Prabowo: Indonesia sedia keluar dari Lembaga Keamanan jika tidak manfaatkan Plaestin
Prabowo: Indonesia sedia keluar dari Lembaga Keamanan jika tidak manfaatkan Plaestin
Indonesia menangguhkan sementara perbincangan berkaitan penyertaannya dalam forum Lembaga Keamanan yang diilhamkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berikutan situasi tegang di Asia Barat. Jakarta juga menyatakan kesediaan untuk menarik diri daripada forum tersebut sekiranya ia tidak selari dengan kepentingan nasional Indonesia dan tidak memberi manfaat kepada rakyat Palestin.
Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Cik Yvonne Mewengkang, berkata dalam satu taklimat media pada Jumaat, 6 Mac bahawa pemerintah terus memantau dan menilai perkembangan di rantau itu selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran meningkatkan ketegangan, termasuk kematian Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan udara Israel sejak 28 Februari lalu.
“Sebarang perbincangan mengenai Lembaga Keamanan ditangguhkan buat masa ini kerana kami memberi tumpuan untuk memantau kesan perang yang sedang berlaku serta usaha memindahkan rakyat Indonesia yang terkandas di rantau tersebut,” katanya. Beliau menambah bahawa tiada mesyuarat atau perbincangan mengenai Lembaga Keamanan diadakan sepanjang minggu ini.
“Namun setiap keputusan yang diambil Indonesia berkaitan penyertaan dalam forum tersebut akan selaras dengan usaha menyokong kestabilan serta pembinaan semula di Palestin,” katanya.
Pada malam 5 Mac, Presiden Prabowo Subianto memberi jaminan kepada beberapa kumpulan Islam bahawa beliau bersedia menarik balik penyertaan Indonesia daripada forum tersebut jika ia tidak lagi memberi manfaat kepada kepentingan Indonesia yang menyokong Palestin.
Jaminan itu dibuat selepas semakin banyak desakan daripada kumpulan agama termasuk Majlis Ulama Indonesia (MUI), ahli akademik, pakar dan kumpulan masyarakat sivil yang menggesa pemerintah keluar daripada forum tersebut.
Mereka juga meminta pemerintah tidak menghantar ribuan tentera ke Gaza untuk menyertai Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) di bawah forum tersebut, di mana Indonesia telah dilantik dan menerima jawatan sebagai timbalan komander.
Setiausaha Barisan Persaudaraan Islam, Encik Hanif Alatas, berkata Presiden Prabowo menyatakan perkara itu kepada para ulama yang hadir dalam majlis berbuka puasa di Istana Presiden pada 5 Mac.
“Presiden menyatakan bahawa jika beliau melihat tiada lagi manfaat untuk Palestin, tiada ruang untuk memperjuangkan kepentingan Palestin dan tidak lagi selari dengan kepentingan nasional Indonesia, beliau akan menarik diri,” kata Encik Hanif selepas pertemuan itu.
Walaupun memberikan jaminan tersebut kepada para ulama, Menteri Agraria dan Tata Ruang yang juga Timbalan Pengerusi Nahdlatul Ulama, Encik Nusron Wahid, berkata Encik Prabowo tetap berpendirian bahawa pemerintah mengiktiraf Lembaga Keamanan sebagai satu platform bagi usaha mencapai keamanan.
Menurut Encik Nusron, pemerintah komited untuk mengekalkan kedudukan Indonesia dalam inisiatif yang dipimpin Trump itu. “Kita sekurang-kurangnya perlu mencuba melalui inisiatif ini dan tidak seharusnya meninggalkan usaha tersebut sebelum kita mencubanya,” katanya.
Beliau menambah bahawa pemerintah juga tidak menolak pandangan daripada pihak yang mencadangkan agar Indonesia menarik diri daripada forum tersebut. “Pemerintah tidak menolak kritikan daripada pihak yang mencadangkan pengunduran daripada forum ini. Kami mendengar pandangan tersebut sambil memerhati situasi dengan teliti,” katanya.
Menurut Encik Nusron, kebimbangan utama Presiden Prabowo sekiranya Indonesia menarik diri daripada forum tersebut ialah ketiadaan platform alternatif untuk rundingan damai. Katanya, presiden melihat Lembaga Keamanan pada masa ini sebagai satu-satunya forum yang tersedia untuk membincangkan usaha keamanan berkaitan Palestin dan Gaza. “Atas sebab itu, Indonesia bersama lapan negara anggota lain telah bersetuju menggunakan forum ini bagi meneruskan inisiatif keamanan,” katanya.

