Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia, Turkey perkukuh hubungan ekonomi, pertahanan

Feb 12, 2025 | 3:46 PM
Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan (kiri) dan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, di akhir sidang media selepas pertemuan dua hala dan pemeteraian kerjasama antara kedua-duanya di istana presiden di Bogor, Jawa Barat pada 12 Februari.
Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan (kiri) dan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, di akhir sidang media selepas pertemuan dua hala dan pemeteraian kerjasama antara kedua-duanya di istana presiden di Bogor, Jawa Barat pada 12 Februari. - Foto AFP

JAKARTA: Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, bertemu Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, pada 12 Februari dalam perbincangan untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan pertahanan.

Pertemuan tersebut adalah sebahagian daripada Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSCC) pertama, yang diwujudkan selepas kedua-dua negara bersetuju membentuk forum ini pada mesyuarat di Bali pada 2022.

Lawatan negara Encik Erdogan ke Indonesia, negara Muslim terbesar di dunia dan ekonomi terbesar di Asia Tenggara, adalah persinggahan kedua dalam lawatan empat hari beliau yang turut melibatkan Malaysia dan Pakistan.

“Mesyuarat ini adalah forum dua hala tertinggi antara kedua-dua negara untuk membincangkan semua isu berkepentingan bersama, termasuk isu strategik dan keutamaan,” kata jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Encik Rolliansyah Soemirat, sebelum lawatan tersebut.

Menurut kenyataan rasmi Turkey, perbincangan antara Encik Erdogan dan Encik Prabowo turut memberi tumpuan kepada isu-isu serantau dan global terkini, terutama konflik di Gaza.

Pada 10 Februari Encik Erdogan telah bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan sekali lagi menyatakan pendiriannya menentang cadangan Amerika Syarikat untuk memindahkan rakyat Palestin dari Gaza.

“Kami tidak menganggap cadangan mengasingkan rakyat Palestin dari tanah mereka yang telah didiami selama ribuan tahun sebagai sesuatu yang boleh diterima,” kata Encik Erdogan.

Encik Erdogan dan isteri, Wanita Pertama Emine Erdogan, tiba di Jakarta pada lewat 12 Februari dalam hujan renyai dan disambut oleh Encik Prabowo di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma.

Tahun 2025 ini menandakan ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik antara Indonesia dan Turkey.

Hubungan antara Indonesia dan Turkey semakin rapat dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Kedua-dua pemimpin sebelum ini bertemu di Ankara pada Julai 2023 ketika Encik Prabowo masih Presiden terpilih dan Menteri Pertahanan.

Dalam pertemuan tersebut, Encik Prabowo berjanji meningkatkan kerjasama dalam bidang pertahanan dan bidang strategik lain yang memberi manfaat bersama.

Kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara bermula dengan perjanjian pada 2010, yang menyaksikan syarikat senjata milik negara Indonesia, Pindad, bekerjasama dengan FNSS dari Turkey dalam pembangunan model baru kereta kebal sederhana.

Pada 2023, kedua-dua negara turut menandatangani pelan tindakan untuk latihan ketenteraan bersama dan kerjasama dalam industri pertahanan.
Turkey dan Indonesia juga merancang menandatangani perjanjian dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, dan teknologi semasa lawatan Encik Erdogan.

“Lawatan negara ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Indonesia dan Turkey. Diharapkan lawatan ini akan membawa kesan positif kepada kemajuan kedua-dua negara,” menurut kenyataan rasmi daripada Sekretariat Presiden. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg