Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

10 ditahan di Jakarta guna visa kerja untuk tunai haji

Apr 21, 2025 | 12:46 PM
jemaah haji Indonesia
Polis Indonesia menggagalkan cubaan 10 individu menunaikan haji ke Arab Saudi menggunakan visa kerja dan menasihatkan jemaah Indonesia agar menggunakan saluran yang sah. - Foto INSTAGRAM KEMENTERIAN AGAMA CILACAP

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia telah menggagalkan cubaan 10 individu dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan, untuk menunaikan ibadah haji menggunakan visa kerja, dalam kejadian yang disifatkan sebagai usaha memintas sistem kuota rasmi jemaah haji negara.

Mereka dipercayai telah membayar antara 100 juta rupiah ($7,780) dengan 200 juta rupiah kepada sebuah agensi pelancongan.

Menurut Ketua Polis Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Pesuruhjaya Ronald Sipayung, pihaknya sedang bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Imigresen dan Kementerian Agama bagi menyiasat kes itu secara menyeluruh.

“Kami masih berkoordinasi dengan beberapa pihak untuk meneliti lebih lanjut kes ini,” katanya kepada media pada 18 April.

Cubaan keluar negara itu dikesan semasa pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, apabila pegawai mencurigai kumpulan tersebut yang membawa bagasi seragam – ciri yang lazim dilihat dalam penerbangan jemaah haji atau umrah.

Tambahan pula, semua penerbangan umrah kini digantung buat sementara menjelang musim haji.

Kesemua individu berkenaan dijadual menaiki penerbangan, Malindo Air OD 315, ke Malaysia pada 15 April.

Mereka terdiri daripada lelaki dan wanita berusia antara 30 dengan 65 tahun dan ditemani oleh seorang wakil dari agensi pelancongan, Travel KBG.

Mereka membawa dokumen lengkap termasuk pasport dan visa kerja.

Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Komisioner Yandri Mono, semua anggota jemaah terlibat mengakui telah membayar sejumlah wang yang besar untuk menyertai perjalanan itu.

“Jumlah bayaran yang dikenakan kepada setiap peserta berbeza-beza, antara 100 juta rupiah dengan 200 juta rupiah,” jelasnya.

Siasatan mendapati kumpulan itu tidak mengetahui mereka akan ke tanah suci menggunakan visa kerja.

Mereka menyangka perjalanan tersebut adalah sah dan diurus sepenuhnya oleh pihak agensi.

“Pihak agensi tidak memberitahu jemaah bahawa mereka akan menggunakan visa kerja. Jemaah pula tidak tahu-menahu dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada agensi terbabit,” kata Encik Yandri.

Menurut beliau, agensi pelancongan itu turut menjanjikan jemaah boleh mendapatkan iqamah atau permit tinggal rasmi bagi pekerja asing sebaik sahaja tiba di negara tujuan, satu taktik yang digunakan untuk mengelak pengawasan kuota rasmi haji oleh pemerintah Indonesia dan Arab Saudi.

Buat masa ini, kesemua 10 individu terbabit termasuk wakil agensi pelancongan telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Pihak berkuasa juga sedang meneliti kemungkinan wujudnya unsur penipuan dan pelanggaran undang-undang haji oleh agensi terlibat.

“Kami sedang mendalami motif dan struktur operasi agensi ini. Ini bukan sekadar pelanggaran visa, malah ada potensi eksploitasi jemaah,” tegas Encik Yandri.

Pihak polis turut memberi amaran kepada anggota masyarakat agar lebih berwaspada dan hanya menggunakan agensi pelancongan yang berdaftar serta mengikuti proses rasmi yang ditetapkan oleh pemerintah.

“Kami menyeru masyarakat agar tidak terpedaya dengan tawaran perjalanan haji yang tidak melalui saluran rasmi.

“Perjalanan ke tanah suci bukan sahaja memerlukan persiapan rohani, bahkan juga pematuhan undang-undang,” kata Encik Ronald. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg