BERLIN: Cacar monyet atau mpox bukanlah varian baru Covid-19 kerana pihak berkuasa secara amnya tahu cara untuk mengawal penularannya.
Demikian tegas seorang pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 20 Ogos dalam satu sidang media.
Pengarah WHO bagi rantau Eropah, Dr Hans Kluge, berkata: “Kita boleh dan mesti tangani mpox bersama.
“Persoalannya, adakah kita akan memilih untuk meletakkan sistem (sedia ada) itu untuk kawal dan hapuskan mpox secara global atau adakah kita akan memasuki satu lagi situasi panik dan tidak ambil endah?
“Bagaimana kami bertindak balas sekarang dan pada tahun-tahun mendatang akan membuktikan ujian kritikal untuk Eropah dan dunia.”
Mpox adalah virus yang menyebabkan parut bernanah dan simptom seperti selesema – ia biasanya tidak begitu teruk tetapi boleh membawa maut.
Varian mpox clade 1b telah mencetuskan kebimbangan global kerana ia kelihatan lebih mudah merebak melalui hubungan rapat.
Satu kes varian telah disahkan minggu lalu di Sweden dan dikaitkan dengan wabak itu yang semakin meningkat di Afrika.
Dr Kluge berkata, tumpuan pada strain klade 1 yang baru memberi peluang kepada Eropah untuk menumpukan semula pada varian klade 2 yang tidak begitu teruk melalui penyebaran nasihat dan pengawasan kesihatan awam lebih baik.
Kira-kira 100 kes baru varian klade 2 mpox kini dilaporkan di rantau Eropah setiap bulan, tambah Dr Kluge.
Beberapa negara sudah mengetatkan pengawasan di pintu sepadan untuk kenal pasti individu yang mungkin dijangkiti mpox.
Kementerian Kesihatan Indonesia, misalnya, memperketat pemeriksaan kesihatan bagi warga asing yang memasuki Indonesia, termasuk tetamu negara.
Di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa bersiap sedia melalui pengukuhan aktiviti pemantauan berkaitan mpox, termasuk meningkatkan pemantauan di semua pintu masuk antarabangsa.
Semua pengembara yang tiba dari negara yang melaporkan mpox perlu memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan mpox bagi tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg