Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo selesaikan sengketa wilayah Aceh, Sumatera Utara

Jun 30, 2025 | 5:30 AM
pulau aceh, sumatera utara, Pulau Mangkir Gadang, Pulau Mangkir Ketek, Pulau Lipan dan Pulau Panjang, indonesia, prabowo subianto
Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, campur tangan dalam menyelesaikan pertikaian pulau antara Aceh-Sumatera Utara membabitkan empat pulau kecil Pulau Mangkir Gadang, Pulau Mangkir Ketek, Pulau Lipan dan Pulau Panjang. - Foto INSTAGRAM SEKEPINGKATAKU

BANDA ACEH: Pertikaian berlarutan antara wilayah Aceh dengan Sumatera Utara mengenai pemilikan empat buah pulau – Pulau Mangkir Ketek, Pulau Mangkir Gadang, Pulau Panjang dan Pulau Lipan – akhirnya menemui noktah pada 17 Jun 2025 apabila Presiden Prabowo Subianto memutuskan bahawa keempat-empat pulau tersebut secara rasmi berada dalam bidang kuasa Provinsi Aceh.

Keputusan itu bukan sahaja menyelesaikan sengketa wilayah selama beberapa dekad, malah dilihat sebagai kemenangan moral dan sejarah bagi masyarakat Aceh, khususnya di wilayah Aceh Singkil.

Pengumuman tersebut dibuat Menteri Sekretariat Negara, Encik Prasetyo Hadi, selepas mesyuarat tertutup yang turut dihadiri Gabenor Aceh, Encik Muzakir Manaf; Gabenor Sumatera Utara, Encik Bobby Nasution; Menteri Dalam Negeri, Encik Tito Karnavian; dan Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat, Encik Sufmi Dasco Ahmad.

Encik Prabowo, walaupun berada dalam perjalanan ke Russia untuk lawatan rasmi pertamanya, mempengerusikan mesyuarat itu secara maya dan menyaksikan kedua-dua gabenor menandatangani resolusi yang mengakhiri pertikaian tersebut.

“Setelah meneliti dokumen dan data yang menyokong, kami memutuskan bahawa keempat-empat pulau itu berada dalam wilayah Aceh.

“Kami berharap keputusan ini menjadi penyelesaian terbaik bagi kedua-dua pemerintah provinsi dan menamatkan perdebatan awam,” kata Encik Prasetyo.

Dalam video yang dikeluarkan Sekretariat Presiden, Encik Prabowo menekankan pentingnya kestabilan nasional dan semangat kesatuan.

“Kita adalah satu bangsa. NKRI (Negara Kesatuan Republik Indonesia) seharusnya sentiasa menjadi asas kita.

“Ekonomi kita kukuh, pertumbuhan baik dan pertanian sedang berkembang.

“Kita harus kekalkan momentum ini,” kata Encik Prabowo.

Isu itu mula memuncak semula selepas Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan surat keputusan pada 25 April yang menyatakan keempat-empat pulau itu berada di bawah wilayah Sumatera Utara.

Ini mencetuskan bantahan hebat daripada masyarakat Aceh yang berpendapat walaupun pulau-pulau itu lebih dekat secara geografi dengan Sumatera Utara, ia telah dihuni dan diusahakan masyarakat Aceh selama beberapa generasi.

Gabenor Aceh sendiri membantah keputusan tersebut, malah menyuarakan kebimbangan bahawa langkah klasifikasi semula itu mungkin berkait dengan spekulasi kawasan tersebut yang menyimpan simpanan minyak dan gas yang belum diterokai.

Malah, sebelum ini Kementerian Dalam Negeri telah mengeluarkan tiga keputusan serupa pada 2017, 2021 dan 2022, yang semuanya mencetuskan bantahan daripada pihak Aceh.

Keputusan Presiden itu disambut dengan rasa syukur dan kelegaan mendalam pelbagai pihak di Aceh.

Ahli Parlimen, Encik H. Ruslan Daud, menyifatkan keputusan itu sebagai bukti kejayaan kebersamaan rakyat Aceh dalam mempertahankan hak mereka.

“Kita semua sangat bersyukur. Ini semua berkat kesepaduan dan kebersamaan seluruh elemen masyarakat Aceh yang selama ini sama-sama telah berjuang mempertahankan empat pulau tersebut.

“Keputusan Presiden hari ini sangat bijak, demi masa depan Aceh yang damai, aman, tenteram dan sejahtera,” katanya.

Ahli Dewan Perwakilan Daerah, Encik H. Sudirman atau lebih dikenali sebagai Haji Uma, pula menekankan bahawa keputusan itu didasari fakta sejarah yang kukuh dan bukan semata-mata pertimbangan geografi.

Beliau turut menggesa agar pembangunan di pulau-pulau terbabit segera dilaksanakan kerajaan Aceh.

“Keputusan Presiden sangat tepat. Beliau tidak memiliki kepentingan lain selain menyelesaikan persoalan ini secara adil dan berlandaskan fakta sejarah,” tegasnya.

Menurutnya, persoalan sempadan tidak boleh dilihat semata-mata dari aspek jarak, tetapi harus mengambil kira unsur sejarah, identiti dan budaya.

Bupati (Ketua Daerah) Aceh Singkil, Encik Safriadi, menyambut keputusan itu sebagai peluang untuk membangunkan potensi pelancongan di keempat-empat pulau tersebut.

Beliau memaklumkan bahawa prasarana seperti surau dan jeti yang rosak akan dibina semula.

“Alhamdulillah, kita jalan terus. Surau yang sudah rosak akan dibangunkan kembali serta juga rumah penduduk di sana.

“Terima kasih kepada Pak Presiden atas dikembalikannya empat pulau tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Mualimin dan Wakil Panglima Komite Peralihan Aceh (KPA) Pusat, Encik Darwis Jeunib, menegaskan bahawa keempat-empat pulau itu telah menjadi sebahagian daripada Aceh sejak 1956, selaras dengan kandungan Perjanjian Helsinki.

Beliau turut menyelar keputusan terdahulu Kementerian Dalam Negeri yang disifatkan mencetuskan kekeliruan dan ketegangan.

“Jangan pernah ada provinsi lain merebut wilayah Aceh. Perdamaian antara Republik Indonesia dengan GAM (Gerakan Aceh Merdeka) ini sudah termaktub dalam perjanjian Helsinki.

“Kami menuntut perkara-perkara penting lain yang masih belum diselesaikan,” katanya.

Penganalisis dari badan pemikir Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Autonomi Daerah (KPPOD), Encik Herman Surparman, menyambut baik keputusan itu dan menyifatkannya sebagai isyarat penting untuk pembaharuan dasar wilayah.

Beliau menyeru agar peraturan mengenai sempadan wilayah diteliti semula dan disusun secara menyeluruh.

“Kes ini bukanlah satu-satunya di Indonesia. Banyak kawasan lain yang juga menghadapi kekaburan sempadan.

“Ini satu isyarat bahawa kita memerlukan undang-undang yang lebih jelas, bukan sekadar mengikut peta, tetapi yang mengambil kira sejarah, identiti dan realiti,” katanya.

Bagi Wakil Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Kabupaten (DPRK) Singkil merangkap Ketua Dewan Pimpinan Cabang (DPC) Parti Gerindra, Encik Wartono, keputusan itu adalah bukti cinta Encik Prabowo kepada Aceh dan maruah rakyat di kawasan sempadan.

“Ini bukan sekadar keputusan politik atau pentadbiran. Ini bukti cinta sejati Pak Prabowo kepada Aceh,” katanya.

Rakyat di Aceh Singkil menyambut keputusan Encik Prabowo dengan perasaan amat gembira.

Orang ramai berkumpul di pekarangan pejabat DPRK dan melaungkan takbir sebagai tanda kesyukuran.

Keputusan Encik Prabowo bukan sahaja menamatkan sengketa antara dua wilayah, bahkan turut memberi mesej penting bahawa integriti wilayah, identiti budaya dan suara rakyat masih menjadi teras dalam pentadbiran negara.

Seperti yang dinyatakan oleh Encik Prabowo: “Kita adalah satu bangsa. NKRI harus sentiasa menjadi landasan kita.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg