Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia tingkat waspada mpox, Bali periksa suhu badan pelancong luar

Aug 23, 2024 | 12:01 PM
Kementerian Kesihatan Indonesia mengetatkan pemeriksaan kesihatan bagi warga asing yang memasuki Indonesia, termasuk Bali.
Kementerian Kesihatan Indonesia mengetatkan pemeriksaan kesihatan bagi warga asing yang memasuki Indonesia, termasuk Bali. - Foto INSTAGRAM RADAR BALI

JAKARTA: Kementerian Kesihatan Indonesia telah meningkatkan usaha mengurangkan penularan wabak mpox di negara ini, melalui pengawasan penyakit, vaksinasi dan ujian.

Ini menyusuli satu pengisytiharan kecemasan kesihatan ekoran lonjakan kes dan penyebaran penyakit virus itu baru-baru ini, termasuk di beberapa negara jiran Indonesia.

Pusat Kuarantin Kesihatan Denpasar (BBKK) di Bali telah melaksanakan pemeriksaan suhu badan ke atas penumpang yang tiba dari luar negara sebagai langkah pencegahan penularan mpox.

“Penumpang yang didapati mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius akan menjalani pemeriksaan lanjut,” kata Ketua Pusat Kuarantin Kesihatan Denpasar, Encik Anak Agung Ngurah Kusumajaya, pada 21 Ogos.

Pelancong juga dikehendaki mengisi kertas soal selidik, yang termasuk soalan mengenai sejarah perubatan, kegiatan kontak, dan destinasi perjalanan terakhir, bagi membolehkan pemerintah mendapatkan data dan sejarah mereka untuk persediaan yang lebih baik sekiranya sesuatu berlaku.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan pada 14 Ogos mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global, di tengah-tengah peningkatan kes di Congo dan negara jirannya.

Status kecemasan itu adalah amaran kedua bagi mpox oleh badan kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu. Sebelum ini status itu dilaksana selama setahun dari Julai 2022 hingga Mei 2023.

Sejak lonjakan kes di Congo, beberapa negara lain telah melaporkan kes yang disyaki atau disahkan mpox, seperti sekurang-kurangnya satu di Filipina dan Thailand.

Di Indonesia, sekurang-kurangnya 88 kes mpox dikesan hingga 17 Ogos, sejak pihak berkuasa kesihatan mengesan kes pertama pada 2022, lapor The Jakarta Post.

Tetapi Kementerian Kesihatan mendakwa ia tidak mengesan sebarang kes baru kebelakangan ini, termasuk yang disebabkan oleh varian baru virus itu.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, terdapat dua jenis virus mpox mempunyai dua jenis: Klad I, yang lebih ganas dan membawa maut, dan Klad II yang kurang teruk.

Cabang Klad I, yang dikenal pasti sebagai Klad Ib, menyebabkan wabak itu di timur laut Congo, dengan yang pertama kali dikesan September lalu dan kadar kematian setinggi 11 peratus. Varian itu kini merebak dengan cepat ke bahagian lain di dunia.

Kajian genom 54 kes setakat ini mendapati majoriti kes di Indonesia disebabkan Klad II, yang “mempunyai kadar kematian lebih rendah dan kebanyakannya menular melalui hubungan seksual”, menurut Encik Yudhi Pramono, ketua pengarah kawalan dan pencegahan penyakit sementara Kementerian Kesihatan, pada 18 Ogos.

Pihak berkuasa kesihatan menyaksikan jumlah kes tertinggi pada Oktober 2023, sebelum ia menurun beransur-ansur. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg