Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 maut, 27 cedera dalam rempuhan majlis kahwin anak Gabenor Jawa Barat

Jul 21, 2025 | 1:09 PM
Orang ramai dihimpit dan dipijak ketika cuba memasuki dataran melalui pintu utama dataran awam Garut, Jawa Barat.
Orang ramai dihimpit dan dipijak ketika cuba memasuki dataran melalui pintu utama dataran awam Garut, Jawa Barat. - Foto Instagram paparan skrin video

JAKARTA: Sekurang-kurangnya tiga orang maut dan 27 lagi cedera dalam kejadian rempuhan ketika majlis perkahwinan terbuka membabitkan Timbalan Bupati (Ketua Daerah) Garut dan anak lelaki Gabenor Jawa Barat, Encik Dedi Mulyadi. Majlis tersebut terbuka kepada orang awam.

Kejadian tragis itu berlaku pada 18 Julai di dataran awam Garut, Jawa Barat, lokasi berlangsungnya pesta rakyat bagi meraikan perkahwinan anak sulung Encik Dedi, Encik Maula Akbar Mulyadi, dan Timbalan Bupati Garut, Cik Putri Karlina.

Pasangan itu telah bernikah pada 17 Julai. Orang ramai dilaporkan mula membanjiri kawasan majlis sebelum ia bermula pada jam 1 petang, 18 Julai.

Video yang tular di media sosial menunjukkan orang ramai dirempuh dan dipijak ketika cuba memasuki kawasan dataran melalui pintu utama. Walaupun jumlah kehadiran sebenar belum disahkan, Encik Maula berkata dalam satu video Instagram bahawa mereka telah menyediakan lebih 5,000 hidangan untuk para tetamu.

Rempuhan itu meragut tiga nyawa, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan seorang wanita berusia 61 tahun, yang dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia sejurus tiba, menurut Polis Jawa Barat.

Mangsa ketiga ialah anggota polis Garut, Ketua Brigedier Cecep Saeful Bahri, yang meninggal dunia di tempat kejadian selepas cuba menyelamatkan orang ramai yang terhimpit dalam rempuhan.

Kebanyakan yang cedera akibat sesak nafas dan trauma fizikal. Lapan mangsa dilaporkan masih menerima rawatan rapi di hospital pada 20 Julai, manakala 19 lagi dirawat sebagai pesakit luar.

Ketua Polis Jawa Barat, Inspektor Jeneral Rudi Setiawan, berkata sekitar 400 anggota polis telah dikerahkan ke majlis tersebut dan semua prosedur keselamatan telah dipatuhi, namun mereka masih gagal menjangka kemasukan orang ramai yang terlalu besar.

Beliau berkata siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Ini adalah perkara serius, dan kami juga telah berkerja sama dengan Polis Nasional Indonesia untuk memastikan anggota kami yang terkorban. Ketua Brigedier Cecep, diberikan kenaikan pangkat secara anumerta atas jasa beliau,” katanya.

Gabenor Dedi menyampaikan “ucapan takziah sedalam-dalamnya” kepada keluarga mangsa, dan memaklumkan bahawa setiap keluarga akan menerima pampasan sebanyak 150 juta rupiah (S$11,800) daripada wang peribadinya dan 100 rupiah juta daripada pasangan pengantin.

Beliau turut menyatakan bahawa beliau tidak meluluskan majlis tersebut dan mengaku “marah” apabila mendengar rancangan itu diadakan.

Encik Maula dan Cik Putri, berkata dalam sidang media pada 19 Julai bahawa mereka bersedia untuk disiasat oleh pihak polis berhubung insiden rempuhan maut itu.

Namun, Cik Putri tidak mengesahkan bahawa mereka bertanggungjawab atas tragedi tersebut, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan siapa yang harus dipertanggungjawabkan.

“Serahkan perkara itu kepada polis, kerana bukan tugas kami untuk menentukan siapa yang bersalah,” katanya seperti dipetik oleh agensi berita Indonesia, Antara. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg