Indonesia timbang perluas sekatan media sosial bawah 16 tahun, WhatsApp antara yang dinilai
Indonesia timbang perluas sekatan media sosial bawah 16 tahun, WhatsApp antara yang dinilai
JAKARTA: Pemerintah Indonesia memberi isyarat bahawa senarai platform digital yang diwajibkan mengehadkan akses pengguna bawah 16 tahun boleh diperluas, termasuk aplikasi pesanan popular seperti WhatsApp, menjelang pelaksanaan dasar baharu pada 28 Mac ini.
Ketika ini, Kementerian Komunikasi dan Digital telah mengenal pasti lapan platform berisiko tinggi yang tertakluk kepada peraturan tersebut, termasuk YouTube, Facebook, Instagram, Threads, TikTok, X, Roblox dan Bigo Live.
Langkah itu bertujuan melindungi kanak-kanak daripada pendedahan kepada kandungan tidak sesuai seperti pornografi, buli siber, penipuan dalam talian, ketagihan serta eksploitasi.
Dasar tersebut diperkenalkan susulan penguatkuasaan Peraturan Pemerintah No. 17/2025 mengenai perlindungan kanak-kanak dalam sistem elektronik, atau dikenali sebagai PP Tunas.
Ketua Pengarah Pengawasan Ruang Digital kementerian itu, Encik Alexander Sabar, berkata senarai platform yang dikenali sebagai penyedia sistem elektronik (PSE) masih boleh berubah.
Menurut beliau, beberapa platform yang belum disenaraikan, termasuk WhatsApp, kini dikehendaki menjalankan penilaian kendiri bagi menilai tahap risiko kepada pengguna bawah umur.
“Jika platform tertentu, termasuk WhatsApp, didapati berisiko tinggi berdasarkan penilaian tersebut, mereka akan diwajibkan menyesuaikan had umur minimum pengguna,” katanya kepada The Jakarta Post.
Platform yang belum tersenarai perlu mengemukakan hasil penilaian mereka kepada kementerian untuk disahkan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Pakar keselamatan siber, Encik Alfons Tanujaya, sebelum ini memberi amaran bahawa aplikasi komunikasi seperti WhatsApp, Telegram dan Discord mempunyai ciri yang membolehkan pengguna berinteraksi dengan individu tidak dikenali.
Menurut beliau, ciri tersebut berpotensi meningkatkan risiko eksploitasi terhadap pengguna bawah umur.
“Platform ini membuka ruang kepada interaksi dengan orang asing, yang boleh mendedahkan kanak-kanak kepada risiko keselamatan,” katanya.
Syarikat teknologi Meta, yang memiliki WhatsApp, belum memberikan sebarang maklum balas rasmi berhubung langkah yang dirancang untuk memastikan keselamatan pengguna muda di platform tersebut.
Langkah pemerintah Indonesia ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk mengawal ruang digital dan memperkukuh perlindungan kanak-kanak dalam talian.
Dengan tarikh pelaksanaan semakin hampir, perhatian kini tertumpu kepada sama ada lebih banyak platform akan dimasukkan ke dalam kategori berisiko tinggi, sekali gus memperluas skop sekatan terhadap pengguna bawah umur. - Agensi berita

