Indonesia memperkenalkan Pelan Tindakan Nasional baharu bagi mencegah ekstremisme yang memberi penekanan kepada perlindungan kanak-kanak dalam ruang digital susulan peningkatan usaha merekrut golongan itu ke dalam rangkaian pengganasan menerusi Internet.

Pelan Tindakan Nasional Pencegahan Ekstremisme bagi tempoh 2026 hingga 2029 itu dilancarkan selepas Presiden Prabowo Subianto menandatangani Peraturan Presiden sebagai asas perundangan pelan berkenaan pada 9 Februari lalu.

Pelan itu menjadi instrumen yang menyelaras kerjasama antara kementerian dengan agensi di peringkat nasional serta wilayah, pertubuhan masyarakat sivil dan agensi antarabangsa bagi memastikan keselamatan awam daripada ancaman ekstremisme ganas, khususnya dalam ruang digital, meskipun Indonesia tidak merekodkan sebarang serangan pengganas sejak 2023.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan, Encik Djamari Chaniago, berkata Indeks Pengganasan Sejagat 2026, meletakkan Indonesia sebagai negara dengan tahap impak pengganasan sederhana, manakala Indeks Keamanan Global 2026 mengklasifikasikan negara itu pada tahap keamanan sederhana.

“Keadaan pengganasan di Indonesia ketika ini secara relatifnya terkawal. Ini terbukti menerusi kejayaan Indonesia mengekalkan penurunan jumlah kejadian pengganasan sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya ketika pelancaran pelan tindakan nasional itu pada 27 Julai lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata ancaman ekstremisme ganas kini tidak lagi berpunca semata-mata daripada fahaman ekstremisme agama seperti sebelum ini, sebaliknya daripada gabungan pelbagai ideologi atau dikenali sebagai ideologi ‘salad bar’ iaitu campuran pelbagai fahaman yang tidak stabil dan tidak mempunyai haluan yang jelas.

Selain itu, katanya, muncul ancaman baharu yang dikenali sebagai ekstremisme ganas nihilisme, yang berkembang menerusi masyarakat dalam talian dan menjadi wajah baharu kepada perubahan corak ancaman tersebut.

“Pengganasan kini tidak lagi berpaksikan satu ideologi semata-mata, sebaliknya didorong oleh pemujaan terhadap pengganasan, krisis identiti, kerentanan psikologi serta penyebaran rangkaian pengganasan dalam talian yang menyasarkan golongan bawah umur,” katanya.

Data polis menunjukkan sekurang-kurangnya 230 lelaki dan wanita yang terbabit dalam kegiatan pengganasan ditahan antara 2023 dengan 2025.

Dalam tempoh sama, sebanyak 115 kes kanak-kanak terdedah kepada ekstremisme ganas nihilisme direkodkan di 21 wilayah, manakala 132 kanak-kanak di 26 wilayah dikenal pasti mempunyai kaitan dengan kumpulan ISIS.

Ketua Badan Nasional Pencegahan Pengganasan (BNPT), Encik Eddy Hartono, berkata pelan tindakan itu menjadi panduan bersama untuk memperkukuh usaha pencegahan di seluruh negara dan pelaksanaannya membabitkan 70 kementerian, agensi pemerintah serta pemerintah wilayah.

Pelan itu turut mewajibkan setiap pemerintah wilayah menyediakan pelan tindakan pencegahan ekstremisme masing-masing dalam tempoh setahun selepas pelan nasional itu dikuatkuasakan.

Pelan berkenaan dibahagikan kepada beberapa kelompok yang merangkumi daya tahan masyarakat dan keluarga, komunikasi strategik, media serta sistem elektronik, penyahradikalan, hak asasi manusia, tadbir urus yang baik dan keadilan, perlindungan saksi serta mangsa, selain kerjasama antarabangsa.

Turut diberikan perhatian ialah perlindungan dan pemerkasaan wanita, kanak-kanak dan belia, termasuk puluhan wanita Indonesia serta anak mereka yang baru-baru ini dibawa pulang dari kem di Syria yang menempatkan wanita warga asing, kanak-kanak dan rakyat negara ketiga yang mempunyai kaitan dengan ISIS.

Wanita dan kanak-kanak itu diterbangkan dari Damsyik dan kini ditempatkan di pusat perlindungan pemerintah sebelum mengikuti program pemantauan, pemerkasaan dan penyahradikalan yang dikendalikan pemerintah wilayah di beberapa kawasan di Pulau Jawa, tempat asal mereka.

Pemangku Timbalan Kerjasama Antarabangsa BNPT, Encik Dion Elvan Swasono, berkata pelan tindakan baharu itu dibangunkan berasaskan pelan pertama yang mempunyai tiga teras utama, namun versi kedua memperluaskannya kepada sembilan tema yang lebih khusus bagi membimbing usaha menangani punca ekstremisme ganas di Indonesia.

Menurutnya, versi kedua itu diperkenalkan selepas pemerintah mendapati ancaman berkenaan masih wujud, malah semakin kompleks dan berterusan.

“Ini adalah usaha pencegahan di peringkat awal dan memerlukan pendekatan yang lebih terperinci dengan mengambil kira keperluan setiap individu.

“Salah satu tema memberi tumpuan kepada daya tahan masyarakat dan keluarga kerana kami melihat keluarga memainkan peranan penting dalam pencegahan,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata semakin ramai kanak-kanak terdedah kepada komuniti jenayah sebenar (true crime), ekstremisme ganas nihilisme dan kandungan berkaitan pengganasan menerusi media digital.

“Pelan ini juga menekankan peranan ibu bapa dalam memantau kegiatan digital anak-anak mereka.

“Ketiadaan insiden tidak bermakna ancaman sudah lenyap atau berada pada tahap sifar. Kami masih melihat kumpulan ekstremis ganas terus aktif, khususnya dalam ruang digital.

“Kegiatan merekrut ahli baharu dan menyebarkan propaganda masih berlaku, selain tangkapan masih diteruskan.

“Semua ini jelas menunjukkan ancaman itu masih wujud,” kata Encik Dion.

“Pelan ini juga menekankan peranan ibu bapa dalam memantau kegiatan digital anak-anak mereka. Ketiadaan insiden tidak bermakna ancaman sudah lenyap atau berada pada tahap sifar. Kami masih melihat kumpulan ekstremis ganas terus aktif, khususnya dalam ruang digital. Kegiatan merekrut ahli baharu dan menyebarkan propaganda masih berlaku, selain tangkapan masih diteruskan. Semua ini jelas menunjukkan ancaman itu masih wujud.”
Encik Dion Elvan Swasono, Pemangku Timbalan Kerjasama Antarabangsa, Badan Nasional Pencegahan Pengganasan (BNPT).