Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kereta api berlanggar di Jawa Barat, 3 maut, 28 cedera

Jan 5, 2024 | 3:22 PM
NAHAS KERETA API: Pemandangan dari udara menunjukkan kesan perlanggaran antara dua kereta api di Cicalengka, Bandung, wilayah Jawa Barat, pada 5 Januari.
NAHAS KERETA API: Pemandangan dari udara menunjukkan kesan perlanggaran antara dua kereta api di Cicalengka, Bandung, wilayah Jawa Barat, pada 5 Januari. - Foto REUTERS

BANDUNG: Pasukan penyelamat di Indonesia berusaha menyelamatkan dua orang yang terperangkap di antara gerabak kereta api selepas kereta api penumpang bertembung di Jawa Barat pada 5 Januari, menyebabkan sekurang-kurangnya tiga kematian dan 28 orang cedera.

Rakaman video dari penyiar MetroTV dan Kompas TV menunjukkan penumpang dibantu keluar dari gerabak kereta api, yang sebahagiannya telah terkeluar landasan sepenuhnya.

Pasukan penyelamat sedang menimbang pilihan untuk menyelamatkan dua orang yang ditemui terhimpit di antara kereta api itu, kata Encik Herry Marantika, ketua agensi penyelamat, tetapi beliau enggan menyatakan sama ada mereka masih hidup.

“Kami telah mengenal pasti salah seorang mangsa sebagai pelayan kereta api Turangga. Selebihnya belum dikenal pasti,” kata Encik Ayen Hanepi, jurucakap pengendali kereta api, PT KAI.

Beliau berkata perlanggaran itu melibatkan kereta api Turangga, laluan dalam bandar yang bergerak dari Surabaya di Jawa Timur ke bandar Bandung, dan kereta api tempatan.

Nahas berlaku pada 6.03 pagi waktu tempatan (7.03 pagi waktu Singapura), berhampiran sawah di Cicalengka di wilayah Jawa Barat, dan menyebabkan banyak gerabak kereta api terbalik.

Kereta api Turangga membawa 287 penumpang, manakala 191 orang menaiki kereta api tempatan, katanya

Semua penumpang telah dipindahkan, manakala yang cedera dibawa ke hospital tempatan, kata jurucakap polis wilayah, Encik Ibrahim Tompo.

Kemalangan pengangkutan bukan perkara luar biasa di Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas di mana bas, kereta api dan juga pesawat sering usang dan tidak diselenggara dengan baik.

Pada 2015, perlanggaran antara kereta api penumpang dan bas mini di suatu persimpangan di ibu kota Jakarta, mengorbankan 16 orang.

Pada 2013, tujuh orang terbunuh dan lebih ramai lagi cedera, apabila kereta api komuter bertembung dengan lori tangki bahan api, di persimpangan aras di Jakarta dan terbakar.

Ambulans berkumpul untuk membawa mangsa yang cedera ke hospital, kata polis, berikutan perlanggaran berhampiran ibu kota wilayah Bandung.

Tiga yang maut adalah kru kereta api, kata Encik Ibrahim Tompo, jurucakap polis wilayah Jawa Barat, sambil menambah bahawa sejumlah 478 penumpang berada di dalam kereta api itu, dengan 28 yang cedera dibawa ke hospital.

Punca nahas tidak jelas, tetapi pengendali kereta api PT KAI dan pemerintah wilayah berkata mereka akan menyiasat, bersama pegawai keselamatan pengangkutan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg