Penangkapan 11 suspek oleh pasukan antipengganasan Densus 88 menunjukkan ancaman pengganasan masih wujud meskipun Indonesia tidak mencatat sebarang serangan sejak beberapa tahun lalu.

Ancaman itu kini beralih ke ruang digital apabila generasi baharu militan menggunakan Internet untuk menyebarkan propaganda dan merekrut anggota.

Penangkapan besar-besaran itu dilakukan ketika Indonesia mencatat sifar serangan pengganasan sejak empat tahun lalu, dengan pihak berkuasa turut berjaya menggagalkan puluhan rancangan serangan sepanjang tempoh sama.

Seramai 11 suspek berusia antara 22 dengan 52 tahun itu ditangkap serentak di enam wilayah – Jawa Barat, Jawa Tengah, Sulawesi Tengah, Sulawesi Selatan, Riau dan Maluku Utara – dalam operasi yang bermula pada 2 Oktober, ujar kenyataan Densus 88 pada 4 Oktober.

Suspek yang ditahan dikenal pasti menerusi singkatan nama mereka sebagai HN, 43 tahun; SM, 52 tahun; HA, 45 tahun; YDKAP, 22 tahun; S, 49 tahun; A, 32 tahun; CG, 29 tahun; J, 36 tahun; MF, 37 tahun; AF, 26 tahun; dan MW, 42 tahun.

Pakar pengganasan dari Pusat Kajian Radikalisme dan Deradikalisasi (PAKAR), Encik Adhe Bakti, berkata antara 11 individu yang ditangkap itu, SM merupakan pesalah berulang yang dibebaskan secara parol pada 2025 lalu selepas menjalani sebahagian daripada hukuman penjara sembilan tahun kerana terbabit dalam serangan bom di Jalan Thamrin, Jakarta, pada Januari 2016.

“Penangkapan ini, yang turut membabitkan seorang bekas pesalah pengganasan, menunjukkan perlunya operasi penguatkuasaan undang-undang diteruskan kerana ancaman pengganasan masih wujud, termasuk risiko bekas pesalah kembali melakukan kesalahan.

“Ini menjadi peringatan bahawa meskipun Indonesia mencatat sifar serangan pengganasan, potensi untuk berlakunya serangan masih ada,” kata Encik Adhe kepada Berita Harian.

Jurucakap Densus 88, Encik Mayndra Eka Wardhana, berkata suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian yang berpegang kepada fahaman Daulah Islamiyah atau kumpulan ISIS, selain beberapa rangkaian pengganasan lain.

“Peranan mereka dipercayai merangkumi usaha mengukuhkan rangkaian dan menjalankan latihan hingga menyebarkan propaganda serta merekrut anggota secara bersemuka dan melalui media sosial.

“Mereka juga disyaki terbabit dalam rancangan untuk melakukan kesalahan berkaitan pengganasan,” kata Encik Mayndra.

Menurutnya, siasatan awal Densus 88 mendapati suspek di beberapa wilayah mempunyai hubungan yang dibentuk menerusi pertemuan dalam talian yang digunakan untuk menyebarkan fahaman mereka, mengukuhkan rangkaian dan membimbing anggota baru.

“Kami menemui corak pertemuan dalam talian yang digunakan untuk menghubungkan secara maya sejumlah penyokong Daulah Islamiyah dari beberapa wilayah,” tambahnya.

Ketua Badan Nasional Pencegahan Pengganasan (BNPT), Encik Eddy Hartono, mengakui ancaman pengganasan masih berterusan, meskipun agensi itu menyifatkan keadaan pada 2025 sebagai “berwaspada tetapi terkawal”.

Antara ancaman yang terus diberi perhatian pihak berkuasa ialah kegiatan merekrut anggota, penyebaran propaganda dan pembiayaan pengganasan kerana ketiga-tiga kegiatan itu kini semakin beralih ke ruang digital.

“Itulah perubahan daripada kaedah konvensional kepada ruang digital. Medium baharu ini lebih berkesan bagi mereka.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, pengganasan bersifat mudah menyesuaikan diri dan berterusan.

“Jadi, ancaman itu terus wujud, tetapi pelaku dan coraknya berubah,” kata Encik Eddy kepada wartawan di luar acara pelancaran buku mengenai pembiayaan pengganasan pada 7 Oktober.

“Kita juga perlu menyesuaikan diri. Strategi menangani pengganasan juga perlu bersifat adaptif,” katanya sambil menambah bahawa Indonesia sudah menggunakan pendekatan menangani pengganasan yang disifatkannya sebagai sistematik dan bersepadu.

Encik Eddy menambah, menerusi rancangan pembangunan jangka sederhana nasional BNPT dan pelan tindakan nasional 2025-2029 bagi mencegah serta menangani fahaman pelampau ganas, langkah antipengganasan Indonesia sudah dilaksanakan secara menyeluruh dengan penglibatan pihak berkepentingan dalam sektor pertahanan, keselamatan dan kebajikan.

“Sepanjang tiga tahun lalu, sejak 2024, kami berjaya mencegah kira-kira 30 rancangan serangan pengganasan dan ini kerana peraturan yang diperlukan sudah tersedia, membolehkan kami mencegah serangan tersebut,” kata Encik Eddy.

Susulan penangkapan itu, Encik Mayndra berkata penyiasat Densus 88 terus menyiasat suspek dan menyoal saksi, selain merampas beberapa bahan bukti untuk pemeriksaan lanjut mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Siasatan masih diteruskan. Penyiasat akan meneliti dengan lebih lanjut bahan bukti yang dirampas dan menyiasat hubungan setiap suspek dengan individu serta rangkaian lain,” katanya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti