Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mpox: Pemeriksaan diperketat bagi warga asing masuk Indonesia

Pejabat Kesihatan Jakarta lapor 88 kes cacar monyet sehingga 17 Ogos
Aug 19, 2024 | 1:24 PM
Indonesia meningkatkan pemantauan terhadap cacar monyet (mpox) setelah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan peringkat sejagat buat kali kedua dalam tempoh dua tahun, sekali gus menekankan kebimbangan global yang berterusan terhadap penyakit itu.
Indonesia meningkatkan pemantauan terhadap cacar monyet (mpox) setelah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan peringkat sejagat buat kali kedua dalam tempoh dua tahun, sekali gus menekankan kebimbangan global yang berterusan terhadap penyakit itu. - Foto KEMENTERIAN KESIHATAN INDONESIA
-

JAKARTA: Kementerian Kesihatan memperketat pemeriksaan kesihatan bagi warga asing yang memasuki Indonesia, termasuk tetamu negara, bagi mengelak kemasukan cacar monyet (mpox).

“Kami meningkatkan kewaspadaan, terutama di pintu masuk negara, dan mengeluarkan soal selidik untuk warga asing yang menjadi tetamu negara,” kata pemangku ketua pengarah pencegahan dan kawalan penyakit kementerian itu, Dr Yudhi Pramono, dalam satu sidang media dalam talian pada 18 Ogos.

Soal selidik itu termasuk soalan mengenai sejarah perubatan, kegiatan kontak, dan destinasi perjalanan terakhir, bagi membolehkan pemerintah mendapatkan data dan sejarah mereka untuk persediaan yang lebih baik sekiranya sesuatu berlaku.

Menurut Dr Yudhi, pengawasan masih menjadi cabaran hingga Indonesia perlu meningkatkan kewaspadaan, lebih-lebih lagi kes cacar monyet meningkat dalam 2024, dengan kes di Congo, Afrika, mencapai 2,999.

Pejabat Kesihatan Jakarta mengesahkan sekurang-kurangnya 88 kes cacar monyet di beberapa daerah kecil di wilayah itu setakat 17 Ogos.

Pemangku ketua bahagian pencegahan dan kawalan penyakit, Dr Maryati Kasiman, mendedahkan bahawa kes terkini dilaporkan pada Jun.

“Sembilan daripada kes itu membabitkan penduduk Jakarta manakala dua lagi dari luar wilayah ini. Kes terbaru dikenal pasti pada Jun,” kata Dr Maryati kepada portal berita detikcom.

Kes yang dilaporkan merangkumi lapan mukim, iaitu Pasar Minggu, Ciracas, Grogol Petamburan, Jatinegara, Kebon Jeruk, Matraman, Tanah Abang dan Tanjung Priok.

Kesemua individu terjejas berumur antara 21 dengan 50 tahun, dengan kes pertama yang dilaporkan pada 22 Januari membabitkan seorang wanita yang dijangkiti HIV dan jangkitan penyakit kelamin, diikuti oleh kes seterusnya pada 7 Februari.

Dr Yudhi berkata peningkatan kes yang berlaku di negara Afrika disebabkan mpox klad 1b, yang kebanyakannya dijangkiti melalui hubungan seksual dan mempunyai kadar kematian lebih tinggi daripada klad 2b.

Ini adalah asas bagi pengumuman status kecemasan kesihatan sejagat mpox oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 14 Ogos 2024.

Rayuan WHO agar tidak disekat pelancong antarabangsa dan tidak perlu keutamaan dalam vaksinasi menjadi pertimbangan Kementerian Kesihatan untuk mengetatkan lawatan pelancong asing, jelasnya.

“Tempoh inkubasi adalah maksimum 34 hari (dari terdedah kepada gejala), jadi ini memerlukan kewaspadaan di semua pintu masuk negara kita,” kata Dr Yudhi.

“Kes-kes itu datang daripada kumpulan klad 2b, dengan kadar kematian lebih rendah. Kami menghalang klad 1b daripada memasuki Indonesia,” tambah Dr Yudhi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg