Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jemaah haji S’pura perlu dapatkan vaksin Covid-19, meningitis dan influenza

Jemaah lanjut usia, golongan berisiko juga digalak ambil suntikan vaksin pneumokokal
May 9, 2025 | 6:04 PM
Menurut kenyataan bersama Kementerian Kesihatan dan Agensi Penyakit Berjangkit, jemaah Singapura yang bakal ke Tanah Haram bagi menunaikan Haji perlu mengambil suntikan vaksin meningokokus, Covid-19 dan influenza.
Menurut kenyataan bersama Kementerian Kesihatan dan Agensi Penyakit Berjangkit, jemaah Singapura yang bakal ke Tanah Haram bagi menunaikan Haji perlu mengambil suntikan vaksin meningokokus, Covid-19 dan influenza. - Foto fail

Jemaah Singapura yang bakal ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji perlu mengambil suntikan vaksin meningokokus, Covid-19 dan influenza untuk melindungi kesihatan mereka dengan lebih baik daripada jangkitan semasa berada di luar negara.

Dalam kenyataan bersama Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) pada 9 Mei, ia turut mengesyorkan jemaah supaya mengambil suntikan vaksin yang disyorkan di bawah Jadual Imunisasi Dewasa Kebangsaan dan Jadual Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan, seperti vaksin pneumokokal.

Kenyataan itu menambah saranan itu dibuat dengan rundingan bersama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Muis telah memaklumkan keperluan vaksinasi sedemikian kepada bakal jemaah terlebih dahulu agar jemaah mempunyai masa untuk membuat pengaturan sendiri.

“Jemaah yang lanjut usia dan golongan berisiko seharusnya mengambil suntikan vaksin pneumokokal sebelum keberangkatan mereka.

“Jemaah juga harus sedia maklum tentang keadaan kesihatan dan keperluan kemasukan bagi Arab Saudi,” tambah kenyataan itu.

Ini sedang sekitar 900 warga Singapura dijangka menunaikan ibadah haji sepanjang minggu pertama Jun, dengan kemuncak haji iaitu berwuquf di Arafah dijangka berlangsung pada 5 atau 6 Jun.

Menurut laman rasmi CDA, vaksin meningokokus atau demam kuning, harus diambil sekurang-kurangnya 10 hari sebelum tarikh keberangkatan dan tempoh kesahihan vaksin, iaitu tiga atau lima tahun, bergantung pada jenis vaksin yang diterima.

Vaksin influenza pula perlu diambil dalam 12 bulan sebelum tarikh keberangkatan, manakala vaksin Covid-19 boleh diambil di mana-mana klinik keluarga (GP) SG Lebih Sihat dan Poliklinik.

Sementara itu, MOH dan CDA turut menyarankan agar bakal jemaah haji mengunjungi doktor atau penyedia penjagaan kesihatan masing-masing sekurang-kurangnya empat hingga enam minggu sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Mereka dapat menyemak dan menilai risiko kesihatan mereka semasa berada di luar negara – termasuk nasihat vaksinasi yang diperlukan atau disyorkan dan ubatan pencegahan.

Ini di samping memakai pelitup muka apabila berada tempat dengan orang ramai.

Awal dari itu pada Februari, kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Kesihatannya telah mengeluarkan peraturan baru mewajibkan jemaah yang ingin menunaikan umrah bagi Ramadan 2025 agar mendapatkan vaksin meningitis.

Kerajaan itu juga mengumumkan perubahan besar dalam dasar visanya dengan mengehadkan pelancong dari 14 negara kepada visa kemasukan tunggal sahaja bagi tujuan pelancongan, perniagaan dan lawatan keluarga berkuat kuasa 1 Februari.

Keputusan ini menyaksikan penggantungan visa kemasukan pelbagai untuk tempoh satu tahun bagi warganegara Algeria, Bangladesh, Mesir, Habsyah, India, Indonesia, Iraq, Jordan, Maghribi, Nigeria, Pakistan, Sudan, Tunisia dan Yaman.

Kerajaan Arab Saudi mengambil langkah ini sebagai usaha menangani peningkatan jumlah individu yang menggunakan visa bukan haji untuk menunaikan ibadah tersebut secara tidak sah.

Menurut pihak berkuasa tempatan, perubahan itu didorong oleh keperluan untuk membanteras jemaah haji haram.

Jelasnya, sesetengah pelawat bawah program visa jangka panjang, memilih menetap lebih lama untuk bekerja secara haram atau menunaikan haji di luar saluran rasmi yang sebenarnya terhad kepada jemaah haji lulusan kerajaan Arab Saudi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg