Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesantren pohon maaf, umum badal umrah untuk 67 mangsa runtuhan di Jawa Timur

Oct 8, 2025 | 4:19 PM
Anggota pasukan penyelamat daripada Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) berdoa selepas upacara penutupan menandakan tamatnya operasi pembersihan runtuhan dan pencarian mangsa di tapak runtuhan Pondok Pesantren Al Khoziny di Sidoarjo, Jawa Timur, pada 7 Oktober 2025, selepas sembilan hari operasi berterusan yang menemukan 67 mangsa terkorban, termasuk lapan bahagian tubuh, menurut BASARNAS.
Anggota pasukan penyelamat daripada Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) berdoa selepas upacara penutupan menandakan tamatnya operasi pembersihan runtuhan dan pencarian mangsa di tapak runtuhan Pondok Pesantren Al Khoziny di Sidoarjo, Jawa Timur, pada 7 Oktober 2025, selepas sembilan hari operasi berterusan yang menemukan 67 mangsa terkorban, termasuk lapan bahagian tubuh, menurut BASARNAS. - Foto AFP

SIDOARJO, Jawa Timur: Pondok Pesantren (Ponpes) Al Khoziny di Sidoarjo, Jawa Timur, tampil memohon maaf secara terbuka kepada keluarga mangsa dan masyarakat selepas tragedi runtuhan surau yang meragut puluhan nyawa pelajarnya.

Dalam langkah penuh penghormatan, pihak alumni dan pengurusan pondok mengumumkan menghadiahkan badal umrah bagi 67 pelajar yang meninggal dunia ketika menuntut ilmu dan menunaikan solat Asar pada 29 September lalu.

Ketua Alumni Ponpes Al Khoziny, KH M Zainal Abidin, menyifatkan pemberian badal umrah itu sebagai hadiah terakhir dan penghormatan tertinggi kepada para pelajar yang gugur dalam keadaan mulia.

“Kami berikan hadiah berupa badal umrah kepada para korban. Ramai alumni dan santri kami yang tinggal di Makkah akan membantu mendaftarkan dan melaksanakan ibadah ini atas nama mereka yang telah pergi. Ini cara kami menghantar doa dan kasih sayang buat mereka,” katanya dengan nada penuh emosi.

Beliau menegaskan bahawa pelajar yang terkorban adalah syuhada ilmu kerana wafat dalam keadaan suci, menuntut ilmu, dan beribadah.

“Kami yakin anak-anak kami pergi dalam keadaan husnul khotimah. Mereka meninggal dunia selepas bersuci, ketika solat Asar, dan dalam usaha menuntut ilmu. Ini kemuliaan yang Allah anugerahkan, dan kami ingin memberi penghormatan terakhir yang selayaknya,” tambahnya.

Di tengah suasana duka, KH Zainal Abidin menundukkan kepala, memohon maaf kepada keluarga mangsa, masyarakat, dan pihak media atas segala kekurangan sepanjang proses menyelamatkan pelajar.

“Kami memohon maaf yang sebesar-besarnya manakala layanan kami kepada para santri (pelajar pondok), keluarga, masyarakat, dan rakan wartawan mungkin belum sempurna. Situasi ketika itu sangat emosional dan penuh kepanikan, kami mohon difahami,” ujarnya.

Beliau juga mengucapkan penghargaan mendalam kepada semua pihak yang membantu sejak saat pertama runtuhan berlaku hingga operasi menyelamat berakhir.

“Sekali lagi kami berterima kasih atas sokongan padu masyarakat, pasukan SAR (mencari dan menyelamat) gabungan, pihak pemerintah serta sukarelawan yang tidak kenal lelah. Tanpa mereka, proses ini tidak mungkin selesai dengan baik,” katanya penuh terharu.

Tragedi memilukan itu berlaku apabila bangunan tiga tingkat yang digunakan sebagai surau lelaki di kawasan pondok runtuh secara tiba-tiba ketika ratusan pelajar sedang menunaikan solat asar.

Operasi mencari dan menyelamat yang diketuai Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) berlangsung selama sembilan hari penuh mencabar dengan penyelamat menggali runtuhan demi mencari mangsa.

Menurut analisis awal pasukan SAR, punca utama tragedi adalah kegagalan struktur bangunan yang tidak mampu menahan beban melebihi kapasiti. Insiden ini menimbulkan keprihatinan luas mengenai aspek keselamatan bangunan pendidikan tradisional di seluruh negara.

Akhirnya, operasi ditamatkan pada 7 Oktober setelah 171 mangsa berjaya dikeluarkan; 104 daripadanya selamat, manakala 67 lagi meninggal dunia, termasuk lapan mangsa yang hanya ditemui dalam bentuk cebisan anggota badan.

Suasana pilu menyelubungi kawasan pondok hingga ke hari ini. Air mata keluarga dan rakan santri mengiringi setiap jenazah yang dibawa keluar. Namun di tengah duka yang mendalam, lahir semangat solidariti yang menghubungkan semua dari masyarakat tempatan hingga pihak pemerintah dan sukarelawan.

“Kami tidak akan melupakan para santri yang telah pergi. Nama dan doa kami akan sentiasa mengiringi mereka. Mereka adalah anak-anak kami yang gugur dalam keadaan paling mulia,” kata KH Zainal Abidin.

Beliau turut berjanji untuk memperkukuh langkah keselamatan pondok agar tragedi serupa tidak lagi berulang. “Kami belajar dari musibah ini. Kami berjanji memperbaiki segala kelemahan struktur dan pengawasan keselamatan demi menjaga amanah para santri yang dititipkan kepada kami,” tegasnya.

Badal umrah yang diumumkan ini bukan sekadar simbol agama, tetapi juga pengubat luka bagi keluarga yang kehilangan. Ramai ibu bapa dan waris menyambut keputusan itu dengan air mata syukur, kerana anak mereka diberi penghormatan spiritual yang tinggi.

Dengan air mata dan doa, mereka yang tinggal bertekad menjadikan kehilangan ini pengajaran besar agar keselamatan dan kesejahteraan pelajar sentiasa diutamakan. “Ini bukan sekadar tragedi, ini peringatan bagi kami semua untuk lebih berhati-hati menjaga amanah nyawa anak-anak didik,” kata seorang guru pondok yang enggan namanya disiarkan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg