JAKARTA: Pemerintah Indonesia mengumumkan penyusunan semula program latihan ala tentera bagi calon pengurus Koperasi Desa/Kelurahan Merah Putih (KDKMP) dan Koperasi Nelayan Merah Putih (KNMP) dengan memberi tumpuan lebih besar kepada pembangunan kepimpinan, pengurusan dan pembinaan sahsiah peserta.

Langkah itu diumumkan selepas Kementerian Pertahanan melakukan penilaian menyeluruh terhadap program berkenaan susulan kematian lima peserta sepanjang dua minggu lalu ketika mengikuti latihan yang sebelum ini dikenali sebagai Latihan Dasar Ketenteraan (Latsarmil).

Ketua Biro Informasi Pertahanan Sekretariat Jeneral Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral Rico Ricardo Sirait berkata, pendekatan latihan kini diubah kepada “Latihan Pembekalan Bela Negara dan Pengurusan”.

“Kementerian Pertahanan melakukan penyesuaian pendekatan kegiatan. Terminologi dan pelaksanaan kegiatan kini diarahkan menjadi Latihan Pembekalan Bela Negara dan Pengurusan, bukan lagi latihan dasar ketenteraan,” katanya pada 30 Jun.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas Menteri Pertahanan Encik Sjafrie Sjamsoeddin mengarahkan penilaian menyeluruh terhadap sistem latihan serta aspek keselamatan peserta.

Menurut BG Rico, beberapa aktiviti fizikal dan latihan bercorak ketenteraan turut dikurangkan termasuk latihan menembak yang tidak lagi dimasukkan dalam modul latihan semasa.

“Fokus kegiatan kini diarahkan kepada pembentukan disiplin, karakter, kepimpinan, kerja berpasukan, tanggungjawab, semangat kenegaraan dan kesiapsiagaan pengurusan sebagai calon pengelola koperasi,” katanya.

Beliau menegaskan program itu bukan bertujuan melahirkan anggota tentera, sebaliknya membentuk pemimpin koperasi desa yang berintegriti dan mampu memacu pembangunan ekonomi luar bandar.

“Program ini bertujuan membina karakter, disiplin, kepimpinan, integriti dan semangat khidmat masyarakat, bukannya untuk memilitarkan orang awam,” katanya lagi.

Program latihan selama 45 hari itu dilancarkan pada 14 Jun lalu melibatkan lebih 35,000 calon pengurus koperasi dan nelayan di seluruh Indonesia sebagai sebahagian agenda pembangunan ekonomi desa Presiden Prabowo Subianto.

Namun, program itu menerima perhatian meluas selepas lima peserta meninggal dunia akibat beberapa masalah kesihatan termasuk serangan jantung, strok haba, batuk kering dan radang paru-paru.

Mangsa terbaharu ialah Cik Novia Rahmadhani Sihotang, Encik Muhammad Rifki Renaldi Gunawan dan Cik Nola Dya Sari yang meninggal dunia antara 22 hingga 26 Jun lalu.

Sebelum itu, Cik Anisa Muyassaroh dan Encik Yonanda Muhammad Taufiq turut dilaporkan meninggal dunia pada 17 dan 18 Jun.

Kementerian Pertahanan sebelum ini menjelaskan semua peserta telah menjalani pemeriksaan kesihatan wajib sebelum menyertai latihan dan menerima rawatan apabila mengalami masalah kesihatan sepanjang program berlangsung.

Ketua Badan Pembangunan Sumber Manusia Kementerian Pertahanan, Mejar Jeneral Ketut Gede Wetan Pastia berkata kementerian kini memperkukuh pemantauan kesihatan peserta bagi memastikan latihan berjalan lebih selamat.

“Atas arahan Menteri Pertahanan, penyelenggara telah melakukan penilaian menyeluruh terhadap aspek kesihatan,” katanya.

Menurut beliau, pemeriksaan kesihatan lebih terperinci akan dilakukan dan setiap pusat latihan tentera perlu menyesuaikan intensiti aktiviti fizikal mengikut kemampuan peserta.

Beliau berkata pendekatan pembelajaran juga akan dibuat lebih fleksibel dan mesra peserta.

“Kegiatan akan lebih adaptif, edukatif dan mengambil kira keadaan psikologi peserta melalui kaedah pembelajaran yang membina semangat kerja sama, penyelesaian masalah dan suasana yang lebih menggembirakan,” katanya.

Beberapa institusi awam dan badan pemantau turut menyambut baik langkah penambahbaikan yang diumumkan pemerintah.

Anggota Ombudsman Republik Indonesia, Encik Maneger Nasution berkata program pembangunan koperasi desa tetap penting bagi memperkukuh ekonomi masyarakat luar bandar.

Bagaimanapun, beliau menegaskan aspek keselamatan peserta mesti menjadi keutamaan dalam setiap program pembangunan negara.

“Penilaian menyeluruh diperlukan untuk memastikan kejadian serupa tidak kembali berlaku,” katanya.

Menurut beliau, calon pengurus koperasi lebih memerlukan kemahiran pengurusan organisasi, pemahaman kewangan, strategi perniagaan dan pembinaan jaringan ekonomi desa.

“Penanaman disiplin tetap penting, tetapi orientasi latihan perlu lebih menitikberatkan pengukuhan kapasiti pengurusan koperasi,” katanya.

Pandangan hampir sama disuarakan Suruhanjaya Nasional Hak Asasi Manusia Indonesia (Komnas HAM) yang mencadangkan pembangunan kapasiti peserta lebih tertumpu kepada kepimpinan, tadbir urus koperasi dan literasi kewangan.

Penyelaras Jawatankuasa Kecil Penguatkuasaan Komnas HAM, Encik Pramono Ubaid Tantowi berkata pengurus koperasi memerlukan latihan yang relevan dengan cabaran sebenar pengurusan ekonomi desa.

“Peningkatan kapasiti peserta seharusnya difokuskan kepada pengukuhan kemampuan kepimpinan dan pengurusan usaha,” katanya.

Sementara itu, Wakil Menteri Sekretariat Negara, Encik Juri Ardiantoro berkata Presiden Prabowo mengikuti rapat perkembangan program tersebut dan menerima pelbagai pandangan daripada masyarakat.

Menurut beliau, pemerintah komited meneruskan agenda pembangunan koperasi desa sambil memastikan penambahbaikan dilakukan secara berterusan.

“Pemerintah memastikan latihan tetap berjalan dengan langkah penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beberapa kumpulan masyarakat sivil dan ahli akademik turut menggesa supaya pendekatan latihan awam sentiasa disesuaikan dengan keperluan peserta serta matlamat program pembangunan negara.

Pemerhati ketenteraan, Encik Jaleswari Pramodhawardani berkata tragedi yang berlaku perlu dijadikan pengajaran penting untuk memperkukuh pendekatan latihan yang lebih selamat dan sesuai bagi orang awam.

“Keselamatan peserta perlu menjadi fokus utama dalam setiap program pembangunan sumber manusia,” katanya.- Agensi berita