Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia tangguh beri bantuan beras gara-gara dakwaan Presiden ‘pancing’ undi

Presiden Jokowi meluang masa melawat seluruh Jawa untuk mengagih bantuan sosial (Bansos) sejak dua bulan lalu, bertepatan dengan musim kempen pilihan raya
Feb 8, 2024 | 1:45 PM
Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, melawat Salatiga, Jawa Tengah pada 22 Januari 2024 bagi memastikan bantuan beras pemerintah diterima  rakyat yang memerlukan.
Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, melawat Salatiga, Jawa Tengah pada 22 Januari 2024 bagi memastikan bantuan beras pemerintah diterima rakyat yang memerlukan. - Foto SEKRETARIAT PRESIDEN INDONESIA

JAKARTA: Pemerintah Indonesia telah menghentikan pengagihan bantuan beras ke serata negara mulai 8 Februari kerana didakwa pentadbiran Presiden, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, menggunakan langkah itu bagi memujuk orang ramai supaya mengundi calon presiden, Encik Prabowo Subianto.

Ketua Agensi Makanan Negara (Bapanas), Encik Arief Prasetyo Adi, berkata langkah memberhentikan sementara pengagihan itu dimulakan dari 8 hingga 14 Februari bagi menyangkal dakwaan bahawa pemerintah mempolitikkan bantuan makanan pada musim kempen pilihan raya.

Dalam surat rasmi kepada syarikat logistik milik pemerintah, Bulog, Bapanas mengarahkan syarikat itu supaya menghentikan pengagihan bekalan beras dan bantuan pemerintah kerana cuti umum Israk Mikraj pada 8 Februari, menurut agensi berita rasmi Antara.

Ini diikuti dengan tempoh hari bertenang pilihan raya dari 11 hingga 13 Februari dan hari pengundian pada 14 Februari. Pengagihan akan disambung semula pada 15 Februari.

Encik Jokowi dan keluarganya telah dikecam hebat sejak Mahkamah Perlembagaan meminda syarat umur minimum untuk calon presiden/naib presiden yang membolehkan anak sulungnya, Encik Gibran Rakabuming Raka, untuk bertanding sebagai naib presiden, berpasangan dengan Encik Prabowo.

Kritikan itu semakin lantang apabila Encik Jokowi dilihat umum dalam gambar semasa makan tengah hari dan makan malam bersama Encik Prabowo, yang juga merupakan Menteri Pertahanan dalam Kabinet Encik Jokowi, lapor The Jakarta Post.

Spekulasi berleluasa bahawa Encik Jokowi cuba menggunakan profil tinggi dan penilaian penerimaan terhadap pemerintahannya untuk menyokong kempen Encik Prabowo walaupun semasa jelajah bantuan sosial beliau tidak secara jelas menggalakkan orang ramai agar mengundi Encik Prabowo yang pernah dikalahkannya dua kali dalam pilihan raya sebelum ini. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg