BATAM: Sekurang-kurangnya 10 orang maut dan 18 lagi cedera apabila sebuah kapal tangki minyak meletup dan terbakar ketika sedang dibaiki di sebuah limbungan kapal di Batam, Kepulauan Riau, pada awal pagi 15 Oktober.
Letupan berlaku pada sekitar 4 pagi di atas kapal MT Federal II, yang sedang menjalani kerja penyelenggaraan di limbungan ASL Shipyard, di kawasan industri Tanjung Uncang.
Demikian menurut Ketua Polis Kepulauan Riau, Inspektor Jeneral Asep Syafrudin.
“Setakat petang ini (15 Oktober), 10 pekerja disahkan maut dan 18 lagi cedera parah. Punca letupan masih dalam siasatan,” kata beliau kepada media.
Asap tebal kelihatan membumbung di udara berhampiran kawasan industri barat Batam ketika pasukan bomba dan penyelamat bergegas ke lokasi bagi memadam kebakaran serta mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam kapal.
“Pasukan forensik dan unit jenayah dari Polis Kota Batam sedang menjalankan pemeriksaan terperinci di tapak kejadian,” tambah Encik Asep.
Kesemua mangsa merupakan pekerja limbungan yang sedang menjalankan kerja pembaikan di kapal tangki tersebut.
Menurut pihak berkuasa, MT Federal II tidak membawa muatan minyak semasa kejadian berlaku.
Mangsa yang cedera telah dihantar ke beberapa hospital sekitar Batam, termasuk Hospital Mutiara Aini, Hospital Umum Embung Fatimah, Hospital Graha Hermine, dan Hospital Elizabeth.
Suasana sedih menyelubungi bilik mayat Hospital Aini apabila ahli keluarga mangsa hadir untuk mengenal pasti identiti mereka yang terkorban.
“Sebahagian daripada mereka mengalami kecederaan serius,” kata Ketua Polis Batam, Encik Zaenal Arifin, sambil menambah bahawa pemilik kapal masih belum dikenal pasti.
Kejadian itu merupakan tragedi kedua melibatkan kapal MT Federal II di limbungan sama pada 2025.
Pada akhir Jun lalu, letupan berasingan di kapal tersebut telah mengorbankan lima pekerja dan mencederakan beberapa yang lain.
“Kami sedang meneliti sama ada kejadian kali ini berkaitan dengan pelanggaran prosedur keselamatan,” ujar Encik Asep.
Letupan terkini sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan di limbungan kapal Batam, yang menjadi antara pusat pembinaan dan penyelenggaraan kapal terbesar di rantau ini. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg