oleh unit elit antipengganasan Densus 88, yang mengesahkan bahawa suspek ditangkap kerana menyebarkan ancaman bom melalui media sosial.

Menurut jurucakap Densus 88, Encik Aswin Siregar, penangkapan dilakukan di beberapa lokasi sekitar Jakarta serta di wilayah Sumatera Barat dan Bangka Belitung.

Mereka didakwa mengeluarkan kenyataan dan gambar serta mengancam untuk melakukan serangan bom semasa acara yang dihadiri oleh Paus Francis di Jakarta, lapor The Straits Times.

“Ancaman yang dibuat termasuk hasrat untuk membakar lokasi yang dikunjungi oleh Paus Francis,” kata Encik Aswin pada sidang media, sambil menambah bahawa tindakan undang-undang telah diambil terhadap kesemua suspek.

Lawatan Paus Francis ke Indonesia berlangsung dari 3 hingga 6 September, dan beliau turut menyampaikan mesej perpaduan agama dan menentang ekstremisme.

Jadual lawatan beliau termasuk kunjungan ke Masjid Istiqlal, Katedral Jakarta, Istana Presiden dan ke stadium bola sepak Gelora Bung Karno di Jakarta dalam acara yang dihadiri oleh 80,000 orang.

Paus Francis, 87 tahun, telah menjadikan ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu sebagai persinggahan pertama dalam lawatannya ke Asia-Pasifik, untuk menyampaikan mesej perpaduan agama bagi menentang ekstremisme dan sikap tidak bertolak ansur.

Sebagai langkah keselamatan, kira-kira 4,000 anggota keselamatan termasuk tentera, polis, penembak tepat dan pasukan keselamatan Paus dikerah untuk melindungi beliau sepanjang lawatan di Indonesia.

Jalan-jalan di sekitar lokasi utama ditutup atau dilencongkan bagi memastikan keselamatan terjamin.

Paus Francis juga dikawal oleh anggota Pengawal Swiss Vatican, yang disokong oleh Indonesia, lapor AFP.

Indonesia mengumumkan pada 30 Ogos bahawa mereka menempatkan penembak tepat di sekitar ibu kota untuk memastikan pemimpin agama itu dapat bergerak dengan selamat di antara lokasi yang dilawatinya.

Sementara itu, hasil siasatan awal menunjukkan beberapa suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan radikal ISIS.

Dalam serbuan di rumah salah seorang suspek, pihak berkuasa menemui busur dan anak panah, dron serta risalah ISIS.

Walaupun pihak berkuasa tidak mendedahkan latar belakang suspek pengganas, Indonesia telah lama berdepan dengan ancaman pengganasan, khususnya daripada kumpulan militan.

Negara itu pernah mengalami serangan pengganas yang besar seperti pengeboman Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang.

Sebelum ini, seorang militan bersekutu dengan Al-Qaeda yang merancang serangan ke atas bangunan Bursa Saham Singapura pada 2015, kini sedang disiasat oleh polis tempatan atas pembabitan semasa dan masa lalu dalam rangkaian pengganasan di Indonesia.

Warga Indonesia, Yudi Lukito Kurniawan, 51 tahun, telah ditangkap di Gorontalo, di bahagian utara pulau Sulawesi, pada 21 Ogos.

Pihak berkuasa terus menjalankan siasatan untuk menentukan sama ada suspek tersebut mempunyai hubungan sesama mereka atau beroperasi secara bersendirian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg