JAKARTA: Kumpulan pertama jemaah haji Indonesia bakal memulakan perjalanan ke tanah suci pada 2 Mei 2025, berdasarkan jadual rasmi yang diumumkan pemerintah pada 24 April.
Mereka merupakan sebahagian daripada 221,000 anggota jemaah, menjadikan Indonesia sebagai negara yang menerima kuota haji terbesar di dunia.
Bagi jemaah yang menyertai program haji biasa, mereka dijadual berada di Arab Saudi selama kira-kira 41 hari bagi melaksanakan ibadah haji di kota suci Makkah dan Madinah.
Walaupun mendapat kuota terbesar daripada kerajaan Arab Saudi, permintaan yang tinggi menyebabkan jutaan rakyat Indonesia masih berada dalam senarai menunggu, dengan sebahagiannya menghadapi tempoh penantian lebih sedekad, khususnya di kawasan berpenduduk padat.
Ketua Pengarah Pengurusan Haji dan Umrah di Kementerian Agama, Encik Hilman Latief, memandang serius keperluan penjagaan kesihatan dan kecergasan jemaah, terutama warga emas yang membentuk sebahagian besar jemaah haji setiap tahun.
“Adalah sangat penting bagi jemaah untuk mengekalkan tahap kesihatan sepanjang berada di tanah suci, memandangkan ibadah haji menuntut kekuatan fizikal yang tinggi,” katanya.
Sebagai langkah sokongan, pemerintah menugaskan 1,572 pegawai pemerintah daerah untuk mengiringi rombongan haji dari setiap wilayah, dibantu oleh 685 pegawai pemerintah pusat.
Kehadiran mereka bertujuan memastikan kelancaran pengurusan logistik, pemantauan kesihatan dan penyelarasan antara jemaah dengan pihak berkuasa.
Sebagai tambahan kepada program haji biasa, sejumlah 17,680 anggota jemaah memilih pakej haji khas yang menawarkan tempoh lebih pendek dan kemudahan premium.
Jemaah dalam kategori itu biasanya disertai agensi pelancongan berlesen yang menyediakan penginapan dan perkhidmatan eksklusif.
Keberangkatan jemaah dari pelbagai wilayah akan berlangsung sehingga 31 Mei, dengan penerbangan pulang bermula 11 Jun dan dijangka selesai dalam tempoh sebulan.
Tiga syarikat penerbangan ditugaskan untuk operasi haji 2025.
Garuda Indonesia, syarikat penerbangan nasional akan membawa 90,933 anggota jemaah dari tujuh bandar utama: Banda Aceh, Medan, Jakarta, Solo, Balikpapan, Makassar dan Lombok, dengan penggunaan 14 pesawat.
Lion Air, yang buat pertama kali menyertai operasi haji, akan mengangkut 11,791 anggota jemaah dari Padang dan Banjarmasin, menggunakan lima pesawat Airbus A330. Setiap penerbangan membawa 424 orang, termasuk 420 anggota jemaah dan empat petugas pengiring.
Turut serta ialah Saudi Arabian Airlines, yang akan membawa hingga 102,000 anggota jemaah Indonesia, menjadikannya syarikat penerbangan dengan jumlah pengangkutan tertinggi antara ketiga-tiga operator rasmi.
Sementara itu, jemaah di luar program haji biasa yang menggunakan agensi pelancongan swasta akan menaiki penerbangan ke Arab Saudi melalui syarikat penerbangan pilihan masing-masing, bergantung pada pakej yang ditawarkan oleh ejen pelancongan mereka.
Pemerintah turut memberi amaran musim haji kali ini dijangka berdepan cabaran besar dari segi suhu tinggi, kesesakan di lokasi ibadah, dan pengurusan logistik.
Justeru, langkah persediaan rapi turut melibatkan penyelarasan dengan Kementerian Kesihatan bagi memastikan aspek rawatan dan pemantauan kesihatan diutamakan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg