RIYADH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memberi amaran kepada bakal jemaah haji agar tidak menggunakan saluran tidak rasmi untuk membuat tempahan, sebaliknya menegaskan bahawa kemasukan hanya boleh dilakukan melalui visa haji rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Saudi.
Menurut laporan agensi berita, Saudi Press Agency (SPA), visa boleh diatur melalui pejabat urusan haji di 80 negara atau melalui platform Nusuk Haji yang disediakan khusus untuk jemaah dari lebih 126 negara.
Wadah itu membolehkan tempahan dilakukan secara langsung.
Kementerian itu turut menekankan bahawa portal elektronik di laman web rasmi mereka, masar.nusuk.sa, serta aplikasi Nusuk, adalah satu-satunya saluran sah untuk jemaah dalam negara – warganegara dan penduduk yang berada dalam kerajaan Arab Saudi – untuk membuat tempahan pakej haji.
Kementerian turut memberi amaran sebarang maklumat atau tawaran yang disebarkan melalui saluran tidak rasmi adalah menyesatkan dan tidak mewakili kementerian atau pihak berkuasa yang berkaitan.
“Orang ramai diingatkan supaya memeriksa kesahihan maklumat dan mengelakkan tawaran haji palsu atau iklan penipuan yang tersebar,” kata kementerian dalam satu kenyataan.
Sebagai tambahan, kementerian menyediakan sokongan pelbagai bahasa 24 jam melalui Pusat Khidmat Pelanggan.
Mereka boleh dihubungi melalui nombor tunggal 1966 di dalam negara, nombor antarabangsa +96-692-000-2814, atau melalui e-mel care@Hajj.gov.sa.
Ini menunjukkan komitmen kementerian dalam membantu jemaah haji menunaikan ibadah tersebut dengan mudah dan tanpa kerisauan, tambah SPA.
Kementerian itu juga menegaskan individu yang ingin menunaikan haji perlu memastikan mereka membuat tempahan melalui wadah yang diiktiraf oleh kerajaan Saudi yang memberikan visa haji sah.
Sebarang percubaan menunaikan haji tanpa permit yang sah dianggap sebagai pelanggaran undang-undang yang boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.
“Kementerian memantau secara rapi iklan daripada syarikat dan kempen yang tidak sah, serta akaun palsu di media sosial.
“Adalah penting untuk setiap individu berhati-hati terhadap kempen penipuan yang sering menawarkan harga haji yang menggoda,” ujar sumber rasmi daripada kementerian.
Sumber itu turut menekankan bahawa semua jemaah luar negara mesti memperoleh visa haji rasmi dan mereka yang memegang visa lawatan, pelancongan, pekerjaan, transit, atau visa lain dilarang mengikuti ritual haji di dalam Arab Saudi.
“Setiap Muslim diwajibkan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak berurusan dengan syarikat atau pejabat palsu yang menawarkan perkhidmatan haji palsu,” tambah kementerian itu.
“Kerjasama semua pihak sangat diperlukan dalam membanteras dan melaporkan kegiatan penipuan serta mengekang penyebaran pengaturan haji yang tidak sah,” kata kementerian itu lagi. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg