BANDA ACEH: Genap 20 tahun berlalu sejak termeterainya Perjanjian Damai Aceh antara pemerintah Indonesia dengan Gerakan Aceh Merdeka (GAM) di Helsinki, Finland, pada 15 Ogos 2005.
Perjanjian bersejarah itu mengakhiri konflik bersenjata yang berlarutan lebih tiga dekad di Bumi Serambi Makkah, meragut puluhan ribu nyawa, dan membuka lembaran baru pembangunan serta kemakmuran untuk wilayah tersebut.
Bagi memperingati ulang tahun penting ini, Gabenor Aceh, Encik Muzakir ‘Mualem’ Manaf, bersama Timbalan Gabenor, Encik Fadhlullah, menghadiri majlis Zikir dan Doa Damai Aceh di Masjid Raya Baiturrahman pada malam 14 Ogos.
Acara tahunan itu turut dihadiri Ketua Jabatan Syariah Islam Aceh, pimpinan agensi pemerintah, alim ulama, tokoh masyarakat, dan ratusan jemaah.
“Zikir Damai Aceh adalah simbol kesyukuran kita kepada Allah swt kerana mengurniakan keamanan setelah sekian lama hidup dalam konflik. Nikmat ini wajib kita pelihara,” kata Encik Fadhlullah dalam ucapan mewakili Gabenor.
Beliau mengingatkan bahawa perdamaian yang dicapai bukan sesuatu yang mudah, memandangkan rakyat Aceh pernah hidup di bawah bayang-bayang peperangan selama 30 tahun.
“Selama tiga dekad kita berperang, dan akhirnya Allah memberi rahmat-Nya dengan perdamaian. Alhamdulillah, kini usia damai Aceh telah menjangkau 20 tahun. Mari kita renungi dan syukuri nikmat ini,” katanya.
Beliau menegaskan komitmen pemerintah Aceh untuk menjaga keamanan demi generasi akan datang.
“Setiap kekurangan akan kita perbaiki bersama, dan setiap kelebihan kita syukuri. Keamanan ini amanah untuk kita semua,” tambahnya.
Gabenor Muzakir Manaf turut mengulas isu bendera Bulan Bintang simbol yang pernah digunakan GAM semasa perjuangan bersenjata yang sering menjadi perdebatan setiap kali Hari Damai Aceh.
Encik Muzakir meminta semua pihak bersabar dan tidak mengibarkan bendera tersebut buat masa ini.
“Kita berharap semua dapat bersabar, kerana satu hari nanti bendera Bulan Bintang akan kembali berkibar, tetapi bukan sekarang,” katanya pada sidang media pada 13 Ogos.
Menurutnya, walaupun bendera itu dianggap oleh ramai rakyat Aceh sebagai lambang keamanan, tumpuan utama kini ialah mengekalkan kestabilan dan keharmonian.
“Buat masa ini, letakkan isu bendera ke tepi dan fokus kepada usaha menjaga keamanan serta ketenteraman,” ujarnya.
Beliau mengingatkan bahawa keamanan adalah prasyarat kepada kemajuan “kita mesti kekal berpegang kepada keamanan ini, kerana inilah asas untuk mencapai masa depan Aceh yang lebih baik dan makmur.”
Perjanjian Helsinki pada 15 Ogos 2005 menutup tirai konflik yang bermula sejak 1970-an.
GAM, yang menuntut kemerdekaan Aceh, menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pemerintah pusat berhubung isu pengagihan hasil ekonomi, penindasan budaya dan pencabulan hak asasi manusia.
Dipimpin oleh tokoh seperti Hasan di Tiro, GAM berjuang dengan alasan Aceh mempunyai sejarah sebagai negara berdaulat sebelum digabungkan ke dalam Indonesia.
Perjanjian damai itu memberi jalan kepada pelucutan senjata, penarikan pasukan tentera Indonesia, serta pemberian autonomi khusus kepada Aceh.
Encik Muzakir menekankan bahawa komitmen terhadap semua terma perjanjian perlu terus dipelihara.
“Kita berharap agar bahagian-bahagian dalam Memorandum Persefahaman (MOU) yang masih belum diselesaikan dapat dilengkapkan,” katanya kepada agensi berita Antara.
Selepas dua dekad keamanan, Aceh telah menyaksikan kemajuan dalam pembangunan infrastruktur, pendidikan, dan ekonomi.
Namun, cabaran masih wujud, termasuk mengurangkan kadar kemiskinan, menarik pelaburan, dan memastikan manfaat pembangunan dinikmati secara saksama oleh semua rakyat, ujarnya.
Majlis Zikir Damai Aceh bukan sekadar acara kerohanian malah platform untuk memperkukuh persaudaraan dan semangat kebersamaan.
Keberadaan pemimpin pemerintah, ulama, dan masyarakat dalam satu majlis mencerminkan tekad bersama untuk mengelak kembalinya konflik.
“Perdamaian ini milik semua rakyat Aceh. Jika kita bersatu, tiada pihak yang dapat memecah belahkan kita,” kata seorang tokoh masyarakat yang hadir sambil berkata semua pihak mesti memastikan wilayah itu terus aman, sejahtera, dan bermaruah. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg