Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penipuan kempen haji: Lima individu warga Indonesia, Mesir ditahan di Saudi

May 19, 2025 | 11:06 AM
tipu, haji palsu
Pasukan rondaan keselamatan di Makkah telah menahan tiga penduduk warga Indonesia kerana disyaki melakukan penipuan berkaitan kempen haji. - Foto SAUDI GAZETTE

RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi terus memperketat penguatkuasaan menjelang musim haji 2025, dengan menahan beberapa individu dari pelbagai negara atas kesalahan berkaitan penipuan kempen haji.

Setakat ini, 16 individu telah ditahan termasuk tiga warga Indonesia dan dua warga Mesir atas dakwaan menyebarkan maklumat palsu dan melanggar peraturan ibadah haji.

Menurut laporan media Agensi Berita Arab Saudi (SPA) dan Saudi Gazette pada 18 Mei, rondaan keselamatan di Makkah telah menahan tiga warga Indonesia kerana disyaki melakukan penipuan berkaitan kempen haji.

Mereka didapati menyebarkan iklan palsu melalui media sosial, kononnya menawarkan penginapan dan pengangkutan kepada jemaah di kawasan tanah suci.

Hasil siasatan mendapati iklan tersebut adalah palsu dan bertujuan memperdaya orang ramai, terutama mereka yang berhasrat menunaikan haji tanpa saluran rasmi.

“Ketiga-tiga suspek telah dirujuk kepada Pendakwa Raya selepas tindakan undang-undang awal diambil,” menurut kenyataan daripada pihak Keselamatan Awam Arab Saudi.

Dalam kes berasingan, dua warga Mesir, seorang lelaki dan seorang wanita turut ditahan oleh polis Makkah kerana mempromosikan kempen haji palsu.

Mereka menggunakan media sosial untuk menawarkan perkhidmatan palsu, termasuk tempat tinggal dan pengangkutan dalam kawasan suci, tanpa sebarang kelulusan sah.

Kedua-duanya telah dibawa ke pihak Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut selepas siasatan awal selesai dijalankan.

Pada 13 Mei, dua lagi warga Indonesia ditahan kerana melanggar peraturan haji apabila didapati menyebarkan iklan palsu berkaitan kad haji Nusuk, serta menempatkan 23 pelawat yang memegang visa lawatan di sebuah bangunan di Makkah.

Tindakan ini jelas melanggar larangan yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi terhadap pemegang visa lawatan untuk memasuki Makkah mulai 1 Zulkaedah hingga 14 Zulhijah.

Di Madinah, empat lagi warga Indonesia turut diberkas kerana dipercayai menawarkan perkhidmatan penyembelihan haiwan korban secara palsu kepada bakal jemaah.

Mereka mempromosikan perkhidmatan ini melalui saluran tidak rasmi dan mengenakan bayaran tertentu kepada mangsa yang terpedaya.

Dalam kes berasingan, pasukan keselamatan Haji menahan seorang warga Mesir yang membawa empat individu tanpa permit haji sah ke arah Makkah.

Kesemua mereka kini dalam proses tindakan oleh jawatankuasa kehakiman khas.

Pada 30 April lalu, pihak berkuasa Arab Saudi telah menahan empat warga China yang didakwa menjalankan kempen haji palsu melalui platform media sosial, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk membanteras promosi haji haram dan melindungi kesucian serta keselamatan musim ibadah haji.

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengulangi bahawa hanya visa gaji sah yang dibenarkan untuk menunaikan ibadah ini.

Mana-mana individu yang cuba menunaikan haji menggunakan visa lawatan akan dikenakan denda sehingga 20,000 riyal ($6,923), pengusiran, serta larangan kemasukan semula selama 10 tahun.

Bagi mereka yang membantu, menempatkan, atau memberi perlindungan kepada pemegang visa lawatan dalam hotel, apartmen atau mana-mana premis kediaman, denda sehingga 100,000 riyal boleh dikenakan dan akan digandakan bagi setiap pelanggaran.

Pihak berkuasa juga memberi amaran keras terhadap agensi atau individu yang menyebarkan iklan palsu tentang haji, termasuk tawaran penginapan mewah, pengangkutan eksklusif dan visa haji palsu dengan harga menarik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg