Prabowo bakal ke AS sertai mesyuarat sulung Lembaga Kemananan, meterai perjanjian tarif

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo bakal ke AS sertai mesyuarat sulung Lembaga Kemananan, meterai perjanjian tarif

Feb 12, 2026 | 11:23 AM

Prabowo bakal ke AS sertai mesyuarat sulung Lembaga Kemananan, meterai perjanjian tarif

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Presiden Prabowo Subianto dijangka menghadiri mesyuarat sulung Lembaga Keamanan di Washington pada 19 Februari, dalam lawatan rasmi yang turut merangkumi pemeteraian Perjanjian Tarif Timbal Balas antara Indonesia dan Amerika Syarikat.
Presiden Prabowo Subianto dijangka menghadiri mesyuarat sulung Lembaga Keamanan di Washington pada 19 Februari, dalam lawatan rasmi yang turut merangkumi pemeteraian Perjanjian Tarif Timbal Balas antara Indonesia dan Amerika Syarikat. - Foto Sekretariat Presiden

JAKARTA: Presiden Prabowo Subianto dijangka berlepas ke Amerika Syarikat minggu depan bagi menghadiri mesyuarat sulung Lembaga Keamanan diterajui Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, selain memeterai perjanjian tarif dua hala yang telah dirunding hampir setahun.

Kementerian Luar Indonesia mengesahkan pada 11 Februari bahawa Encik Prabowo akan menghadiri mesyuarat pertama lembaga tersebut di Washington pada 19 Februari. “Pemerintah telah menerima jemputan untuk menghadiri mesyuarat sulung Lembaga Keamanan dan Presiden Prabowo Subianto merancang untuk hadir,” kata jurucakap kementerian, Encik Vahd Nabyl Achmad Mulachela.

Lembaga Keamanan, yang dipengerusikan oleh Encik Trump, pada asalnya diwujudkan untuk menyelia pembinaan semula Gaza selepas dua tahun peperangan. Namun piagamnya dilihat melangkaui isu Palestin, dengan mandat lebih luas dalam menangani konflik global.

Encik Prabowo sebelum ini menghadiri pelancaran lembaga itu pada Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland pada Januari. Setakat ini kira-kira 19 negara telah menyertai inisiatif tersebut, manakala puluhan pemimpin dunia daripada 21 negara anggota dijangka berkumpul di Washington bagi mesyuarat pertama peringkat pemimpin.

Jurucakap Kementerian Luar, Cik Yvonne Mewengkang, berkata Indonesia akan menggunakan platform tersebut untuk memperjuangkan penyelesaian dua negara dalam konflik Israel Palestin.

“Indonesia akan memanfaatkan lembaga ini untuk menggesa perlindungan orang awam, menggalakkan pemulihan dan pembinaan semula Gaza serta memperjuangkan keamanan yang adil dan berkekalan berdasarkan penyelesaian dua negara,” katanya. Beliau menambah kehadiran Encik Prabowo mencerminkan komitmen Indonesia untuk memainkan peranan aktif sejak awal dalam membentuk hala tuju lembaga tersebut.

Namun penyertaan Indonesia dalam Lembaga Keamanan mengundang kritikan, termasuk dakwaan bahawa lembaga itu menyerupai model “bayar untuk sertai” kerana keahlian tetap memerlukan bayaran AS$1 bilion (S$1.27 bilion). Jakarta belum mengesahkan sama ada akan membayar yuran tersebut. Setiausaha Kabinet sebelum ini menjelaskan bahawa keanggotaan Indonesia adalah bersifat tidak tetap dan boleh ditarik balik pada bila-bila masa.

Indonesia yang sejak sekian lama menyokong kemerdekaan Palestin turut menyatakan kesediaan untuk menyumbang tenaga ketenteraan dalam pelan penstabilan antarabangsa di Gaza yang disokong Amerika Syarikat.

