JAKARTA: Indonesia menutup sementara laluan pendakian di sembilan taman negara ketika kebakaran hutan dan tanah semakin meluas, dengan hampir 286,000 hektar kawasan dilaporkan terbakar di seluruh negara sejak awal tahun ini hingga akhir Ogos.

Langkah itu diambil ketika pemerintah meningkatkan operasi pemadaman sepanjang September, yang dianggap tempoh kritikal berikutan musim kemarau berpanjangan dan kelewatan hujan.

Menteri Perhutanan Indonesia, Encik Raja Juli Antoni, berkata penutupan sementara itu bertujuan melindungi keselamatan pendaki, selain membolehkan aset dan anggota pemadam kebakaran ditumpukan ke kawasan paling terjejas.

“Akan ada surat edaran rasmi daripada Ketua Pengarah Pemuliharaan Sumber Asli dan Ekosistem (KSDAE), namun saya boleh mengumumkan penutupan sementara sembilan taman negara,” katanya selepas mesyuarat penyelarasan pengurusan kebakaran hutan dan tanah di Palembang, Sumatera Selatan, pada 31 Ogos.

Sembilan kawasan terbabit ialah Taman Negara Bromo Tengger Semeru bagi laluan Gunung Semeru; Kerinci Seblat; Gunung Ciremai; Tambora; Manusela; Bukit Baka Bukit Raya; Gunung Gede Pangrango; Gunung Leuser dan Taman Negara Lorentz bagi laluan Ilaga, Tsinga, Sugapa serta Ugimba.

Menurut Encik Raja Juli, kebakaran di beberapa taman negara semakin membebankan operasi pemadaman kerana kawasan terbabit mempunyai bentuk muka bumi yang menyukarkan anggota dan peralatan untuk sampai ke lokasi kebakaran.

Keadaan itu turut memaksa pihak berkuasa mengalihkan helikopter pengebom air yang pada asalnya ditugaskan ke kawasan sasaran utama.

“Disebabkan kebakaran luar biasa di beberapa taman negara, helikopter berkenaan akhirnya turut dikerahkan ke sana,” katanya.

Beliau menegaskan penutupan laluan pendakian itu adalah langkah pencegahan sementara dan bukan sekatan kekal terhadap kegiatan pelancongan alam semula jadi.

Risiko kepada pendaki menjadi perhatian selepas kira-kira 170 orang dilaporkan terperangkap akibat kebakaran yang merebak di Taman Negara Bromo Tengger Semeru sebelum ini.

Bagaimanapun, beberapa kawasan masih dibenarkan menerima pendaki secara terhad dengan syarat keselamatan ketat dan hanya di zon yang dianggap selamat.

Ia termasuk Taman Negara Gunung Rinjani, Gunung Merbabu, kawasan Perlindungan Hidupan Liar Dataran Tinggi Hyang di Gunung Argopuro serta Taman Negara Gunung Halimun Salak.

Pemerintah belum menetapkan tarikh bagi pembukaan semula sembilan taman negara yang ditutup itu.

Ia bergantung kepada penilaian risiko kebakaran oleh pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Kementerian Perhutanan akan meningkatkan operasi modifikasi cuaca, penggunaan helikopter pengebom air dan pengerahan pasukan darat sepanjang September bagi mengawal kebakaran.

Encik Raja Juli menyifatkan bulan September sebagai tempoh penentu dalam usaha Indonesia menangani kebakaran kerana hujan semula jadi dijangka lewat tiba.

“September adalah medan pertempuran kita,” katanya, merujuk ramalan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) bahawa hujan mungkin hanya kembali pada awal Oktober.

Operasi modifikasi cuaca, termasuk pembenihan awan bagi menghasilkan hujan di kawasan terjejas, akan dimaksimumkan selagi keadaan atmosfera mengizinkan.

Kementerian itu juga akan mengerahkan kira-kira 1,000 anggota tambahan bagi membantu pasukan pemadam kebakaran di darat dan mengelakkan anggota barisan hadapan mengalami keletihan selepas operasi berpanjangan.

“Pasukan darat mesti dikerahkan seoptimum mungkin di kawasan yang mempunyai jumlah titik panas tinggi, disokong sistem penggiliran harian yang tersusun,” kata Encik Raja Juli.

Anggota tambahan turut ditugaskan membantu keperluan logistik operasi di lapangan.

Data menunjukkan skala kebakaran yang dihadapi Indonesia semakin membimbangkan.

Hampir 286,000 hektar kawasan dilaporkan terbakar di seluruh negara antara Januari dengan akhir Ogos 2026.

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) pula melaporkan lebih 48,889 hektar terbakar di enam wilayah yang diberi keutamaan dalam operasi menangani kebakaran.

Enam wilayah itu ialah Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Pada tahap kemuncaknya, sistem pemantauan kebakaran SIPONGI milik Kementerian Perhutanan turut mengesan lebih 1,200 titik panas aktif di Kalimantan dan Sumatera.

Kebakaran meluas itu dikaitkan dengan musim kemarau berpanjangan akibat fenomena El Niño, yang menyebabkan keadaan tanah dan tumbuh-tumbuhan menjadi semakin kering serta mudah terbakar.

Keadaan itu diburukkan lagi oleh kegiatan pembukaan tanah secara haram menggunakan kaedah tebang dan bakar.

Dengan hujan yang belum dijangka kembali secara konsisten sehingga awal Oktober, pemerintah kini memberi tumpuan kepada usaha mengawal kebakaran sepanjang September bagi mengelakkan lebih banyak kawasan hutan dan tanah musnah serta mengurangkan risiko kepada orang ramai. - Agensi berita