Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia tarik balik dasar LPG bersubsidi selepas berlaku huru-hara

Feb 5, 2025 | 12:08 PM
Para penduduk membawa balang gas seberat tiga kilogram yang kosong untuk menukarnya bagi membeli balang gas baru.
Para penduduk membawa balang gas seberat tiga kilogram yang kosong untuk menukarnya bagi membeli balang gas baru. - Foto AFP

JAKARTA: Pemerintah memutuskan untuk membatalkan keputusan mengejutnya untuk melarang peruncit kecil daripada menjual balang gas petroleum cecair (LPG) seberat tiga kilogram selepas dasar itu menyebabkan masalah kekurangan bekalan dan barisan menunggu yang panjang di seluruh negara.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Encik Sufmi Dasco Ahmad, dari Parti Gerindra pimpinan Presiden Prabowo Subianto menyatakan bahawa presiden telah mengarahkan Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Bahlil Lahadalia membenarkan peruncit menjual balang gas tiga kilogram itu.

“Dalam pada itu, pemerintah akan mendaftar secara berperingkat-peringkat para peruncit sebagai pengedar kecil rasmi bagi memastikan had harga dipatuhi dan mengelakkan harga LPG daripada menjadi terlalu tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada 4 Februari.

Encik Dasco juga menjelaskan bahawa dasar mengehadkan pengedaran balang LPG tiga kilogram bukanlah inisiatif Presiden Prabowo, tetapi Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral.

Presiden memutuskan untuk campur tangan selepas menerima laporan bahawa peraturan jualan baru itu menyebabkan orang ramai terpaksa beratur panjang untuk membeli gas memasak, lapor Kompas.

Kementerian menetapkan had jualan balang gas memasak kepada pengedar rasmi melalui peraturan baru pada 1 Februari, dalam usaha mengetatkan pengawasan dan pengedaran bersasar.

Hanya isi rumah, perniagaan mikro, petani kecil dan nelayan berskala kecil dibenarkan membeli bahan api itu.

Pembeli yang layak mesti terlebih dahulu mendaftar di laman web pemerintah dan menunjukkan kad pengenalan mereka di tempat jualan.

Pemerintah juga memberi peruncit kecil yang memenuhi piawaian yang ditetapkan tempoh sebulan untuk mendaftar sebagai pengedar rasmi.

Pelaksanaan peraturan itu menyebabkan berlaku huru-hara dengan beribu-ribu penduduk menyatakan kekecewaan dan kesulitan bagi mendapatkan gas memasak.

Ramai yang terpaksa menunggu sehingga lima jam di bawah terik matahari atau dibasahi hujan untuk membeli bahan api bersubsidi itu.

Di sesetengah tempat berlaku pertengkaran sengit kerana penduduk berebut-rebut bagi mendapatkannya.

Di Tangerang Selatan, Banten, seorang pemilik restoran berusia 62 tahun meninggal dunia di hospital pada 3 Februari kerana keletihan selepas beratur panjang untuk membeli LPG bersubsidi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg