MAKKAH: Kementerian Kesihatan Indonesia mengesahkan bahawa seramai 99 anggota jemaah haji warganegara Indonesia telah disahkan menghidap pneumonia semasa menunaikan ibadah haji di Arab Saudi, dengan satu kes kematian telah direkodkan akibat jangkitan pernafasan akut.
Ketua Pusat Kesihatan Haji Kementerian Kesihatan, Encik Liliek Marhaendro Susilo, berkata kesemua pesakit sedang menerima rawatan intensif di hospital rujukan di Makkah dan Madinah.
Menurut beliau, keadaan cuaca yang melampau, kepenatan fizikal serta kesesakan manusia menjadi punca utama peningkatan kes pneumonia dalam kalangan jemaah.
“Kes pneumonia ini memerlukan perhatian serius kerana jika tidak dirawat dengan segera dan tepat, ia boleh menjadi penyakit yang lebih serius,” ujar Encik Liliek dalam satu kenyataan rasmi pada 22 Mei.
Berdasarkan data dari Klinik Kesihatan Haji Indonesia (KKHI) pada 20 Mei, suhu di Makkah dan Madinah ketika ini mencecah antara 41 hingga 47 darjah Celsius.
Keadaan panas terik tanpa pengambilan air yang mencukupi boleh menyebabkan dehidrasi sekali gus meningkatkan risiko jangkitan.
“Jadual haji yang padat termasuk perjalanan jauh, ibadah Umrah dan kemuncak ibadah memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi. Keletihan boleh melemahkan sistem imun badan,” jelas Encik Liliek.
Encik Liliek turut menegaskan bahawa kesesakan jutaan jemaah memudahkan penularan virus atau bakteria melalui udara.
Tambahan pula, jemaah yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi dan masalah jantung lebih mudah dijangkiti pneumonia.
Pneumonia ialah keradangan pada kantung udara dalam paru-paru yang lazimnya disebabkan oleh jangkitan bakteria, virus atau kulat, dan boleh membawa maut terutamanya kepada mereka yang mempunyai keadaan kesihatan sedia ada.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa kesihatan Indonesia menggesa jemaah agar mematuhi beberapa garis panduan kesihatan.
“Kami nasihatkan semua jemaah supaya memakai pelitup muka terutama di tempat sesak, kerap mencuci tangan dengan sabun atau sanitasi, minum sekurang-kurangnya dua liter air setiap hari dan elakkan merokok,” tambah beliau.
Encik Liliek turut menggesa para jemaah agar tidak memaksa diri dan segera melaporkan sebarang gejala seperti batuk, sesak nafas, atau keletihan melampau kepada petugas kesihatan haji.
“Kesihatan jemaah adalah keutamaan kami. Kami sedang berusaha memberikan rawatan terbaik agar semua jemaah dapat menyempurnakan ibadah mereka dengan lancar dan pulang ke tanah air dalam keadaan sihat,” katanya.
Arab Saudi kini bekerjasama rapat dengan pasukan kesihatan antarabangsa bagi memastikan sokongan perubatan mencukupi sepanjang musim haji.
Indonesia pula dijangka menghantar lebih 200,000 anggota jemaah pada 2025, menjadikannya antara negara penyumbang jemaah haji terbesar di dunia.
Dalam musim haji tahun-tahun terdahulu, penyakit pernafasan seperti pneumonia telah dikenal pasti sebagai antara masalah kesihatan paling kerap menimpa jemaah, khususnya golongan warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg