PELALAWAN (Riau): Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) Indonesia telah menemui 15 mangsa yang terkorban dalam kejadian sebuah trak terjunam ke Sungai Segati di daerah Pelalawan, Riau, Indonesia, dalam kerja menyelamat yang dijalankan selama tiga hari mulai 22 Februari.
Ketua Perhubungan Awam Polis Riau, Encik Anom Karabianto, pada 25 Februari, memberitahu nahas itu melibatkan 32 individu termasuk 31 penumpang dan seorang pemandu.
Daripada jumlah itu, 15 disahkan maut manakala 17 lagi selamat.
Trak malang itu membawa pekerja PT Empat Res Bersaudara (ERB), dan kontraktor bagi PT Nusa Wana Raya (NWR) yang bertugas sebagai penanam pokok akasia di ladang syarikat tersebut.
Pada 22 Februari, mereka dalam perjalanan menuju ke Desa Segati untuk ke pasar sempena hari cuti kerja.
Ketika melalui jambatan di jalan utama kawasan ladang, dipercayai pemandu trak dikatakan dalam keadaan mengantuk, menyebabkan kenderaan hilang kawalan lalu merempuh pengadang jambatan sebelum terhumban ke sungai.
Operasi mencari dan menyelamat dijalankan segera selepas kejadian.
Pada hari pertama, tiga mangsa ditemui maut, manakala 17 penumpang berjaya menyelamatkan diri.
Hari berikutnya, satu lagi mayat ditemui, diikuti oleh dua lagi pada hari ketiga.
“Pada Isnin (24 Februari), lapan lagi mangsa ditemui maut,” kata Encik Anom.
Pasukan SAR gabungan terdiri daripada Badan Nasional Pengurusan Bencana (BPBD), Polis Air dan Udara (Polairud), Tentera Nasional Indonesia TNI, serta pemerintah Daerah Pelalawan.
“Kami menyusuri sungai sehingga 15 kilometer dari lokasi kejadian dengan menggunakan bot getah dan pasukan penyelam,” tambah Encik Anom.
Selepas operasi selama tiga hari itu, semua mangsa yang terkorban berjaya ditemui.
Trak tersebut juga telah ditarik keluar dari sungai dengan menggunakan jentera berat.
Kenderaan itu mengalami kerosakan teruk, dengan bahagian depan enjin remuk, cermin hadapan pecah, dan cermin sisi kanan patah.
Mayat pemandu terakhir berjaya ditemui di dalam kabin trak. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg