Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 maut di Indonesia selepas penunjuk perasaan bakar bangunan majlis perbandaran 

Mangsa terperangkap dalam bangunan dalam insiden bantahan di Makassar
Aug 30, 2025 | 2:52 PM
Penunjuk perasaan membakar puluhan kenderaan berhampiran bangunan majlis perbandaran dan api kemudian merebak ke bangunan itu ketika sesi majlis berlangsung di tingkat tiga.
Penunjuk perasaan membakar puluhan kenderaan berhampiran bangunan majlis perbandaran dan api kemudian merebak ke bangunan itu ketika sesi majlis berlangsung di tingkat tiga. - Foto REUTERS

MAKASSAR: Sekurang-kurangnya tiga orang maut selepas penunjuk perasaan antipemerintah membakar sebuah bangunan majlis perbandaran di Makassar, timur Indonesia, pada 29 Ogos.

Ini sedang kemarahan penduduk tempatan susulan kematian seorang penunggang teksi motosikal meruncing menjadi lebih ganas.

Setiausaha majlis perbandaran Makassar, Encik Rahmat Mappatoba, berkata:

“Menyusuli kejadian malam tadi, tiga orang telah meninggal dunia.

“Dua meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.

“Mereka terperangkap di dalam bangunan yang terbakar.”

Antara yang terkorban akibat kebakaran di bangunan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Kota Makassar itu termasuk ketua bahagian kebajikan awam daerah Ujung Tanah dan seorang anggota agensi ketenteraman awam, menurut laporan laman berita dalam talian, inilah.com.

Seorang daripada mereka maut selepas terjun dari tingkat empat bangunan yang terbakar itu, lapor laman berita tersebut.

Penunjuk perasaan juga membakar puluhan kenderaan yang diletakkan berhampiran bangunan tersebut, menurut akhbar Kompas.

Api merebak ke bangunan berkenaan ketika majlis perbandaran Makassar sedang bersidang di tingkat tiga.

Turut berada di dalam bangunan itu ialah Datuk Bandar Makassar, Encik Munafri Arifuddin; Timbalan Datuk Bandar, Cik Aliyah Mustika Ilham; dan Setiausaha Wilayah, Encik Andi Zulkifli Nanda.

Mereka telah dipindahkan ke tempat selamat sebelum dibawa keluar melalui pintu belakang dan dibawa pergi dengan menaiki motosikal.

“Kejadian ini di luar jangkaan kami. Biasanya semasa demonstrasi, penunjuk perasaan hanya melempar batu atau membakar tayar di depan pejabat.

“Mereka tidak pernah menyerbu ke dalam bangunan atau membakarnya,” kata Encik Rahmat.

Sekurang-kurangnya empat orang cedera menyusuli kebakaran tersebut dan sedang menerima rawatan di hospital, tambah Encik Rahmat.

Tunjuk perasaan yang tercetus susulan kematian seorang penunggang teksi motosikal, yang dirempuh kenderaan polis, kini telah meruncing menjadi antara kejadian tunjuk perasaan yang paling ganas dalam pentadbiran Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto.

Di ibu kota Jakarta, ratusan rakyat berhimpun di luar ibu pejabat Kor Briged Bergerak (Korps Brimob), sebuah unit polis separa tentera yang terkenal bagi taktiknya yang bersifat menindas.

Mereka menyalakan mercun dan merosakkan sebahagian muka bangunan sebelum pihak berkuasa bertindak balas dengan menyemburkan gas pemedih mata.

Penunggang itu, Allahyarham Affan Kuniawan, telah menjadi simbol kekecewaan rakyat terhadap pihak polis yang didakwa bertindak bebas tanpa bertanggungjawab.

Pihak berkuasa memaklumkan bahawa tujuh pegawai sedang disoal siasat berhubung kematian beliau.

Demonstrasi penduduk tempatan turut dijalankan di luar Jakarta dan Makassar, dan kini termasuk di Yogyakarta, Bandung, Semarang, Surabaya dan Medan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg