JAKARTA: Jerebu tebal akibat kebakaran hutan dan tanah yang semakin meluas menyelubungi beberapa wilayah Indonesia, menyebabkan kes jangkitan pernafasan melonjak, sekolah ditutup dan penerbangan terganggu ketika jutaan penduduk berdepan mutu udara yang semakin buruk.

Antara kawasan paling terjejas ialah Riau, Sumatera Selatan dan beberapa wilayah di Kalimantan, dengan Kementerian Kesihatan Indonesia menganggarkan lebih tiga juta penduduk di 37 bandar dan daerah terdedah secara langsung kepada asap kebakaran.

Di Riau, jarak penglihatan merosot kepada sekitar 500 meter sejak beberapa hari lalu, manakala paras zarah halus PM2.5 meningkat kepada 235.7 mikrogram bagi setiap meter padu udara.

Paras itu lebih 15 kali ganda daripada had purata 24 jam sebanyak 15 mikrogram yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

PM2.5 merujuk kepada zarah halus berdiameter 2.5 mikrometer atau lebih kecil yang boleh memasuki jauh ke dalam paru-paru dan menimbulkan risiko kesihatan, terutama jika seseorang terdedah kepadanya dalam tempoh panjang.

Di Pekanbaru, ibu kota Riau, penduduk berkata bau asap semakin kuat sehingga menyebabkan kesukaran bernafas, pening dan mata pedih.

Seorang penduduk, Cik Styaningrum, berkata keadaan pada 24 Ogos lebih buruk berbanding hari sebelumnya.

“Ketika saya pergi ke kedai berhampiran pagi tadi, bau asap begitu kuat sehingga saya sukar bernafas dan berasa pening,” katanya.

Beliau berkata zarah halus turut kelihatan berterbangan dan mendap di beranda rumahnya, menyebabkan beliau kini mengelak berada di luar kecuali jika benar-benar perlu.

Seorang lagi penduduk, Encik Andi Masrial, pula melarang anak lelakinya yang berada di darjah lima daripada bermain di luar selepas kanak-kanak itu mula batuk.

“Anak saya batuk, jadi kami menutup tingkap dan memastikan dia berada di dalam bilik dengan penyaman udara dipasang,” katanya.

Beberapa kawasan di Riau, termasuk Kabupaten Pelalawan, mengarahkan sekolah beralih kepada pembelajaran dalam talian bagi mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada jerebu.

Pemangku Gabenor Riau, Encik S.F. Hariyanto, berkata pihak berkuasa wilayah mula mengagihkan sekitar 110,000 pelitup kepada penduduk, selain menyediakan ubat dan bekalan perubatan untuk masyarakat serta anggota bomba.

Riau telah mencatatkan 237,835 kes jangkitan saluran pernafasan akut (ISPA) sejak awal 2026.

Pasukan kecemasan kini berusaha memadamkan tujuh kebakaran di empat daerah, namun cuaca panas dan kering serta angin kencang menyukarkan operasi.

Sebahagian besar kebakaran melibatkan tanah gambut yang boleh merebak di bawah permukaan tanah, menyebabkan api sukar dipadamkan sepenuhnya.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana dan Kebakaran Riau, 16,264 hektar kawasan telah terbakar sejak Januari, dengan tanah gambut membentuk 92 peratus daripada keseluruhan kawasan terjejas.

Keadaan turut membimbangkan di Sumatera Selatan.

Asap tebal menyelubungi Palembang sehingga mutu udara mencapai tahap “sangat tidak sihat”, manakala jarak penglihatan dilaporkan merosot sehingga hanya 20 meter ketika jerebu berada pada tahap paling buruk.

Lebih 1,900 hektar tanah terbakar di Sumatera Selatan pada 2026, dengan pihak berkuasa merekodkan 1,723 kejadian kebakaran dan hampir 13,000 titik panas.

Palembang pula telah mencatatkan lebih 99,000 kes ISPA tahun ini, termasuk 9,313 kes baharu pada Ogos sahaja.

Pihak berkuasa mengagihkan 16,500 pelitup percuma di beberapa lokasi sibuk di bandar itu.

Kesan jerebu turut dirasakan di Kalimantan, dengan jarak penglihatan yang buruk menjejaskan perjalanan udara.

Sebanyak 43 penerbangan dari Jakarta ke beberapa destinasi di Kalimantan dibatalkan pada hujung minggu akibat keadaan tersebut.

Di Kalimantan Barat, kemudahan kesihatan merekodkan sekitar 5,000 kunjungan kecemasan setiap minggu bagi jangkitan pernafasan sejak Julai – 10 kali ganda berbanding purata sekitar 500 seminggu pada separuh pertama 2026.

Kalimantan Tengah pula telah merekodkan sekitar 70,400 kes ISPA sepanjang tahun, dengan peningkatan ketara sejak Julai.

Data sistem pemantauan kebakaran Kementerian Perhutanan menunjukkan 57,081 hektar kawasan terbakar di lima wilayah Kalimantan antara Januari dengan Jun, melebihi 55,717 hektar yang terbakar sepanjang 2025.

Di seluruh Indonesia, jumlah kes jangkitan pernafasan meningkat kepada sekitar 400,000 seminggu sejak akhir Julai, dengan lebih 10.6 juta kes direkodkan sehingga awal Ogos.

Ketua Pusat Krisis Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Encik Agus Jamaludin, berkata 314 petugas kesihatan telah dikerahkan, khususnya ke Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Pusat kesihatan yang beroperasi sepanjang masa turut dibuka, selain pengagihan pelitup perubatan, ubat bagi masalah pernafasan dan ubat titis mata.

Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, bagaimanapun yakin kebakaran hutan dan tanah dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh satu hingga dua minggu.

Beliau berkata musim kering tahun ini menjadi lebih buruk akibat fenomena El Nino, tetapi usaha memadam kebakaran semakin menunjukkan kemajuan.

“Saya percaya keadaan mula dapat dikawal dan masalah ini sedang ditangani. Saya berharap semua kebakaran yang berlaku di beberapa tempat dapat dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh satu hingga dua minggu,” katanya.

Menurut Encik Prabowo, pemerintah telah mengerahkan ribuan anggota serta puluhan helikopter dan pesawat untuk operasi pengeboman air, selain membina telaga bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk operasi memadam kebakaran.

“Saya bangga dengan kemajuan yang dicapai anggota kita di lapangan,” katanya. “Kita kuat dan mampu mengatasi halangan serta cabaran.” – Agensi berita.