Indonesia perketat guna peranti di sekolah susulan larangan media sosial bawah 16 tahun

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia perketat guna peranti di sekolah susulan larangan media sosial bawah 16 tahun

Mar 13, 2026 | 11:49 AM

Indonesia perketat guna peranti di sekolah susulan larangan media sosial bawah 16 tahun

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Indonesia, sekolah, media sosial, Meutya Hafid, Nasaruddin Umar, Teddy Indra Wijaya
Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia, Cik Meutya Hafid (kiri), Menteri Hal Ehwal Agama, Encik Nasaruddin Umar (tengah), dan Setiausaha Kabinet, Encik Teddy Indra Wijaya, tiba bagi menghadiri mesyuarat untuk membincangkan keputusan pemerintah Indonesia melarang penggunaan platform media sosial bagi kanak-kanak bawah usia 16 tahun di Jakarta pada 11 Mac 2026. Langkah itu diperkenalkan bagi melindungi kanak-kanak daripada penyalahgunaan dalam talian dan kandungan berbahaya. - Foto EPA

JAKARTA: Kementerian Pendidikan Rendah dan Menengah Indonesia mula memperkenalkan garis panduan penggunaan peranti elektronik di sekolah bagi menyokong pelaksanaan larangan media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun yang akan berkuat kuasa dalam tempoh kurang tiga minggu lagi.

Larangan terhadap penggunaan platform digital oleh kanak-kanak itu dijadual dilaksanakan secara berperingkat mulai 28 Mac.

Dasar tersebut terkandung dalam peraturan menteri yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital pada 9 Mac.

Peraturan itu merupakan langkah pelaksanaan bagi Peraturan Pemerintah mengenai Perlindungan Kanak-kanak di Ruang Digital, yang dikenali sebagai PP Tunas dan diperkenalkan pada 2025.

Menteri Pendidikan Rendah dan Menengah, Encik Abdul Mu’ti, berkata garis panduan penggunaan alat elektronik di sekolah bertujuan membantu mengawal penggunaan skrin dalam kalangan pelajar.

Menurut beliau, panduan tersebut mengesyorkan supaya tempoh penggunaan skrin dihadkan serta memberi ruang rehat berkala daripada penggunaan peranti.

“Garis panduan ini antara lain mengesyorkan had masa penggunaan skrin, rehat berkala daripada skrin dan penetapan kawasan tertentu di sekolah untuk penggunaan gajet,” katanya selepas menghadiri mesyuarat antara kementerian mengenai perlindungan kanak-kanak di dunia maya di Jakarta pada 11 Mac.

Beliau berkata kementerian telah mula menyebarkan garis panduan tersebut kepada pihak sekolah dan ibu bapa bagi memastikan pelaksanaan dasar baharu itu berjalan dengan lancar.

“Kami telah mula menyebarkan panduan ini dengan harapan pelaksanaan PP Tunas dapat dijalankan dengan berkesan,” katanya.

Sebelum ini, pada Januari, kementerian tersebut juga mengeluarkan peraturan baharu berkaitan pembentukan persekitaran sekolah yang selamat dan selesa.

Peraturan itu merangkumi aspek keselamatan fizikal, psikologi dan juga keselamatan digital pelajar.

Encik Abdul Mu’ti berkata pemerintah mahu membina budaya sekolah yang lebih positif dan menyokong proses pembelajaran.

“Kami mahu membina budaya sekolah yang menggalakkan rasa hormat, saling menghargai dan menyokong proses pembelajaran supaya sekolah benar-benar menjadi ‘rumah kedua’ bagi anak-anak kita,” katanya.

Di bawah larangan media sosial yang diumumkan oleh Kementerian Komunikasi pada 9 Mac, pemerintah akan mewajibkan platform digital menutup akaun media sosial berisiko tinggi milik pengguna bawah 16 tahun.

Langkah itu bertujuan mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada kandungan berbahaya, gangguan dalam talian dan penyalahgunaan media sosial.

Platform digital diberi tempoh tiga bulan untuk menjalankan penilaian sendiri dan memohon klasifikasi sebagai platform berisiko rendah.

Antara platform yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi termasuk Roblox, Instagram, YouTube dan TikTok.

Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital, Cik Meutya Hafid, berkata sesebuah platform masih boleh dianggap berisiko tinggi walaupun kandungannya tidak semestinya berbahaya.

“Walaupun kandungan sesuatu platform tidak berbahaya, ia masih boleh diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi jika sistem algoritmanya menggalakkan ketagihan penggunaan,” katanya.

Wakil daripada YouTube dan TikTok sebelum ini berkata mereka sedang meneliti peraturan baharu itu dan bersedia bekerjasama dengan pemerintah Indonesia bagi memastikan keselamatan pengguna muda di ruang digital.

Turut menghadiri mesyuarat tersebut ialah Menteri Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Kanak-kanak, Cik Arifatul Choiri Fauzi.

Beliau menyambut baik langkah pemerintah memperkenalkan sekatan media sosial kepada kanak-kanak kerana ia dijangka dapat mengurangkan penyalahgunaan gajet dan media sosial.

Menurutnya, penyalahgunaan teknologi dalam kalangan kanak-kanak sebelum ini turut dikaitkan dengan peningkatan kes keganasan terhadap kanak-kanak.

Walaupun dasar larangan itu mendapat sokongan daripada agensi perlindungan kanak-kanak dan sebahagian ahli politik, beberapa pihak memberi amaran bahawa pendekatan tersebut perlu dilaksanakan dengan berhati-hati.

Mereka berpendapat pemerintah tidak seharusnya hanya menumpukan kepada sekatan platform, tetapi juga menyediakan perkhidmatan digital yang lebih mesra kanak-kanak.

Cik Aseanty Pahlevy daripada kumpulan hak digital Rangkaian Kebebasan Bersuara Asia Tenggara (SAFEnet) berkata perlindungan kanak-kanak tidak seharusnya menjejaskan hak mereka untuk mengakses maklumat dan pendidikan secara digital.

“Bagi memastikan perlindungan tidak bertukar menjadi sekatan berlebihan, platform perlu menyediakan perkhidmatan mesra kanak-kanak dan melindungi data peribadi mereka,” kata Cik Pahlevy.

Beliau turut memberi amaran bahawa tanpa alternatif yang sesuai, kanak-kanak mungkin cuba memintas sekatan tersebut.

“Kanak-kanak mungkin memalsukan umur mereka, menggunakan akaun orang dewasa, menggunakan rangkaian peribadi maya atau beralih ke platform yang tidak dikawal,” katanya.

Pakar tadbir urus digital dari Rakhsa Initiatives, Encik Wahyudi Djafar, pula berkata kejayaan dasar tersebut banyak bergantung kepada peranan ibu bapa.

Beliau berpendapat pemerintah perlu meningkatkan usaha memberi penerangan kepada masyarakat serta memperkukuh pendidikan literasi digital.

“Tanpa penglibatan ibu bapa, yang bertanggungjawab memberi kebenaran kepada anak mereka menggunakan platform digital, peraturan ini tidak akan berfungsi dengan baik,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg