SPH Logo mobile
Langgan|

Indonesia tegas sokong Palestin walau Israel sertai Lembaga Keamanan

Indonesia tegas sokong Palestin walau Israel sertai Lembaga Keamanan

Feb 13, 2026 | 10:22 AM

Indonesia tegas sokong Palestin walau Israel sertai Lembaga Keamanan

forum ekonomi sedunia, WEF, davos, prabowo subianto, donald trump. lembaga keamanan, indonesia, israel
Presiden Prabowo Subianto (kanan) berjabat tangan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 22 Januari semasa majlis pelancaran Lembaga Keamanan di luar acara tahunan Forum Ekonomi Sedunia di Davos, Switzerland. - Foto AFP

JAKARTA: Pemerintah Indonesia menegaskan tidak akan mengubah pendiriannya terhadap Palestin susulan penyertaan Israel dalam Lembaga Keamanan Gaza yang akan bersidang pada 19 Februari di Washington.

Kenyataan itu dibuat ketika timbul kemungkinan bahawa pemimpin Indonesia dan Israel bakal duduk semeja buat kali pertama dalam tempoh lebih tiga dekad.

Kementerian Luar Indonesia menegaskan penyertaan Israel tidak mengubah dasar luar Indonesia yang konsisten menyokong Palestin.

Jurucakap Kementerian Luar, Cik Yvonne Mewengkang, berkata keanggotaan mana-mana negara dalam lembaga tersebut tidak akan menjejaskan prinsip Indonesia.

“Keanggotaan negara mana pun dalam Lembaga Keamanan tidak mengubah posisi prinsip Indonesia,” katanya kepada media pada 12 Februari.

“Kehadiran Indonesia dalam lembaga ini tidak boleh ditafsirkan sebagai pemulihan hubungan politik dengan mana-mana pihak, atau sebagai legitimasi terhadap dasar mana-mana negara,” katanya.

Platform pengurusan pascaperang Gaza, dikenali sebagai Lembaga Keamanan, pada 12 Februari menerima Israel sebagai anggota ke-22 selepas pertemuan antara Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio.

Encik Netanyahu menyifatkan langkah itu sebagai usaha “mengukuhkan lagi pakatan yang tidak boleh dipatahkan antara Israel dan Amerika Syarikat”.

Menurut Cik Yvonne, penyertaan Indonesia adalah berdasarkan mandat untuk menyumbang kepada penstabilan, perlindungan orang awam, bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula Gaza selaras dengan Ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2803 pada 2025.

Lembaga Keamanan kini dianggotai beberapa rakan Amerika Syarikat, negara Asia Barat dan negara Islam lain termasuk Indonesia.

Bagaimanapun, struktur keanggotaannya tidak melibatkan wakil Palestin, sesuatu yang mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

Dengan kemasukan rasmi Israel, negara itu berpeluang menyelaras secara langsung isu akses kemanusiaan, pembinaan semula dan pengaturan keselamatan Gaza dengan anggota lembaga lain, termasuk Indonesia, Pakistan, Qatar dan Arab Saudi, walaupun tiada hubungan diplomatik rasmi antara mereka.

Cik Yvonne menegaskan bahawa Indonesia tetap setia kepada perjuangan Palestin, termasuk menuntut penamatan keganasan terhadap orang awam, mengutuk pelanggaran undang-undang antarabangsa, memastikan akses bantuan kemanusiaan dan memperjuangkan penyelesaian dua negara.

“Indonesia akan memanfaatkan keanggotaan ini untuk mendorong keterlibatan Penguasa Palestin dan memastikan seluruh proses kekal berorientasikan kepentingan Palestin serta menghormati hak asas rakyat Palestin,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa Jakarta melihat kepentingan untuk melibatkan pihak yang berkonflik demi mencapai keamanan yang berkekalan.

“Kita perlu berinteraksi dengan semua pihak yang terlibat konflik agar mewujudkan keamanan di Gaza,” ujarnya.

Setakat ini, Penguasa Palestin belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung struktur keanggotaan lembaga tersebut.

Mesyuarat rasmi pertama Lembaga Keamanan dijadualkan berlangsung pada 19 Februari depan di Washington.

Perbincangan dijangka tertumpu kepada fasa seterusnya pembinaan semula Gaza, termasuk usaha pengumpulan dana.

Sekiranya Encik Netanyahu hadir dan Presiden Prabowo Subianto yang telah mengesahkan kehadirannya turut menyertai mesyuarat, ia berpotensi menjadi detik bersejarah apabila pemimpin Indonesia dan Israel duduk di meja rundingan yang sama buat kali pertama sejak pertemuan Presiden Suharto dengan Encik Yitzhak Rabin lebih 30 tahun lalu.

Dalam suasana kebimbangan terhadap ketiadaan wakil Palestin dalam lembaga tersebut, tekanan domestik juga meningkat agar Indonesia benar-benar melaksanakan janji untuk memperjuangkan kepentingan Palestin dari dalam platform berkenaan.

Sarjana terkemuka, Encik Komaruddin Hidayat, yang juga anggota Gerakan Nurani Bangsa, mengingatkan Indonesia agar tidak sekadar mengikut langkah kuasa besar.

“Indonesia tidak boleh menjadi pengikut. Kita perlu memimpin usaha diplomatik,” katanya.

Beliau merujuk kepada legasi Persidangan Bandung 1955 yang menyatukan negara-negara baru merdeka menentang penjajahan dan dominasi kuasa besar.

“Hari ini menuntut kebangkitan semula semangat Bandung, dengan Indonesia tampil sebagai penggerak utama Global Selatan menentang dominasi negara-negara utara yang lebih berkuasa,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Penyelaras Bidang Perekonomian Airlangga Hartarto memaklumkan bahawa Presiden Prabowo akan berangkat ke Amerika pada 19 Februari.

Selain menghadiri acara berkaitan Lembaga Keamanan, beliau dijangka menandatangani perjanjian perdagangan Perjanjian Tarif Timbal Balas antara Indonesia dan Amerika.

Mesyuarat itu membincangkan perkembangan terkini rundingan antara Indonesia dan Amerika dan Presiden memaklumkan bahawa beliau merancang menghadiri acara pada 19 Februari.

Sekitar tarikh tersebut juga dijadualkan penandatanganan Perjanjian Tarif Timbal Balik, kata Encik Airlangga di Kompleks Istana Presiden. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg