PUTRAJAYA: “Saya boleh guna selagi saya menjadi Perdana Menteri, tetapi selepas itu kena serah balik kepada negara,” kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung kenderaan elektrik (EV) yang dihadiahkan Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, kepadanya.
Kenderaan berjenama TOGG keluaran Turkey itu diterimanya baru-baru ini sebagai tanda persahabatan antara kededua negara.
Datuk Anwar berkata beliau sempat menggunakan kenderaan itu untuk meninjau persiapan menyambut kehadiran Encik Erdogan sempena lawatan rasminya ke Malaysia selama dua hari mulai 10 Februari.
“Saya kebetulan cuba mobil EV yang dihadiahkan oleh Presiden Turkey... beliau hadiahkan kepada Perdana Menteri, tapi bagi saya kepada negara, ia bukan hak saya,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Sementara itu, Datuk Anwar menyifatkan Encik Erdogan sebagai pemimpin yang berani dan tegas dalam menuntut keadilan terhadap Palestin, sekali gus membawa keamanan di Asia Barat.
Menurut beliau ketika negara lain masih teragak-agak untuk bertindak, Encik Erdogan menunjukkan kejelasan moral dan keberaniannya terhadap isu Palestin.
Dalam pada itu, Encik Erdogan menekankan peranan Malaysia sebagai rakan strategik utama sempena lawatan rasminya, sekali gus menegaskan komitmen Turkey dalam mempererat hubungan dua hala dan kerjasama dalam isu global, khususnya perjuangan Palestin.
Encik Erdogan turut dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat dalam Hubungan Antarabangsa oleh Universiti Malaya (UM) pada 10 Februari, sebagai mengiktiraf sumbangan besar beliau kepada diplomasi sejagat dan rundingan antarabangsa.
Ijazah Kehormat itu disampaikan Canselor UM, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, kepada Encik Erdogan pada majlis konvokesyen khas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 10 Februari.
Menurut Encik Erdogan, Turkey menyasar untuk menggandakan perdagangannya dengan Malaysia kepada AS$10 bilion (RM44.7 bilion / $13.57 bilion), selepas melepasi paras AS$5 bilion pada 2024.
“Daripada teknologi semikonduktor kepada automotif, daripada teknologi pesawat kepada simulator awam (penerbangan), kami ingin meningkatkan usaha bersama dalam setiap sektor dan bergerak maju bersama dalam pelbagai bidang dengan Malaysia,” katanya selepas menyampaikan ucapan umum di Kuala Lumpur.
Malaysia menjadi persinggahan pertama dalam lawatan Encik Erdogan ke rantau ini merangkumi Malaysia, Indonesia dan Pakistan, dan beliau menyifatkan Malaysia sebagai rakan kongsi strategik komprehensif sejak 2022 dan selaku Pengerusi Asean pada 2025.
Selain kerjasama dalam perdagangan dan ekonomi, Encik Erdogan turut menekankan komitmen bersama Malaysia dan Turkey dalam isu-isu antarabangsa.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg