SURABAYA: Pemerintah Indonesia menahan empat individu selepas satu demonstrasi antipemerintah di Surabaya bertukar ganas susulan bantahan terhadap kenaikan harga bahan api dan program makanan percuma sekolah yang dikaitkan dengan kes keracunan makanan serta dakwaan rasuah.

Ketua Polis Surabaya, Encik Luthfie Sulistiawan, berkata polis pada awalnya menahan 24 peserta demonstrasi selepas kekecohan tercetus di hadapan Gedung Negara Grahadi pada 26 Jun lalu.

“Daripada jumlah itu, siasatan lanjut dilakukan termasuk meneliti data daripada telefon bimbit yang dibawa mereka dan proses itu masih berjalan,” katanya kepada wartawan di Ibu Pejabat Polis Surabaya, pada 28 Jun.

Menurut beliau, empat daripada mereka kini ditetapkan sebagai suspek kerana dipercayai terbabit dalam perbuatan merosakkan kemudahan awam serta menyerang anggota polis yang mengawal demonstrasi berkenaan.

Empat orang telah kami tetapkan sebagai suspek kerana disyaki melakukan vandalisme serta menyerang petugas. Berdasarkan bukti yang dikumpulkan pihak polis, mereka kini ditahan dan berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun,” katanya.

Kira-kira 100 penunjuk perasaan berhimpun berhampiran bangunan pemerintah di Surabaya bagi membantah kenaikan harga petrol bukan subsidi sekitar 30 peratus serta program makanan percuma sekolah bernilai berbilion dolar yang diperkenalkan pemerintah Presiden Prabowo Subianto.

Program makanan percuma itu sebelum ini menerima kritikan meluas selepas dikaitkan dengan dakwaan salah urus, rasuah dan kejadian keracunan makanan besar-besaran yang menyebabkan puluhan ribu pelajar dilaporkan jatuh sakit sejak ia dilancarkan.

Demonstrasi di Surabaya pada mulanya berlangsung secara aman sebelum keadaan bertukar tegang apabila sekumpulan peserta didakwa mula melakukan provokasi.

Menurut Encik Luthfie, pihak polis beberapa kali cuba meredakan keadaan dengan pendekatan berhemah dan meminta peserta bersurai secara tertib selepas tempoh demonstrasi tamat.

“Kami sudah mengutamakan pendekatan diplomasi dan meminta peserta demonstrasi bersurai secara aman. Namun keadaan berubah selepas berlaku tindakan provokasi termasuk balingan bom botol, mercun dan batu ke arah petugas,” katanya.

Beliau berkata polis turut mengesan sekumpulan penunggang motosikal yang datang ke lokasi sambil menghidupkan enjin dengan kuat sehingga menambah ketegangan di kawasan demonstrasi.

AFP melaporkan beberapa peserta demonstrasi turut membaling objek seperti mercun dan batu ke arah anggota keselamatan sebelum polis mengambil “tindakan tegas” untuk menyuraikan kumpulan terbabit.

Selain empat suspek yang ditahan, polis turut menjalankan siasatan terhadap enam lagi individu selepas ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis syabu.

“Enam orang masih menjalani pemeriksaan lanjut selepas hasil ujian mendapati terdapat kandungan dadah dalam sistem badan mereka,” kata Encik Luthfie.

Beliau menegaskan siasatan masih diteruskan termasuk menganalisis kandungan telefon bimbit yang dirampas bagi mengesan kemungkinan wujud unsur hasutan atau penglibatan kumpulan tertentu dalam kekecohan itu.

“Hasil pemeriksaan terhadap peranti komunikasi masih dianalisis sebagai sebahagian daripada proses siasatan. Setakat ini, 14 individu yang diperiksa belum didapati mempunyai bukti mencukupi untuk didakwa dan telah dibebaskan sementara,” katanya.

Gelombang bantahan terhadap kenaikan harga bahan api tercetus di beberapa bandar utama Indonesia pada Jun ketika pemerintah cuba mengurangkan tekanan fiskal susulan kenaikan harga minyak dunia akibat konflik di Timur Tengah yang menjejaskan bekalan global.

Walaupun Indonesia merupakan pengeluar minyak, negara ekonomi terbesar Asia Tenggara itu masih bergantung kepada import minyak mentah dan bahan api.

Di Jakarta, ribuan mahasiswa turut turun ke jalan raya dalam beberapa siri demonstrasi bagi membantah kenaikan harga petrol serta menuntut supaya program makanan percuma sekolah dihentikan.

Pengkritik mendakwa program itu membebankan kewangan negara selain dipalit isu ketirisan dan kelemahan pengurusan selepas beberapa kes keracunan makanan dilaporkan di pelbagai wilayah.

Pemerintah Indonesia sebelum ini menggantung sebahagian pelaksanaan program berkenaan sementara siasatan dijalankan terhadap pembekal makanan dan pengurusan logistik.

Demonstrasi di Surabaya itu menjadi antara protes terbesar di Jawa Timur sejak kenaikan harga bahan api diumumkan awal bulan ini, sekali gus mencerminkan tekanan ekonomi yang semakin dirasai rakyat ketika kos sara hidup terus meningkat. – Agensi berita.