JAWA, INDONESIA: Operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi runtuhan sekolah agama Al Khoziny di Jawa Timur berakhir pada 7 Oktober dengan jumlah korban meningkat kepada 67 orang, menurut pihak berkuasa Indonesia.
Bahagian bangunan bertingkat sekolah berasrama Islam itu runtuh pada 29 September lalu ketika lebih 170 pelajar berkumpul untuk solat Asar. Insiden ini disifatkan sebagai bencana paling dahsyat di Indonesia tahun ini.
Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Encik Mohammad Syafii, berkata pasukan penyelamat telah mengakhiri operasi selepas sembilan hari. “Memasuki hari kesembilan, kami secara rasmi menamatkan operasi mencari dan menyelamat mangsa,” katanya pada sidang media pada 7 Oktoberi.
Pengarah Operasi Basarnas, Encik Yudhi Bramantyo, menjelaskan semua runtuhan telah dibersihkan dan kawasan kejadian diperiksa secara menyeluruh.
“Jumlah mangsa yang telah dievakuasi seramai 171 orang dengan 67 disahkan meninggal dunia termasuk lapan bahagian tubuh yang ditemui, manakala 104 orang selamat,” jelasnya.
Timbalan Ketua Agensi Bencana Nasional (BNPB), Encik Budi Irawan, berkata kemungkinan masih ada mangsa tertimbus kini hampir sifar. “Sangat tidak mungkin ada lagi jasad yang tertinggal di lokasi,” ujarnya.
Sehingga kini, Polis Indonesia melalui Unit Pengenalan Mangsa Bencana (DVI) baru mengenal pasti 17 daripada mangsa yang maut. Proses pengecaman masih berjalan kerana kebanyakan mangsa mengalami kecederaan teruk.
Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Pakar pembinaan memberi petunjuk awal bahawa mutu binaan yang lemah mungkin menjadi faktor utama. Tragedi ini sekali lagi menimbulkan persoalan tentang keselamatan bangunan di Indonesia, terutamanya sekolah berasrama yang dihuni ratusan pelajar.
Keluarga mangsa yang masih hilang sebelum ini bersetuju membenarkan penggunaan jentera berat selepas tempoh “72 jam emas” bagi peluang hidup mangsa telah berakhir. “Kami reda dan hanya mahu semua yang tertinggal segera ditemukan,” kata seorang bapa pelajar yang masih menunggu pengesahan identiti anaknya.
Kejadian ini bukan yang pertama menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan bangunan di Indonesia. Pada September lalu, sekurang-kurangnya tiga orang maut dan puluhan cedera apabila sebuah bangunan yang digunakan untuk majlis keagamaan runtuh di Jawa Barat.
Para pakar menggesa pemerintah memperketat pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang pembinaan. Banyak sekolah swasta dan pondok agama dibina tanpa pengawasan kejuruteraan yang ketat.
Encik Mohammad Syafii menegaskan keutamaan kini adalah memberi sokongan kepada keluarga mangsa.
“Kami sampaikan takziah kepada semua keluarga yang kehilangan insan tersayang. Semoga tragedi ini jadi pengajaran agar keselamatan bangunan dipandang serius,” katanya. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg