Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

12 maut, 25 cedera dalam nahas bas terbalik di Sumatera Barat

May 7, 2025 | 1:12 PM
Sumatera Barat, Terminal Bukit Surungan
Sekurang-kurangnya 12 orang maut dan 25 cedera selepas sebuah bas penumpang terbalik dan remuk di jalan menuruni curam berhampiran Terminal Bukit Surungan pada 6 Mei. - Foto EPA-EFE

PADANG (Sumatera Barat): Sekurang-kurangnya 12 orang maut dan 25 cedera selepas sebuah bas penumpang terbalik di jalan menuruni curam berhampiran Terminal Bukit Surungan pada 6 Mei.

Bas Antar Lintas Sumatra (ALS) yang dalam perjalanan dari Medan ke Bekasi melalui Padang, dilaporkan mengalami kegagalan brek ketika menuruni cerun menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan lantas terbalik.

“Punca kemalangan yang disyaki adalah kegagalan brek ketika bas sedang menuruni bukit di kawasan Bukit Surungan,” kata Inspektor Indra, Ketua Unit Peronda Trafik Polis Padang Panjang.

Ketua Polis Trafik daerah Padang Panjang, Inspektor Polis Pertama Jamalludin, ketika dihubungi pada 6 Mei pula berkata:

“Anggaran awal kami, bas itu akan masuk ke terminal jika brek tidak berfungsi. Akibat brek gagal, bas itu terlepas terminal dan merempuh dinding di sebelah pusat kesihatan.”

Daripada jumlah 35 penumpang yang berjaya dikeluarkan, 12 daripada mereka maut, termasuk tujuh lelaki dan lima wanita.

Sementara itu, 23 lagi mangsa mengalami kecederaan termasuk 17 lelaki dan enam wanita.

“Kami telah menjalankan siasatan di lokasi bersama-sama Pasukan Pakar Analisis Kemalangan (TAA) Polis Wilayah Sumatera Barat untuk menentukan punca sebenar kemalangan ini. Jumlah sebenar penumpang belum dapat disahkan lagi,” tambahnya.

Para pegawai kecemasan – termasuk daripada pasukan polis, Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR), bomba, dan agensi pengurusan bencana – segera berkejar ke tempat kejadian.

Mangsa yang cedera telah dipindahkan ke kemudahan perubatan berhampiran, termasuk Hospital Wilayah Padang Panjang, Hospital Yarsi, dan pusat kesihatan masyarakat setempat.

Tempat nahas itu adalah sebahagian daripada laluan berbahaya yang terkenal di Sumatera Barat.

Kemalangan yang disebabkan oleh kegagalan mekanikal adalah perkara biasa kerana rupa bumi yang curam dan selekoh tajam.

Pihak berkuasa telah menahan pemandu dan konduktor bas untuk disoal siasat.

Kedua-duanya telah menjalani ujian air kencing sebagai sebahagian daripada siasatan.

Sementara itu, pos Pengecaman Mangsa Bencana telah diwujudkan di Hospital Wilayah Padang Panjang bagi membantu mengenal pasti mangsa.

Polis masih meneruskan siasatan mengenai punca nahas itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg