JAKARTA: Menjelang musim haji 2025, Kementerian Agama Indonesia melipatgandakan usaha logistik bagi memastikan kesejahteraan lebih 200,000 anggota jemaah haji Indonesia di tanah suci.
Sebanyak 26 juta hidangan makanan sedang disediakan, menjadikan operasi itu antara yang terbesar di dunia dan mencerminkan kedudukan Indonesia sebagai negara pengirim jemaah haji paling ramai.
Pengarah Perkhidmatan Haji Luar Negeri Kementerian Agama, Dr Muchlis M. Hanafi, pada 29 April mengesahkan penerbangan pertama membawa jemaah haji akan bermula pada 2 Mei.
“Sesuai arahan Menteri Agama, kami berusaha semaksimum mungkin untuk mempersiapkan segala sesuatu dengan cermat demi memberikan layanan terbaik kepada jemaah,” katanya.
Perkhidmatan utama di Arab Saudi merangkumi lima aspek iaitu makanan, penginapan, pengangkutan, perkhidmatan umum dan perkhidmatan semasa puncak ibadah haji.
Bagi perkhidmatan makanan, pihak kementerian bekerjasama dengan 55 syarikat katering di Makkah yang akan menyediakan 84 kali hidangan sepanjang tempoh di sana, termasuk 15 hidangan di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Di Madinah, 21 syarikat akan menyediakan 27 hidangan bagi setiap anggota jemaah.
“Secara keseluruhan, setiap anggota jemaah akan menerima 127 kotak makanan, bersamaan dengan hampir 25.8 juta peket makanan,” jelas Dr Muchlis.
Penyedia katering diwajibkan menggunakan bahan masakan dari Indonesia, khususnya rempah-ratus tempatan.
Musim haji 2025 memerlukan sejumlah 611 tan rempah-ratus dan setakat ini, 475 tan berjaya dibekalkan dari dalam negara.
“Produk dalam negeri memainkan peranan penting dalam operasi haji tahun ini (2025),” tambahnya.
Dari segi penginapan, 205 hotel disediakan di Makkah dan 95 hotel di Madinah bagi menampung keseluruhan 203,320 anggota jemaah haji.
Di Makkah, hotel paling jauh dari Masjidil Haram adalah sejauh 4.5 kilometer, manakala di Madinah semua hotel terletak di kawasan Markaziyah yang hanya sekitar 1 kilometer dari Masjid Nabawi.
Untuk pengangkutan pula, terdapat tiga jenis perkhidmatan dengan yang pertama, pengangkutan antara kota seperti Madinah-Makkah, Jeddah-Makkah dan sebaliknya.
Kedua, bas ‘Shalawat’ yang akan mengangkut jemaah dari hotel ke Masjidil Haram secara berkala.
Ketiga, pengangkutan khusus untuk ibadah puncak di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
“Ketiga-tiga sistem inilah yang kami siapkan secara menyeluruh dan terancang,” jelas Dr Muchlis.
Bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas antara 7 Zulhijah dengan 15 Zulhijah, makanan siap saji seperti rendang dan opor telah dihantar lebih awal.
Setakat ini, 2.4 juta peket telah tiba di Makkah.
Bagi perkhidmatan puncak haji dari 8 Zulhijah hingga 13 Zulhijah pula, Kementerian Agama turut bekerjasama dengan lapan syarikat baru yang akan mengurus keseluruhan jemaah, termasuk bantuan semasa di Arafah, Muzdalifah dan Mina.
“Kami pastikan semua sistem bergerak secara sepadu – daripada ketibaan hingga pulang, jemaah akan sentiasa dibantu,” tambah Dr Muchlis. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg