Indonesia tangguh hantar 8,000 anggota pengaman ke Gaza susulan konflik Timur Tengah
Indonesia tangguh hantar 8,000 anggota pengaman ke Gaza susulan konflik Timur Tengah
JAKARTA: Indonesia menangguhkan rancangan menghantar 8,000 anggota pengaman ke Gaza susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat, kata Menteri Setiausaha Negara, Encik Prasetyo Hadi, selepas mesyuarat penyelarasan di Kementerian Pertahanan. “Semuanya ditangguhkan buat masa ini,” katanya kepada wartawan.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat berikutan situasi keselamatan serantau yang semakin tidak menentu, sekali gus menjejaskan penyertaan Indonesia dalam misi Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF), lapor Antara pada 18 Mac.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Encik Sjafrie Sjamsoeddin, memaklumkan bahawa Indonesia merancang menghantar sehingga 8,000 anggota secara berperingkat, selepas jumlah awal 20,000 anggota dikurangkan. Beliau menegaskan bahawa sebarang penempatan mesti selaras dengan kepentingan negara serta menunggu kelulusan daripada Lembaga Keamanan (BoP).
Indonesia turut diberi peranan sebagai timbalan komander dalam ISF di Gaza, satu kedudukan penting yang mencerminkan kepercayaan komuniti antarabangsa terhadap kemampuan ketenteraan negara itu. Peranan ini melibatkan penyelarasan operasi pelbagai negara anggota serta memastikan pelaksanaan misi pengaman berjalan lancar di lapangan.
Walaupun penempatan ditangguhkan, Tentera Nasional Indonesia (TNI) kekal dalam keadaan siap siaga tinggi. “Persiapan tetap diteruskan bagi memastikan kesiapsiagaan penuh sekiranya keadaan geopolitik kembali stabil dan mandat dikeluarkan,” katanya.
Indonesia, yang sekian lama menyokong kemerdekaan Palestin, menegaskan bahawa penglibatannya hanya akan diteruskan sekiranya ketegangan di rantau itu berkurangan. Setakat ini, tiada garis masa ditetapkan bagi pelaksanaan semula misi tersebut.
Terdahulu, Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, dalam temu bual bersama Bloomberg. menyatakan beliau “terkejut” dengan perang antara Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, sambil mempersoalkan rasional tindakan ketenteraan tersebut. “Kita semua keliru dan saya sedih, saya tidak nampak rasional dalam kempen ketenteraan ini,” katanya dalam temu bual pada 14 Mac lalu.
Beliau menyifatkan konflik itu sebagai “perang tidak seimbang”, dengan Iran berkemungkinan hanya mampu bertahan. Encik Prabowo turut menyatakan bahawa pegawai Iran berhati-hati untuk kembali ke meja rundingan selepas merasakan mereka “tertipu” dalam perbincangan sebelum ini. “Dua kali mereka merasakan diri mereka dipermainkan,” katanya.
Presiden Indonesia itu juga menimbulkan persoalan sama ada strategi pengeboman oleh Amerika boleh membawa kepada perubahan rejim di Iran. “Sangat sukar untuk melaksanakan operasi sebegini hanya melalui serangan udara,” katanya, sambil memberi amaran bahawa pendekatan tersebut mungkin memerlukan pengeboman tanpa diskriminasi.
Konflik yang tercetus sejak akhir Februari itu telah mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, yang kemudian digantikan oleh anaknya, Encik Mojtaba Khamenei.
Encik Prabowo berkata beliau tidak dapat meramalkan tempoh konflik tersebut, tetapi menegaskan semua pihak perlu bersedia untuk berunding bagi mencapai penyelesaian. “Jika boleh berbincang, lebih baik berbincang. Jika boleh selesaikan di meja rundingan, itu lebih baik,” katanya, merujuk kepada pengalamannya sebagai bekas tentera.
Indonesia turut menyatakan kesediaan Indonesia untuk memainkan peranan sebagai pengantara, namun menegaskan usaha itu hanya berkesan jika semua pihak bersedia. “Kami menawarkan diri sebagai salah satu pengantara, tetapi mesti ada kesediaan daripada semua pihak,” katanya.
Beliau turut mempertahankan penyertaan Indonesia dalam Lembaga Keamanan, walaupun menerima kritikan dalam negara. “Setiap dasar pasti ada pro dan kontra. Jika kita berada dalam Lembaga ini, kita masih boleh mempengaruhi dan berusaha ke arah penyelesaian berkekalan, termasuk penyelesaian dua negara,” katanya.
Sebelum ini, Indonesia merancang menghantar pasukan pengaman ke Gaza sebagai sebahagian daripada misi pelbagai negara, dengan sebahagian anggota dijangka dikerahkan seawal April.
Namun, Menteri Luar, Encik Sugiono, mengesahkan semua perbincangan berkaitan kini ditangguhkan susulan situasi di Iran. Pemerintah turut menegaskan bahawa sebarang penempatan pasukan ke Gaza adalah untuk tujuan kemanusiaan dan bukan operasi tempur.
Dalam temu bual yang sama, Encik Prabowo turut menekankan bahawa Indonesia tidak akan menyertai mana-mana pakatan ketenteraan besar. “Kami tidak boleh bergantung kepada sesiapa apabila sesuatu berlaku,” katanya.
Beliau juga memaklumkan Indonesia sedang mempertimbangkan pembelian peralatan ketenteraan dari China, termasuk jet pejuang, sambil menegaskan pendekatan pertahanan negara adalah bersifat defensif. - Agensi berita

