JAKARTA: Pemerintah Indonesia bertindak pantas selepas Pondok Pesantren Al-Khoziny di Sidoarjo, Jawa Timur, runtuh mengorbankan puluhan pelajar, dengan Kementerian Kerja Raya (PU) kini giat melakukan penilaian besar-besaran terhadap pondok pesantren di seluruh Indonesia.
Menteri Kerja Raya, Encik Dody Hanggodo, berkata sekurang-kurangnya 40,000 pondok pesantren akan diperiksa keadaan fizikal bangunan bagi memastikan keselamatan dan ketahanan strukturnya.
“Sebanyak 40,000 pondok pesantren di seluruh negara akan kita periksa,” kata Encik Dody kepada pemberita di Istana Presiden, Jakarta, pada 8 Oktober.
Menurut data Kementerian Agama (Kemenag), jumlah pesantren aktif di Indonesia mencapai 42,391 unit, dengan taburan terbesar di pulau Jawa.
Pemeriksaan tertumpu pada bangunan dua dan tiga tingkat ke atas yang mempunyai potensi risiko struktur yang lebih tinggi.
“Pasukan kami sudah mula turun padang di seluruh Indonesia sejak 6 Oktober.” tambah Encik Dody.
Langkah tersebut diambil bagi memastikan agar kejadian serupa tidak berulang.
Pemerintah juga akan mengambil tindakan tegas sekiranya bangunan sekolah berasrama penuh didapati tidak memenuhi piawaian keselamatan pembinaan.
Bahagian bangunan bertingkat pesantren Al-Khoziny itu runtuh pada 29 September lalu ketika lebih 170 pelajar berkumpul untuk solat asar.
Kejadian itu disifatkan sebagai bencana paling dahsyat di Indonesia sejauh ini bagi 2025.
Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), Encik Mohammad Syafii, berkata pasukan penyelamat telah mengakhiri operasi selepas sembilan hari.
“Memasuki hari kesembilan, kami secara rasmi menamatkan operasi mencari dan menyelamat mangsa,” katanya pada sidang media pada 7 Oktober.
Pengarah Operasi Basarnas, Encik Yudhi Bramantyo, menjelaskan semua runtuhan telah dibersihkan dan kawasan kejadian diperiksa secara menyeluruh.
“Jumlah mangsa yang telah dikeluarkan dari runtuhan bangunan seramai 171 dengan 67 disahkan meninggal dunia, termasuk lapan bahagian tubuh yang ditemui, manakala 104 lagi selamat,” jelasnya.
Sebelum ini, Menteri Setiausaha Pemerintah Negeri (Mensesneg), Encik Prasetyo Hadi menyatakan kejadian di Pondok Pesantren Al-Khoziny mendapat perhatian langsung daripada Presiden Prabowo Subianto.
“Presiden mengarahkan penilaian menyeluruh terhadap semua pondok pesantren khususnya dari aspek keselamatan dan keteguhan bangunan,” tambahnya.
Presiden turut mengarahkan menteri, gabenor dan timbalan gabenor memberi perhatian penuh terhadap kemudahan pendidikan berasaskan agama di wilayah masing-masing.
Langkah Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Agama diharapkan menjadi momentum untuk memastikan semua pondok pesantren di Indonesia mempunyai prasarana yang selamat, boleh dilaksanakan dan mesra pelajar. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg