Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia wajibkan latihan ala tentera untuk semua petugas haji 2027
Indonesia wajibkan latihan ala tentera untuk semua petugas haji 2027
Indonesia wajibkan latihan ala tentera untuk semua petugas haji 2027
JAKARTA: Indonesia akan mewajibkan semua petugas Haji bagi musim 2027 menjalani latihan khas ala tentera di kem bagi meningkatkan disiplin, kesiapsiagaan dan mutu perkhidmatan kepada jutaan jemaah negara itu di Tanah Suci.
Timbalan Menteri Haji dan Umrah Indonesia, Encik Dahnil Anzar Simanjuntak, berkata pengalaman di lapangan menunjukkan keberkesanan operasi Haji amat bergantung kepada tahap persediaan petugas.
“Pada masa depan, kami akan memastikan semua petugas wajib menjalani latihan. Pengalaman di lapangan menunjukkan mutu perkhidmatan sangat dipengaruhi oleh kesiapsiagaan petugas,” katanya di Makkah pada 3 Jun.
Menurut beliau, dasar itu akan melibatkan semua petugas tanpa pengecualian termasuk Petugas Penyelenggara Ibadah Haji (PPIH), Petugas Haji Daerah (PHD), ketua rombongan dan petugas rombongan penerbangan.
Beliau berkata langkah itu bertujuan mengurangkan jurang kemahiran antara petugas yang direkrut di peringkat pusat dan daerah selain memastikan standard perkhidmatan lebih seragam.
Sebagai sebahagian pembaharuan operasi Haji, Kementerian Haji dan Umrah Indonesia juga akan menubuhkan Daerah Kerja (Daker) khas bagi kawasan Arafah, Muzdalifah dan Mina atau Armuzna untuk musim Haji 2027.
Menurut Encik Dahnil, unit khas itu akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengurusan operasi di kawasan paling kritikal sepanjang kemuncak ibadah Haji.
“Pada masa depan, kami akan membentuk Daker Armuzna khusus yang hanya memberi tumpuan kepada operasi Armuzna,” katanya.
Katanya, penubuhan unit khas itu membolehkan petugas memberi tumpuan penuh kepada keselamatan dan kelancaran pergerakan jutaan jemaah tanpa dibebankan dengan tugas tambahan di sektor lain.
Langkah itu dibuat selepas penilaian positif terhadap operasi Haji 2026 dan dianggap penting bagi memastikan pengurusan Haji tahun depan lebih profesional, tersusun dan berorientasikan keselamatan.
Pada musim Haji 2026, Indonesia mula melaksanakan latihan bercorak separa ketenteraan bagi bakal petugas haji susulan aduan jemaah mengenai masalah disiplin, kelewatan bertindak dan petugas yang meninggalkan tugas pada musim sebelum ini.
Menteri Haji dan Umrah Indonesia, Encik Mochamad Irfan Yusuf, berkata latihan tersebut berlangsung selama 30 hari merangkumi 20 hari latihan bersemuka dan 10 hari pembelajaran dalam talian.
Program itu turut disusuli latihan tambahan bahasa Arab secara dalam talian bagi meningkatkan kemahiran komunikasi petugas ketika berada di Arab Saudi.
“Tanpa kekuatan fizikal dan disiplin yang tinggi, petugas tidak akan mampu menjalankan tugas dengan baik,” katanya ketika merasmikan program latihan di Asrama Haji Pondok Gede, Jakarta Timur pada Januari lalu.
Peserta latihan akan menjalani latihan ketahanan fizikal, disiplin, pengetahuan teknikal berkaitan ibadah Haji serta simulasi situasi sebenar yang mungkin berlaku di Tanah Suci.
Mereka juga diberikan latihan komunikasi berkesan dan penguasaan bahasa Arab dengan bantuan tenaga pengajar khas bagi mengatasi masalah komunikasi yang sering berlaku sebelum ini.
Sejak awal latihan, peserta turut diberikan penempatan tugasan, lokasi operasi dan kumpulan kerja masing-masing supaya mereka memahami tanggungjawab sebelum berangkat ke Arab Saudi.
Kementerian turut menetapkan tindakan tegas terhadap peserta yang gagal mematuhi disiplin sepanjang latihan.
Encik Irfan berkata peserta yang berulang kali melanggar peraturan akan disingkirkan dan tidak dibenarkan bertugas sebagai petugas Haji.
“Jika mereka masih tidak mematuhi peraturan walaupun selepas diberi amaran sekali atau dua kali, kami akan menghantar mereka pulang. Perkara sama boleh berlaku di Arab Saudi jika mereka meninggalkan tugas,” katanya.
Menurut beliau, antara kesalahan yang paling diberi perhatian ialah masalah disiplin, ketepatan masa dan tindakan meninggalkan tugas ketika bertugas di Tanah Suci.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya VIII DPR Indonesia, Encik Abdul Wachid, menyifatkan latihan bercorak separa ketenteraan itu sebagai langkah progresif untuk memperkukuh pengurusan Haji Indonesia.
“Selama ini memang ada petugas yang meninggalkan tugas mereka dan perkara itu sangat mengganggu perjalanan ibadah Haji,” katanya.
Beliau berkata pengukuhan disiplin dan fizikal amat penting terutama ketika fasa kemuncak di Arafah, Muzdalifah dan Mina yang memerlukan pengurusan pantas dan tersusun.
Bagi memperkukuh operasi di kawasan di Arafah, Muzdalifah dan Mina, pemerintah Indonesia turut meningkatkan penglibatan anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan polis kepada 185 orang, iaitu dua kali ganda lebih ramai berbanding tahun sebelumnya.
Langkah itu bertujuan memastikan jemaah, terutama warga emas, tidak terabai sepanjang kemuncak ibadah Haji.
Selain latihan disiplin dan fizikal, semua petugas turut diberikan latihan khas untuk menyediakan perkhidmatan mesra wanita, warga emas dan golongan kurang upaya.
Pemerintah Indonesia berharap pendekatan latihan lebih ketat dan tersusun itu dapat meningkatkan mutu perkhidmatan Haji pada masa depan.
“Setiap tahun Indonesia menghantar jumlah jemaah paling ramai di dunia. Hakikat ini menuntut kami benar-benar bersedia dan mempunyai petugas yang boleh diharap,” kata Encik Irfan.
“Petugas Haji memainkan peranan strategik. Anda mewakili negara di hadapan jemaah dan juga di mata dunia.” - Agensi berita
