JAKARTA: Kehadiran anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) ketika tunjuk perasaan mahasiswa di pusat Jakarta pada 12 Jun mencetuskan perbahasan mengenai peranan pasukan keselamatan dalam mengendalikan perhimpunan awam.

Ia sekali gus membuka ruang perbincangan lebih luas tentang demokrasi dan kebebasan bersuara di Indonesia.

Demonstrasi yang digerakkan gabungan mahasiswa dari beberapa universiti di wilayah Jakarta Raya itu berlangsung pada 12 Jun lalu dengan membawa cogan kata, #MenujuIndonesiaBangkrut.

Mereka menuntut pemerintah menilai semula perbelanjaan negara yang dianggap membazir serta menggesa harga bahan api dan keperluan asas diturunkan.

Mahasiswa turut meminta pemerintah menghentikan beberapa program berskala besar termasuk program makanan percuma dan koperasi desa yang menjadi antara agenda utama Presiden Prabowo Subianto.

Perhimpunan itu pada awalnya dirancang berlangsung di kawasan Bundaran Hotel Indonesia (HI) di Jakarta Pusat.

Namun, pihak polis mengarahkan peserta mengadakan demonstrasi di kawasan Kompleks Parlimen Senayan bagi mengelakkan gangguan lalu lintas di pusat ibu kota.

Mahasiswa kemudian turun dari bas dan berjalan kaki beberapa kilometer menuju ke Bundaran HI.

Bagaimanapun, kira-kira 400 meter dari lokasi itu, mereka dihalang beberapa lapisan sekatan keselamatan melibatkan anggota polis dan TNI.

Kehadiran anggota TNI berpakaian hijau di belakang barisan polis menarik perhatian peserta tunjuk perasaan kerana keadaan sedemikian jarang berlaku dalam perhimpunan awam di Jakarta.

Salah seorang peserta dari Universiti Indonesia (UI), Encik Anandaku Dimas Chattaristo, berkata mahasiswa hanya mahu menyuarakan pandangan mereka secara aman.

“Kami berasa tertekan apabila berhadapan dengan polis dan tentera. Kami hanya mahu suara kami didengar,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan itu.

Beliau turut menggesa pemerintah supaya tidak menyekat kebebasan mahasiswa untuk menyampaikan pandangan secara terbuka.

Seorang lagi peserta, Encik Raka Andhika, berkata golongan mahasiswa turun ke jalanan kerana mahu melihat kehidupan rakyat Indonesia menjadi lebih baik.

“Kami datang dengan niat yang baik untuk memperjuangkan rakyat. Jangan anggap kami seperti musuh atau penjenayah bersenjata,” katanya.

Walaupun berlaku sedikit ketegangan apabila beberapa individu melempar botol plastik ke arah anggota keselamatan, tunjuk perasaan secara keseluruhan berlangsung aman dengan mahasiswa terus menyampaikan tuntutan mereka di hadapan sekatan polis.

Penglibatan TNI dalam operasi keselamatan itu turut mendapat perhatian beberapa kumpulan masyarakat sivil dan pemerhati keselamatan.

Pakar ketenteraan dari Centra Initiative, Encik Al Araf, menyifatkan langkah melibatkan anggota tentera dalam demonstrasi awam sebagai sesuatu yang perlu dibincangkan secara berhati-hati supaya tidak menjejas ruang demokrasi.

“Penglibatan tentera dalam demonstrasi awam boleh menimbulkan persepsi bahawa ruang sivil semakin dipengaruhi pendekatan ketenteraan.

“Perkara ini perlu diberi perhatian kerana kebebasan bersuara adalah sebahagian daripada demokrasi,” katanya kepada media tempatan.

Beliau turut mengingatkan bahawa Indonesia mempunyai pengalaman sejarah panjang ketika era pemerintahan mantan Presiden Suharto, apabila tentera kerap digunakan untuk berdepan kumpulan yang mengkritik pemerintah.

Menurutnya, peranan utama TNI adalah mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan nasional, justeru penglibatan dalam demonstrasi awam perlu dilakukan secara terhad dan mengikut peruntukan undang-undang.

Pengarah Eksekutif, Amnesty International Indonesia, Encik Usman Hamid, turut menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan penggunaan kekerasan berlebihan jika anggota tentera terlibat secara langsung dalam kawalan orang ramai.

“Anggota tentera tidak dilatih khusus untuk mengendalikan kawalan demonstrasi seperti pasukan polis,” katanya.

Beliau mengingatkan insiden tunjuk perasaan besar pada 2025 lalu yang menyaksikan beberapa peserta ditahan dan berlaku kematian seorang pemandu motosikal penghantar makanan yang dilanggar kenderaan taktikal polis ketika melalui kawasan bantahan.

Jurucakap TNI Brigedier Jeneral Muhammad Nas, menjelaskan bahawa kehadiran anggota tentera dilakukan atas permintaan pihak polis bagi membantu operasi keselamatan.

Menurut beliau, seramai 500 anggota TNI dikerah membantu kira-kira 3,600 anggota polis mengawal tunjuk perasaan yang disertai sekitar 1,000 peserta.

“Pengendalian demonstrasi berada di bawah bidang kuasa polis, namun, anggota tentera membantu atas permintaan pihak polis,” katanya.

Jurucakap Polis Jakarta, Pesuruhjaya Besar Budi Hermanto, mempertahankan tindakan menghalang tunjuk perasaan di Bundaran HI dengan alasan kawasan itu merupakan laluan trafik utama ibu kota.

“Jika kawasan itu sesak, ia boleh menjejas pergerakan orang ramai dan lalu lintas di jalan lain,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada peraturan pemerintah wilayah Jakarta 2015 yang menetapkan beberapa kawasan khas untuk tunjuk perasaan awam termasuk berhampiran Kompleks Parlimen Senayan.

Bagaimanapun, peraturan tersebut tidak menyatakan secara jelas bahawa demonstrasi di kawasan lain adalah dilarang sepenuhnya.

Jurucakap Gabenor Jakarta, Encik Chico Hakim, pula menegaskan pemerintah wilayah tetap menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman.

“Pemerintah Jakarta menyokong hak rakyat untuk menyampaikan pendapat secara aman seperti yang dijamin undang-undang kebebasan bersuara sejak era reformasi 1998,” katanya.

Undang-undang itu diperkenalkan selepas kejatuhan pemerintahan Encik Suharto dan menjadi antara tonggak penting demokrasi moden Indonesia.

Pemerhati politik melihat perdebatan mengenai penglibatan TNI dalam tunjuk perasaan itu menunjukkan masyarakat Indonesia kini kian aktif memantau keseimbangan antara keselamatan awam dengan kebebasan demokrasi.

Walaupun pandangan berbeza terus wujud, demonstrasi aman yang berlangsung di Jakarta itu memperlihatkan bahawa ruang demokrasi di Indonesia masih hidup dengan rakyat, mahasiswa dan pemerintah terus terlibat dalam dialog terbuka mengenai masa depan negara. – Agensi berita.