Tentera Nasional Indonesia memaklumkan minggu ini bahawa mereka bersedia menghantar sehingga 8,000 anggota sekiranya penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) dimuktamadkan.

Jurucakap Kementerian Pertahanan, Encik Rico Ricardo Sirait, berkata belum ada keputusan akhir mengenai jumlah anggota atau tarikh penempatan. “Secara prinsipnya, Indonesia bersedia menyumbang kepada usaha keamanan dan kemanusiaan,” katanya. Menurut beliau, peranan anggota Indonesia akan tertumpu kepada sokongan pembinaan semula dan perkhidmatan kesihatan di Gaza.

Laporan media Israel menyatakan komponen keselamatan pelan pasca perang Gaza mungkin dilaksanakan tidak lama selepas mesyuarat di Washington, dengan pasukan antarabangsa ditempatkan secara berperingkat dan anggota Indonesia antara yang terawal dihantar.

Pasukan tersebut dijangka membantu mengekalkan kestabilan dalam fasa kedua pelan damai Gaza yang merangkumi pelucutan senjata Hamas, langkah keselamatan serta pembentukan tadbir urus jangka panjang.

Setakat ini Indonesia merupakan satu-satunya negara yang secara terbuka berikrar menghantar tentera. Tentera Nasional Indonesia (TNI) dilaporkan sedang membuat persiapan sambil menunggu kelulusan rasmi daripada Presiden Prabowo, yang dijangka diputuskan menjelang akhir bulan.

Selain isu Gaza, lawatan Encik Prabowo ke Washington turut memberi tumpuan kepada pemeteraian Perjanjian Tarif Timbal Balas (ART), satu kerangka tarif dua hala yang dirundingkan hampir setahun dan beberapa kali hampir gagal dimuktamadkan.

Menteri Penyelaras Ekonomi, Encik Airlangga Hartarto, berkata pemerintah sedang menjadualkan pemeteraian ART pada hari yang sama dengan mesyuarat Lembaga Keamanan. “Presiden merancang untuk menghadiri acara pada 19 Februari dan pada hari yang sama ART dijangka ditandatangani,” katanya selepas mesyuarat bersama Prabowo di Istana Presiden.

Wakil Perdagangan Amerika Syarikat, Encik Jamieson Greer, sebelum ini menyatakan bahawa perjanjian perdagangan dengan Indonesia dijangka dimuktamadkan dalam beberapa minggu.

Di bawah kerangka yang dipersetujui, tarif Amerika ke atas eksport Indonesia akan diturunkan daripada ancaman 32 peratus kepada 19 peratus. Sebagai balasan, Indonesia akan menghapuskan tarif ke atas 99 peratus barangan Amerika yang memasuki pasaran domestik.

Rundingan ART sebelum ini tertangguh akibat pelbagai faktor termasuk penutupan sementara pemerintah Amerika serta pertikaian mengenai klausa yang mewajibkan Jakarta “berunding dengan Washington” sebelum memeterai perjanjian perdagangan digital dengan negara lain. Namun Encik Airlangga pada 3 Februari menegaskan semua isu telah diselesaikan.

Setakat ini hanya Bangladesh telah menandatangani perjanjian tarif dengan pentadbiran Trump, manakala 57 negara disenaraikan dalam senarai tarif timbal balas yang diumumkan Washington.

Gabungan agenda keamanan dan perdagangan dalam lawatan Encik Prabowo mencerminkan pendekatan pragmatik Indonesia di bawah kepimpinan baharu, yang cuba menyeimbangkan komitmen moral terhadap Palestin dengan kepentingan ekonomi nasional.

Mesyuarat di Washington dijangka menjadi pentas penting bukan sahaja untuk menentukan hala tuju pasca perang Gaza, tetapi juga untuk menguji sejauh mana Indonesia mampu memainkan peranan lebih menonjol dalam percaturan geopolitik global, sambil melindungi kepentingan perdagangan dan kedaulatan dasarnya sendiri. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg